IBARAT kata pepatah, hujan batu di negeri sendiri, hujan emas di negeri orang. Begitulah kisah tuah Ahli Parlimen Sungai Siput, S Kesavan yang berjaya mempertahankan salah satu kerusi ‘panas’ pada PRU15, meskipun terpaksa berdepan... Klik di sini untuk terus membaca

IBARAT kata pepatah, hujan batu di negeri sendiri, hujan emas di negeri orang.

Begitulah kisah tuah Ahli Parlimen Sungai Siput, S Kesavan yang berjaya mempertahankan salah satu kerusi ‘panas’ pada PRU15, meskipun terpaksa berdepan cabaran calon-calon heavyweight termasuk Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran.

SINAR PREMIUM: Apakah sumbangan besar Kesavan kepada penduduk Sungai Siput sehingga menyumbang kepada pengekalan kerusi itu kepada PKR dan PH?

KESAVAN: Kemenangan saya ini adalah kemenangan rakyat. Bukan atas nama individu.

Saya sebagai penyandang yang telah berkhidmat selama empat setengah tahun, percaya majoriti rakyat Sungai Siput masih mengekalkan saya kerana rekod perkhidmatan cemerlang.

Selain itu, mereka menghargai komitmen saya sanggup tinggal di Sungai Siput untuk bersusah senang bersama rakyat.

SH: Apa cabaran terbesar Kesavan sepanjang usaha mempertahankan kerusi Parlimen Sungai Siput?

PRU kali ini, suasana dan landskap politik berbeza. Kali ini, PH perlu menghadapi tiga pakatan besar lain iaitu BN, PN dan Gerakan Tanah Air (GTA).

Jadi, pola sokongan pengundi pastinya akan berubah. Lagi satu faktor penting yang perlu diambil kira adalah pengundi daftar automatik yang meliputi pengundi Undi18. Jumlah mereka juga agak besar dan sukar untuk baca pola sokongan mereka.

Dalam konteks Parlimen Sungai Siput, dengan saya berdepan tujuh calon termasuk Vigneswaran dan calon PN, Datuk Seri G Irudianathan, sememangnya satu cabaran sengit.

Ini kerana dari segi sejarah, daripada PRU pertama sehinggalah PRU11, kerusi Sungai Siput dimenangi oleh Presiden MIC pertama, Tun V T Sambanthan sebelum dikekalkan oleh Tun S Samy Vellu selama lapan penggal.

Kesavan (lima dari kiri) menerima kalungan bunga malar daripada penyokong PH selepas diumumkan sebagai pemenang kerusi Parlimen Sungai Siput pada malam hari pengundian PRU15, 19 November lalu.

SH: Adakah kehadiran calon-calon heavyweight termasuk Presiden MIC memberi tekanan?

Bukan mudah hendak menangkis cabaran calon BN daripada Presiden MIC sendiri. Saya sudah tetapkan dalam minda, walau apa jua cabaran melanda, saya perlu menang.

Bagi saya, kekuatan calon lawan dari sudut kewangan dan jentera parti memang diakui, tetapi pengalaman dan keyakinan saya terhadap rekod perkhidmatan cemerlang ditunjukkan pada penggal lalu mungkin menjadi pemisah soal menang dan kalah.

SH: Adakah kempen PRU15 berjalan dengan lancar tanpa sebarang unsur provokatif, termasuk usaha memainkan isu kontroversi Kesavan yang pernah disaman sebelum ini?

Ada pihak tertentu mengambil kesempatan untuk melancarkan serangan peribadi terhadap saya. Mereka menggunakan kes saman itu (dakwaan kes gangguan seksual).

Bagaimanapun, mahkamah sudah membuat keputusan untuk membuang kes berkenaan. Itu tidak beri kesan kerana pengundi lebih memahami saya berbanding kempen fitnah politik tidak berasas yang dilemparkan terhadap saya.

SH: Apa perancangan Kesavan untuk masyarakat di Parlimen Sungai Siput?

Saya akan menjadikan Sungai Siput sebagai satu contoh di mana masyarakat majmuk yang dengan komposisi kaum yang agak seimbang, mampu bersatu padu dan bekerjasama demi pembangunan kawasan lebih mampan.

Komposisi kaum di Parlimen ini adalah 36 peratus kaum Cina, Melayu (35 peratus), India (21 peratus) dan Orang Asli (lapan peratus). Ia cerminan imej Malaysia yang terdiri daripada rakyat pelbagai kaum.

Klik di sini untuk terus membaca