AWANG sebetulnya terkejut sungguh dengan kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, bahawa pemberian wang tunai kepada pengundi sewaktu kempen pilihan raya bukan rasuah.
Katanya, ia tidak menyalahi peraturan kerana hanyalah ‘sedekah’ kepada pengundi.
Kata beliau lagi, pemberian terbabit adalah hak orang awam yang ingin memberikan sumbangan.
Itulah hujah Hadi ekoran tindakan UMNO Terengganu memfailkan petisyen bagi kerusi Parlimen Marang, Kuala Terengganu dan Kemaman dengan alasan wujud rasuah kepada pengundi di ketiga-tiga kerusi terbabit ketika kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Sepanjang pengetahuan Awang yang cetek ilmu agama ini, tindakan beri sogokan masa berkempen menyalahi paling kurang tiga hukum.
Pertama hukum Islam yang melarang perbuatan menyogok untuk dapat undi. Islam tak halalkan rasuah.
Kedua, undang-undang anti-rasuah negara. Ketiga, akta pilihan raya yang tidak benarkan rasuah.
Macam mana Hadi boleh beri fatwa baharu itu? Pening Awang dibuatnya.
Kalau begitu tak salahlah wakil calon berdiri depan pintu dewan mengundi bagi ‘sedekah’ pada semua pengundi masa PRU.
Awang harap pihak berwajib ambillah tindakan sewajarnya dalam isu ini.
Awang rasa lega terbaca kenyataan Pesuruhjaya SPRM bahawa beri sogokan masa pilihan raya dianggap rasuah.
Kita nak perangi rasuah. Pas sendiri tentu tahu kroniknya masalah rasuah masa ini. Macam mana kita nak perangi rasuah jikalau parti yang guna nama Islam pun ‘halalkan’ pemberian masa PRU dan anggap ianya 'sedekah?'
Masya-ALLAH!
Klik di sini untuk terus membaca