BARISAN Nasional (BN) dan UMNO kini berada di persimpangan dilema sama ada mahu go solo (bertanding secara solo) atau bergabung dengan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti. Ini kerana jika BN dan UMNO bertanding solo... Klik di sini untuk terus membaca

BARISAN Nasional (BN) dan UMNO kini berada di persimpangan dilema sama ada mahu go solo (bertanding secara solo) atau bergabung dengan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Ini kerana jika BN dan UMNO bertanding solo maka natijah dan keputusannya mungkin tidak banyak berubah berbanding pencapaian mereka pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu iaitu kalah teruk dan terus dipinggirkan oleh pengundi.

Malah, penganalisis politik berpandangan jika BN bertanding secara solo dalam PRN nanti, mereka diibaratkan ‘menggali kubur sendiri’ kerana majoriti pengundi Melayu dan anak muda pada PRU15 lebih cenderung menyokong Perikatan Nasional (PN).

Ini terbukti apabila BN hanya mampu menang 30 kerusi Parlimen dalam PRU15 lalu, kalah pada pilihan raya tertangguh bagi Parlimen Padang Serai, Kedah dan hampir kalah di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, Pahang.

Berpaksikan kepada asas itu kata penganalisis politik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali, BN dan UMNO diramal akan terus kecundang jika bertanding secara solo kerana arus sokongan majoriti pengundi Melayu tidak berpihak kepada mereka.

Malah, majoriti pengundi saluran satu dan dua yang menjadi fix deposit dan penyokong tegar BN selama ini sudah beralih arah menyokong PN manakala pengundi bukan Melayu kekal bersama PH.

Justeru Mazlan berpendapat, pembentukan kerjasama dan jajaran baharu dengan PH mampu menjadi talian hayat kepada survival politik BN untuk terus kekal relevan dalam PRN nanti.

Bagaimanapun, Mazlan berkata, tindakan berkenaan akan menimbulkan kesan negatif dan penolakan sebahagian ahli UMNO yang masih berpegang kepada keputusan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 iaitu ‘No PH, No DAP dan No Anwar’.

"Biarpun tindakan berkenaan menimbulkan kesan negatif namun BN mempunyai masa kira-kira lima bulan lagi untuk memberikan penerangan kepada penyokong tegar mengenai keperluan kerjasama dengan PH.

"Jika BN berjaya memberikan kefahaman dan maklumat tepat kepada penyokong tegarnya, mereka dijangka tidak menghadapi masalah besar untuk menang kerusi DUN di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang pada PRN nanti,” jelasnya.

Mazlan turut melihat peluang BN menang di Kedah adalah 50-50 kerana gabungan undi mereka dan PH boleh memberikan sedikit kelebihan jika wujud perjanjian dan pembahagian kerusi secara komprehensif.

Bagaimanapun jelasnya, BN dan PH bakal menghadapi cabaran besar untuk menang di Kelantan dan Terengganu kerana negeri Pantai Timur itu dikuasai sepenuhnya oleh Pas.

"BN dan PH dijangka tidak menghadapi masalah besar untuk menang di Selangor dan Negeri Sembilan kerana kebanyakan DUN terdiri daripada kerusi campuran pelbagai kaum termasuk Melayu, Cina dan India,” ujarnya.

BN, PH PERLU SEGERA BERBINCANG PEMBAHAGIAN KERUSI

Berkongsi pandangan sama, Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar turut menjangkakan BN/UMNO akan kalah teruk jika bertanding solo dan berlaku saingan banyak penjuru termasuk melawan PN dan PH.

Cara terbaik bagi BN mengelak daripada terus mengalami kekalahan dan dipinggirkan dari arena politik tanah air katanya, adalah dengan kerjasama bersama PH dalam PRN nanti.

Katanya, BN dan PH perlu segera mengadakan perbincangan secara lebih menyeluruh bagi menyelesaikan isu pengagihan kerusi DUN dan strategi bakal digunakan mereka pada PRN nanti.

"Kalau BN dan PH hanya melihat kepada jumlah kerusi disandang mereka sekarang, maka ia akan menyempitkan ruang perbincangan dan agihan kerusi DUN menjelang PRN nanti.

"Perbincangan berkenaan bukan hanya perlu melibatkan tiga negeri dikuasai PH iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang, malah ia perlu merangkumi agihan kuasa dan pembentukan struktur kerajaan negeri dikuasai BN sekarang seperti Johor, Pahang dan Melaka,” jelasnya.

MASIH TIADA HITAM PUTIH

Senada dengan Hisommudin, Setiausaha Agung Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub berkata, BN dan PH perlu mengadakan perbincangan segera bagi menyelesaikan isu pengagihan kerusi dan perjanjian komprehensif mengenai bentuk kerjasama bakal diterokai mereka nanti.

Mustapha berkata, walaupun BN hampir pasti bekerjasama dengan PH dalam PRN nanti, namun sehingga kini tiada lagi perjanjian hitam putih mengenai jumlah pembahagian kerusi bakal ditandingi mereka.

Bagaimanapun, Mustapha berkata, secara dasarnya kedua-dua pihak sudah mencapai persetujuan bahawa BN akan bertanding di kerusi DUN yang berpotensi mereka boleh menang dan sedia memberi laluan kepada PH di kawasan kubu kuat mereka.

"PH dan BN perlu mengadakan perbincangan segera kerana kita belum mencapai kata sepakat mengenai logo atau lambang mana bakal digunakan dalam PRN nanti.

"Saya meramalkan BN dan PH akan kekal bertanding menggunakan logo masing-masing, namun apa yang penting adalah memastikan tiada pertembungan atau perebutan kerusi sesama sendiri berlaku antara parti komponen kedua-dua gabungan,” tambah beliau.

Klik di sini untuk terus membaca