PEMILIK nama Muhammad Fawwaz Mohamad Jan mungkin tidak sepopular tokoh politik lain, namun beliau telah menempa sejarah besar pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu. Ketua Pemuda Pas Pulau Pinang yang bertanding di Parlimen Permatang... Klik di sini untuk terus membaca

PEMILIK nama Muhammad Fawwaz Mohamad Jan mungkin tidak sepopular tokoh politik lain, namun beliau telah menempa sejarah besar pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Ketua Pemuda Pas Pulau Pinang yang bertanding di Parlimen Permatang Pauh atas tiket Perikatan Nasional (PN) itu berjaya menewaskan calon pilihan daripada Pakatan Harapan (PH) yang juga penyandang kerusi tersebut iaitu Nurul Izzah Anwar.

Muhammad Fawwaz, 39, meraih 37,638 undi berbanding Nurul Izzah (32,366 undi), sekali gus membolehkan beliau menawan kubu tradisi keluarga Anwar selama 40 tahun bermula daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim, diikuti isteri beliau, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan seterusnya Nurul Izzah.

SINAR PREMIUM: Boleh kongsikan penglibatan awal Fawwaz dalam dunia politik?

MUHAMMAD FAWWAZ: Saya menyertai Pas melalui Dewan Pemuda Pas Kawasan Permatang Pauh mulai 2010 sehingga kini.

Bermula sebagai Ahli Jawatan Kuasa (AJK) Pemuda Pas Kawasan, AJK Pemuda Pas Negeri pada tahun 2015, Ketua Pemuda Pas Kawasan (2019), dan kemudian saya diangkat menjadi Ketua Pemuda Pas Pulau Pinang (2021).

Saya pernah bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti ketika PRU14 pada tahun 2018 melawan Dr Norlela Ariffin (PKR) namun tewas.

Terbaru saya diamanahkan bertanding di Parlimen Permatang Pauh pada PRU15 dan menang melawan Nurul Izzah selaku penyandang kerusi tersebut.

Muhammad Fawwaz (dua dari kanan) bersama ibunya, Kamariah Abdul Latif

SH: Adakah Fawwaz berdepan lebih banyak tekanan bertanding kerusi Parlimen berbanding kerusi DUN?

Kedua-dua PRU itu adalah amanah yang diberikan oleh parti kepada saya. Cabaran DUN dan Parlimen agak berbeza. Gelombang pada kedua-dua PRU juga berbeza.

PRU14 adalah gelombang rakyat bersama PH manakala PRU15 adalah gelombang rakyat bersama PN.

Tekanan dalam apa jua pekerjaan tetap ada, namun saya perlu hadapinya kerana ini adalah amanah dan ujian daripada ALLAH SWT.

SH: Saingan terkuat ketika PRU15 adalah Nurul Izzah dan ketika itu, adakah Fawwaz yakin dapat menewaskannya?

Kesemua calon mempunyai kekuatan dan strategi masing-masing. Strategi yang baik sememangnya kita mengharapkan hasilnya yang terbaik namun kita perlu ingat bahawa ketentuan ALLAH SWT mengatasi segalanya. Kita hanya merancang, ALLAH SWT yang menentukan.

SH: Apakah perasaan Fawwaz apabila digelar sebagai 'giant killer' kerana berjaya kalahkan Nurul Izzah?

Ramai dalam kalangan calon PH yang kalah pada PRU15 baru-baru ini, antaranya Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa, Datuk Mahfuz Omar dan ramai lagi. Jadi gelaran 'giant killer' itu adalah pada ramai lagi. Saya biasa-biasa saja.

Kemenangan ini juga adalah kebangkitan Melayu-Islam, anak muda dan gelombang perubahan rakyat.

Nurul Izzah (kiri), Mohamad Nasir (dua dari kiri), Muhammad Fawwaz (dua dari kanan) dan Mohd Zaidi (kanan) bersaing bagi kerusi Permatang Pauh pada PRU15 lalu.

SH: Adakah kemenangan di Permatang Pauh juga didedikasi kepada ibu yang menjadi penyokong kuat kepada Fawwaz selama ini?

Ibu mana yang tidak mendoakan anak mereka supaya berjaya. Saya mengharapkan doa ibu terus bersama.

Ibu saya menjadi tonggak kuat kepada saya dalam segala aspek dan selama ini, bukan sekadar pertandingan di PRU15

SH: Selepas berjaya menawan kerusi Parlimen Permatang Pauh, apa perancangan Fawwaz untuk masyarakat dan apa harapan untuk kerajaan baharu ini?

Harapan untuk kerajaan baharu ini agar menunaikan amanah dan tanggungjawab sebaiknya untuk rakyat Malaysia.

Bagi masyarakat Permatang Pauh, saya lebih fokus kepada kebajikan rakyat dan mengutamakan kepentingan rakyat. Doakan saya diberi kekuatan dalam memimpin rakyat Permatang Pauh.

Klik di sini untuk terus membaca