BERDEPAN ahli Parlimen paling lama di Malaysia, Tengku Razaleigh Hamzah di Gua Musang bukan satu tugas mudah buat Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Gua Musang, Datuk Mohd Azizi Abu Naim. Bagaimanapun, keputusan PRU15... Klik di sini untuk terus membaca

BERDEPAN ahli Parlimen paling lama di Malaysia, Tengku Razaleigh Hamzah di Gua Musang bukan satu tugas mudah buat Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Gua Musang, Datuk Mohd Azizi Abu Naim.

Bagaimanapun, keputusan PRU15 menyaksikan penguasaan Tengku Razaleigh, 84, berakhir di tangan Mohd Azizi biarpun beliau memenangi kerusi itu dengan majoriti tipis 163 undi.

SINAR PREMIUM: Apa perasan Datuk apabila diumumkan sebagai pemenang Parlimen Gua Musang pada PRU15, baru-baru ini?

MOHD AZIZI: Badan saya berasa seram sejuk dan menggeletar sebaik sahaja nama diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selaku pemenang kerana tidak percaya dapat menewaskan Tengku Razaleigh yang sudah bertapak di sini lebih 30 tahun.

SH: Apa rahsia dan resipi yang membawa kepada kejayaan Datuk menewaskan Tengku Razaleigh?

Pertamanya, saya menggunakan pendekatan menjelajah ke seluruh jajahan Gua Musang dengan mendekati golongan pengundi warga emas dan orang asli selepas mengambil alih pucuk pimpinan Bersatu negeri pada 2020.

Kita memberikan penerangan mengenai situasi semasa kerajaan dan keperluan ahli Parlimen berkhidmat dengan rakyat kepada kumpulan warga emas yang menjadi fix deposit kepada Tengku Razaleigh dalam PRU, sebelum ini.

Kita berikan penerangan kepada mereka bahawa kita kena tukar Ahli Parlimen Gua Musang kepada orang baharu supaya pembangunan sosio-ekonomi setempat dapat berkembang.

Setahun selepas itu kita lancarkan gerakan bagi mendekati pengundi muda terutama mereka tinggal di sekitar Gua Musang iaitu Gerakan Anak Muda Tolak Ku Li seperti yang tular di media sosial, sebelum PRU15.

Alhamdulillah, kita lihat gerakan berkenaan berjaya mempengaruhi anak muda termasuk pengundi luar, generasi kedua/ketiga peneroka Felda dan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar).

Mohd Azizi (tengah) selepas diumumkan sebagai pemenang kerusi Parlimen Gua Musang pada PRU15, 19 November lalu.

SH: Apakah antara perubahan dan isu bakal Datuk bangkitkan di Dewan Rakyat untuk membantu meningkatkan kehidupan masyarakat Gua Musang pada masa depan?

Antara masalah utama yang bakal saya ketengahkan kepada Dewan Rakyat dan kerajaan negeri ialah isu pemilikan tanah generasi kedua Felda dan Kesedar.

Masalah kedua ialah masalah kesihatan. Penduduk Gua Musang memerlukan sebuah hospital baharu yang serba lengkap. Hospital Gua Musang sedia ada bukan hanya sudah lama malah tidak mempunyai doktor pakar dan kemudahan canggih bagi menampung jumlah penduduk semakin ramai.

Akibatnya penduduk Gua Musang terpaksa pergi ke jajahan lain terutama Hospital Kuala Krai bagi mendapatkan rawatan doktor pakar.

SH: Seperti kita tahu tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Gua Musang iaitu Nenggiri, Paloh dan Galas kini berada di bawah penguasaan BN. Jadi adakah Datuk percaya PN mampu merampasnya dalam pilihan raya negeri (PRN) nanti?

Insya-ALLAH, kita mampu menawan ketiga-tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berkenaan dalam PRN nanti.

Malah, sekarang ini kita sudah membuat gerak kerja bagi mengenal pasti pemimpin Pas dan Bersatu yang bakal diangkat menjadi calon pada PRN nanti.

Kita sudah gerakan awal seperti dilakukan untuk merampas kerusi Parlimen Gua Musang daripada Tengku Razaleigh, sebelum ini dan Alhamdulillah, kita lihat maklum balas pengundi di ketiga-tiga DUN berkenaan adalah positif.

Fokus utama kita sekarang ialah merampas DUN Galas kerana ia adalah kubu kuat BN dengan majoriti pengundinya adalah terdiri daripada masyarakat orang asli.

Klik di sini untuk terus membaca