ALOR SETAR - Kerajaan perlu menguatkuasakan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 dengan lebih ketat terhadap peniaga sekiranya berlaku pencatutan berikutan harga makanan dan minuman di gerai dan restoran yang melonjak.
Presiden Majlis Penasihat Pengguna Negara, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, berdasarkan tinjauan harga purata makanan yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), peningkatan harga makanan di negara ini adalah membimbangkan.
Beliau berkata, antara aduan yang diterima daripada pengguna ialah terdapat pengusaha gerai makan dan restoran menaikkan harga pada kadar 10 hingga 40 peratus.
"Dalam subkumpulan makanan dan minuman, harga daging dan ayam meningkat menyebabkan inflasi tertinggi bahan mentah itu berbanding barangan lain. Ini meningkatkan harga makanan masak di kedai makan termasuk gerai.
"Alasan pengusaha, mereka terpaksa menaikkan harga kerana kebanyakan bahan mentah seperti minyak masak, gula, sayuran, ikan, bijirin dan telur daripada pembekal telah menaikkan harga,” katanya di sini pada Selasa.
Mohd Azmi yang juga Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) berkata, biarpun berlaku kenaikan harga bahan mentah, tidak sewajarnya harga makanan bermasak dan minuman dinaikkan tanpa kawalan.
"Pengguna harus melaporkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup melalui Ezy Adu jika benar terdapat kedai makan menaikkan harga secara melampau.
"Kenaikan dirasai pengguna khususnya mereka yang bekerja dan makan di luar,” ujarnya.
Menurut beliau, golongan berpendapatan rendah yang tidak mempunyai pilihan juga akan berdepan kos sara hidup yang semakin tinggi.
"Menaikkan harga makanan secara berlebihan juga akhirnya akan menjejaskan peniaga sendiri apabila pengguna membuat pilihan. Mereka boleh menggunakan kuasa pengguna untuk membeli atau tidak.
"Namun, kenaikan melampau perlu dikawal dan pihak berkuasa perlu memantau. Walaupun tanda harga wajib dipamerkan di restoran namun peniaga yang menetapkan harga makanan,” ujarnya lagi.
Mohd Azmi berkata, kuasa dan suara pengguna wajar diaktifkan.
"Persatuan restoran mesti membantu mengurangkan harga makanan ke tahap munasabah. Mereka harus mengambil kira golongan berpendapatan rendah yang berdepan tekanan kos sara hidup,” katanya.
Tambah beliau, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kepenggunaan juga boleh melakukan pemantauan untuk mendedahkan amalan pencatutan.
"Kerajaan pula harus berusaha mengurangkan kebergantungan kepada bahan mentah import dalam jangka panjang. Pada masa sama, kerajaan perlu mengambil langkah meningkatkan pengeluaran domestik serentak dengan pengurangan barangan import,” tegasnya.
Selain itu, Azmi turut menyarankan orang ramai agar mengurangkan tabiat makan di luar.
Sebelum ini, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli mengakui kerajaan tidak mampu campur tangan terhadap kenaikan harga makanan di semua gerai dan restoran serta mengharapkan kerjasama orang ramai untuk memboikot atau memulaukan premis yang gagal menurunkan harga.
Katanya, kerajaan terkilan dengan sikap pengusaha restoran dan kedai makan yang gagal menurunkan harga makanan, walaupun kos bahan mentah dalam pasaran kini menunjukkan penurunan.
Klik di sini untuk terus membaca