KARACHI - Pakistan mengalami masalah gangguan bekalan elektrik besar-besaran pada Isnin akibat berlaku kerosakan pada grid tenaga negara itu sehingga menjejaskan 220 juta penduduk yang terpaksa bergelap semalaman. Bekalan kuasa terputus di... Klik di sini untuk terus membaca

KARACHI - Pakistan mengalami masalah gangguan bekalan elektrik besar-besaran pada Isnin akibat berlaku kerosakan pada grid tenaga negara itu sehingga menjejaskan 220 juta penduduk yang terpaksa bergelap semalaman.

Bekalan kuasa terputus di semua pusat bandar termasuk Karachi dan ibu negara Islamabad serta Lahore dan Penshawar.

Menteri Tenaga, Khurrum Dastagir berkata, kegagalan grid susulan 'perubahan frekuensi' di selatan Pakistan.

Bagaimanapun sehingga Selasa, bekalan elektrik berjaya dipulihkan secara berperingkat pada jam 7.30 pagi (waktu tempatan) di beberapa bandar besar manakala kawasan luar bandar sedang menunggu untuk disambung semula.

Pakistan sering mengalami gangguan bekalan elektrik, sering kali dipersalahkan atas salah urus dan kekurangan dalam pelaburan infrastruktur.

Kali terakhir gangguan berlaku pada Oktober lalu yang mengambil masa berjam-jam untuk dipulihkan sepenuhnya.

Kementerian Tenaga berkata, pada jam 7.30 petang (waktu tempatan) grid 'mengalami kehilangan frekuensi, yang menyebabkan kerosakan besar', sambil menambah bahawa 'kerja pantas' sedang dilakukan untuk memulihkan sistem tersebut.

Penduduk menyalakan unggun api bagi memanaskan badan semasa musim sejuk sejurus gangguan bekalan elektrik. - Foto AFP

Bagaimanapun, Khurrum menegaskan gangguan tersebut bukan 'krisis besar' dan pegawainya sedang memulihkan bekalan kuasa di seluruh negara.

Tinjauan mendapati banyak rumah dan pusat perniagaan masih bergelap walaupun selepas 12 jam bekalan elektrik terputus.

Beliau memberitahu Geo TV bahawa sebahagian bekalan elektrik dipadamkan semalaman kerana permintaan bekalan semasa musim sejuk telah meningkat berbanding musim panas.

"Sebagai langkah ekonomi, kami menutup sementara sistem penjanaan kuasa pada waktu malam.

"Apabila ia dihidupkan pada waktu pagi, variasi frekuensi turun naik voltan di selatan Pakistan iaitu di Dadu dan Jamshoro telah mendapati unit penjana terpadam satu persatu," katanya.

Ia bermakna semua bekalan elektrik terputus serta-merta.

Dalam pada itu, kereta api laju di Lahore telah digantung kerana gangguan bekalan elektrik.

Pegawai di Hospital Lady Reading di Peshawar memberitahu BBC bahawa kemudahan infrastruktur mereka tidak terjejas akibat gangguan tersebut kerana mereka menggunakan penjana kuasa sendiri bagi membekalkan elektrik ke seluruh bangunan.

Seorang peniaga terpaksa menjalankan perniagaan pakaian dalam kedai tanpa bekalan elektrik di Rawalpindi. - Foto AFP

Awal bulan ini, kerajaan mengarahkan semua pusat beli-belah dan pasar ditutup pada jam 8.30 malam (waktu tempatan) manakala restoran jam 11 malam, di bawah pelan penjimatan tenaga baharu.

Kabinet berkata, mereka dapat menjimatkan sebanyak 62 bilion rupee (RM1.1 bilion) dan Jabatan Persekutuan telah diberitahu untuk mengurangkan penggunaan elektrik sehingga 30 peratus.

Pakistan telah menjana sebahagian besar tenaga elektrik negaranya dengan menggunakan bahan api fosil yang sepenuhnya diimport. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca