INI bukan cerita tentang siakap kayangan yang harganya seekor beribu-riban.
Bukan juga tentang stik Salt Bae yang harganya sama dengan sebuah apartmen.
Ini cerita tentang tomyam ayam, sayur campur, sotong goreng tepung, telur dadar untuk tiga orang tetapi dimakan oleh lima orang.
Dan cerita ini bukan dari restoran berkipas angin, jauh sekali berhawa dingin. Ini cerita dari gerai tepi jalan, berjiran dengan tong roro tempat mengisi segala macam sampah.
"Semua sekali RM71.50, bos.”
"Termasuk minuman.”
"Tidak bos, minuman bayar di gerai sebelah.”
Terbang lagi RM10.50. Jadi jumlah keseluruhan RM82. Dibahagi dengan lima bersamaan RM16.40 seorang.
Masih murah, kata mereka yang berduit.
"Tetapi bagi marhaen macam saya, RM82 itu banyak, bos. Boleh buat belanja dapur seminggu.”
"Lain kali jangan makan di luar.”
"Bukan selalu bos. Sekali-sekala sahaja. Tak sampai hati nak tolak bila anak-anak ajak.”
"Lain kali jangan order sotong. Bukankah sotong memang mahal?”
"Kalau anak-anak yang hendak, susah kita hendak tolak, bos. Apatah lagi kalau emaknya yang minta.”
Saya diam.
"Tetapi soalnya mereka cuma gunakan sotong ring sejuk beku saja, bos. Setiap pek satu kilo sekitar RM9 atau RM10.”
Kalau dilayan dialog itu tidak akan berakhir, sama dengan tidak berakhirnya kos makan di luar yang dari semasa ke semasa terus bertambah mahal.
Bukan dia sahaja, saya juga banyak kali melalui pengalaman yang sama.
Sekarang ini saya kerap jumpa nasi goreng ikan masin, yang masinnya lebih kerana garam bukan kerana ikan berharga RM8 sepinggan.
Nasi goreng Cina dengan 13 bilah lobak merah dan sembilan hirisan ayam sebesar kepala lalat berharga RM7 pun pernah saya jumpa.
Itu harga di tempat yang biasa-biasa. Di tempat yang luar biasa, jangan ceritalah lagi.
Tetapi kita mempunyai pilihan untuk tidak masuk ke tempat-tempat luar biasa itu. Kalau tidak ada duit, jangan masuk.
Keadaan berbeza dengan tempat yang biasa-biasa. Ada waktunya kita tidak mempunyai pilihan, contohnya, seperti kisah kawan saya di atas.
Pada waktu yang lain pula kita mungkin sibuk dengan urusan di luar, jadi tidak sempat balik makan di rumah.
Jadi jalan keluarnya tentulah singgah di mana-mana gerai atau warung yang menunya sesuai dengan selera.
Pilihan yang kita ada ialah meninjau dari satu gerai ke gerai yang lain untuk mencari gerai mana menawarkan menu dengan harga yang lebih murah. Tetapi rajinkah kita untuk berbuat demikian?
Sanggupkah perut kita yang kelaparan itu menunggu? Apakah ada jaminan kita akan jumpa tempat yang harganya memang lebih murah?
Memang betul, makan di luar bukan satu keperluan. Tetapi seperti yang saya katakan tadi, ada ketikanya sukar untuk kita mengelak, lebih-lebih lagi bagi pasangan yang suami isteri sama-sama bekerja.
Kasihanlah pada isteri jika selepas balik dari kerja, selepas menempuh kesesakan jalan raya, terpaksa pula masuk ke dapur.
Kasihanlah pada suami kalau terpaksa mendengar bunyi periuk belanga diketuk lebih kuat daripada biasa.
Bagi pasangan yang bercinta pula takkanlah untuk mengelak daripada makan di luar kita hendak suruh mereka bawa balik pasangan masing-masing makan di rumah atau di bilik sewa. Lain pula jadinya nanti.
Kita tidak boleh salahkan peniaga makanan dan minuman.
Memang ada yang mengambil kesempatan, tetapi majoritinya tidak begitu. Hakikatnya apabila mereka terpaksa membayar harga yang tinggi untuk bahan mentah, bagaimanakah mungkin mereka hendak menjual makanan yang siap dimasak dengan harga murah?
Tidak munasabahlah pula kalau kita hendak menyuruh mereka memboikot pembekal bahan-bahan mentah itu?
Jadi apa solusinya? Saya cuma nampak dua cara. Pertama, lipat gandakan kempen supaya rakyat menjaga berat badan dan mengamalkan diet yang sihat.
Sediakan insentif, misalnya kepada mereka yang berjaya menurunkan berat badan pada kadar yang ditetapkan.
Cara kedua, yang saya khususkan kepada umat Islam, rajin-rajinlah berpuasa sunat. Pahala dapat, duit pun jimat.
Tapi jangan pula waktu berbuka puasa tempah meja di restoran kemudian pesan hidangan macam orang yang baru diselamatkan selepas berhari-hari hanyut di lautan...#dush!
* Datuk Dr Budiman Mohd Zohdi pernah berkhidmat sebagai setiausaha politik dan bekas wakil rakyat.
Klik di sini untuk terus membaca