ADALAH menarik apabila baru menghampiri tiga bulan menjadi Perdana Menteri Malaysia ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah melancarkan slogan kerajaan pimpinannya iaitu Membangun Malaysia Madani.
Bagi mereka yang mengikuti jejak langkah pemimpin kita ini, istilah Malaysia Madani sudah lama menjadi ucap bicaranya.
Ketika Anwar bersama pentadbiran kerajaan pada 1990-an, beliau mengutarakan konsep masyarakat madani melalui buku The Asian Renaissance terbitan 1996.
Malah sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 pada tahun lalu, beliau menulis buku berjudul Membangun Malaysia Madani.
Maknanya, slogan ini sudah sebati dalam sanubarinya, bukan dipetik di mana-mana untuk menandingi slogan-slogan para pemimpin negara terdahulu.
Ini adalah langkah jitu beliau untuk mematerikan mesej-mesej yang diucap dan diulang-ulang ke mana-mana beliau berada dalam bentuk dokumen bertulis.
Barangkali, kata-katanya di merata pelosok tanah air merupakan fragmen-fragmen idea dan mesej yang tidak sempat rakyat rangkumkan menjadi satu mesej yang kental.
Tetapi, apakah itu pendekatan Membangun Malaysia Madani? Apakah maksud istilah madani itu sendiri?
Dalam bahasa yang mudah, madani itu bererti membangun pemikiran, kebendaan dan kerohanian - membangun mental, fizikal dan spiritual.
Yang hendak dibangunkan tentulah mental, fizikal dan spiritual insan-insan yang menjadi rakyatnya iaitu kita, kita semua. Perdana Menteri memfokuskan untuk membangun manusia sebagai aset utamanya.
Kita rakyat Malaysia punyai segala potensi dan keupayaan untuk menandingi mana-mana negara di dunia ini.
Beberapa tahun dahulu, negara kita disebut-sebut sebagai salah sebuah Harimau Asia dan sebagai negara Islam contoh.
Tetapi kerana asyik bercekau sesama sendiri, kita tergelongsor ke dalam lumpur perseteruan yang tak sudah-sudah hingga kita terlupa di mana bumi dipijak dan ke mana langkah hendak dianjak untuk membawa negara ke persada dunia.
Oleh kerana jauh tercicir, kita perlu berlari lebih lama, lebih konsisten sebelum mampu bersaing dengan negara-negara jiran.
Malaysia Madani bercirikan enam tonggak yang dijiwai rakyat iaitu kemapanan, kesejahteraan, daya cipta, nilai hormat, keyakinan serta ihsan.
Ciri-ciri spiritual ini akan menyediakan Malaysia sebagai sebuah negara bangsa yang maju dan sejahtera.
Malaysia Madani juga bertunjangkan empat Teras Strategik Utama. Keempat-empat teras ini harus menjadi tumpuan para pemimpin dan pentadbiran kerajaan.
Mereka harus memerah mental bagi mencari pendekatan yang lestari untuk Membina Semula Ekonomi, Menjamin Kesejahteraan Insan, Reformasi Institusi Demokrasi dan Perundangan dan Mewujudkan Pentadbiran Beramanah.
Dan, bagi memastikan kelancaran agenda ini, tiga pemboleh daya strategik yang dirangka dalam dokumen Membangun Malaysia Madani akan berfungsi sebagai enjin penggerak.
Inilah tiga pendekatan material yang hasilnya boleh diukur secara kuantitatif.
Digitalisasi Perkhidmatan Rakyat, Pendayaupayaan Bakat Terbaik Negara dan Pemerkasaan Pengurusan Projek Strategik perlu menggembleng sektor korporat dan para usahawan, para profesional dari segenap bidang dan tenaga kerja yang ratusan ribu jumlahnya.
Program digitalisasi yang komprehensif akan mempercepatkan urusan bertahun menjadi berbulan, berbulan menjadi berminggu dan yang berminggu menjadi beberapa saat sahaja.
Kita punyai ramai para profesional yang terpendam dan terpinggir kerana potensi mereka tidak dimaksimumkan.
Ramai lagi bakat-bakat terbaik kita yang berada di luar negara menanti kembali berkhidmat untuk negara apabila etika menjadi merit kecemerlangan.
Dan pemerkasaan projek strategik memerlukan kita menyemak semula prioriti projek-projek yang dianggap enteng tetapi sebenarnya penting untuk masa depan negara.
Program pertanian raksasa, sekuriti makanan, prasarana khususnya di Sabah dan Sarawak serta teknologi hijau wajar mengambil tempat utama menjadikan kita bersaing sebagai negara yang unggul merangkul Revolusi Industri 4.0.
Kita mesti membangun spiritual, mental dan fizikal kita untuk maju. Fokus kita ialah untuk bersaing di peringkat Asia Tenggara, kemudian Asia dan seterusnya dunia.
Malaysia Madani berpotensi membangun serta memberi erti dan inti kepada tamadun Malaysia!
* Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian
Klik di sini untuk terus membaca