SEJAK PRU12, Parlimen Pokok Sena di Kedah di kuasai oleh Datuk Mahfuz Omar - PRU12 dan PRU13 mewakili Pas manakala PRU14 mewakili Parti Amanah Negara. Bagaimanapun gelombang hijau yang melanda PRU15 menyaksikan Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk... Klik di sini untuk terus membaca

SEJAK PRU12, Parlimen Pokok Sena di Kedah di kuasai oleh Datuk Mahfuz Omar - PRU12 dan PRU13 mewakili Pas manakala PRU14 mewakili Parti Amanah Negara.

Bagaimanapun gelombang hijau yang melanda PRU15 menyaksikan Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Ahmad Yahya merampas kembali kerusi tradisi parti itu daripada Mahfuz.

SINAR PREMIUM: Adakah Datuk menjangkakan akan bertanding di kerusi itu meskipun Datuk berstatus Pesuruhjaya Pas Kedah?

AHMAD: Dalam Pas, kita dididik supaya tidak meminta jawatan, apatah lagi bertanding di mana-mana tempat. Walaupun bagi seorang pesuruhjaya, kepimpinan tertinggi yang akan menentu usahakan di mana seseorang akan bertanding.

Apabila ditentukan saya bertanding bagi Parlimen Pokok Sena, saya yakin ia peluang terbaik untuk membawa arus gelombang sokongan sedia ada dalam PRU14 yang lalu. Alhamdulillah ia berhasil.

SH: Apa resipi kejayaan Datuk memandangkan Kerusi Pokok Sena sebelum ini dianggap kubu kuat Mahfuz sejak PRU 2008?

Bagi Pas Kedah, kami percaya bahawa keyakinan rakyat terhadap prestasi semasa kerajaan negeri Kedah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor merupakan resipi utama kejayaan Pas dan PN.

Begitu juga gelombang keyakinan rakyat yang di klasifikasi oleh penganalisis politik sebagai tsunami hijau.

Arus ini melanda negeri-negeri utama di pantai timur, semenanjung utara malah tempiasnya turut mengenai sebahagian tempat di semenanjung barat dan selatan tanah air.

SH: Ramai mengaitkan kejayaan Pas dan PN menang 14 daripada 15 kerusi Parlimen di Kedah pada PRU15 adalah berasaskan gelombang peralihan sokongan pengundi Melayu terutama pengundi muda terhadap koalisi itu. Pandangan Datuk terhadap perkara itu?

Golongan muda hari ini sangat celik dengan perkembangan politik tanah air. Kehadiran kelompok ini untuk berpartisipasi dalam politik melalui undi pilihan raya ini begitu mengejutkan, sekali gus menafikan dapatan politik pasca PRN Melaka dan Johor.

Saya berpandangan golongan ini menilai dengan kaca mata yang lebih bebas. Mereka bebas mendapatkan maklumat dan juga bebas menentukan pilihan mereka dalam pilihan raya. Alhamdulillah, di Kedah sendiri, Pas dan PN berjaya menguasai sebahagian besar saluran undi anak muda.

SH: Apa perasaan Datuk apabila diumumkan sebagai pemenang?

Alhamdulillah saya juga tidak menyangka gelombang tsunami hijau melanda sehingga ke Parlimen Pokok Sena.

Parlimen ini sebenarnya telah dimenangi oleh Pas sejak PRU 2008 dan 2013. Dalam PRU 2018, legenda bola sepak kebangsaan dan Kedah, Radhi Mat Din telah memberikan saingan yang sengit kepada Mahfuz.

Dalam masa yang sama, Pas memenangi dua kerusi daripada tiga kerusi DUN di bawah Parlimen ini. Ertinya ini juga boleh di klasifikasi sebagai kerusi tradisi Pas Kedah.

Cabaran utama kami di sini adalah membawa nama PN berbanding imej logo bulan yang lebih sinonim dengan masyarakat di sini.

Di tengah-tengah kempen, ada perang saraf pihak tertentu yang cuba membawa mesej negatif kepada rakyat bahawa Pas tidak bertanding di Kedah. Alhamdulillah kita dapat menghidu perkara ini dan cuba mengatasinya dengan pelbagai strategi kempen.

SH: Apa perancangan Datuk untuk masyarakat di sana dan harapan untuk kerajaan mendepani cabaran tahun 2023?

Alhamdulillah, kami Ahli Parlimen PN di negeri Kedah telah memulakan beberapa pertemuan termasuklah bersama Menteri Besar bagi mengusahakan satu kerjasama strategik dalam menyuarakan hasrat pembangunan di negeri ini.

Saya mengharapkan agar kerajaan Persekutuan ini dapat mengangkat nilai federalisme, memelihara keluhuran Perlembagaan di samping memastikan amalan budaya politik matang dan sejahtera dijadikan teras utama.

Kami bersedia untuk bertindak sebagai semak dan imbang yang efektif.

Klik di sini untuk terus membaca