SHAH ALAM - Pakar ekonomi berpendapat bahawa strategi baharu yang sedang dirangka Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli bersama kementerian lain untuk mengatasi kos sara hidup meningkat perlu dilakukan segera. Pakar ekonomi daripada University... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pakar ekonomi berpendapat bahawa strategi baharu yang sedang dirangka Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli bersama kementerian lain untuk mengatasi kos sara hidup meningkat perlu dilakukan segera.

Pakar ekonomi daripada University College i-CATS Kuching, Profesor Datuk Dr Shazali Abu Mansor berkata, perkara tersebut selewat-lewatnya perlu dilaksanakan pada Mac ini.

"Bagi masa dalam sebulan lagi mereka rangka dan sebagainya untuk laksanakan perkara ini. Namun, ia tidak boleh mengambil masa yang lama sehingga bulan April dan ke atas.

"Ini kerana, rakyat ketika ini sangat terbeban. Ramai yang sudah tidak tahan lagi dengan kenaikan harga barang,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Rafizi ketika sidang akhbar pada Rabu berkata, kerajaan menerusi kerjasama beberapa kementerian sedang merangka strategi baharu dalam mengatasi isu kos sara hidup antaranya adalah rantaian makanan dan menambah sumber bekalan di dalam negara.

Jelas Rafizi, ia membabitkan pelan strategi jangka pendek dan panjang yang akan diumumkan dalam masa terdekat.

Menurut Rafizi, kementeriannya dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Sara Hidup (KPDN), Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS), Kementerian Kewangan (MOF) dan agensi berkaitan sedang meneliti langkah ke arah jaminan bekalan makanan bagi memenuhi permintaan seterusnya membantu mengawal kenaikan harga.

Tambah Shazali, antara perkara yang boleh dititikberatkan dan dimasukkan ke dalam kerangka itu adalah memberi bantuan bersasar seperti pemberian baucar kepada golongan tidak berkemampuan.

"Negara luar banyak beri baucar makanan. Ini saya lihat sangat bagus untuk lakukan sebab orang tertentu sahaja yang boleh dapat dan gunakannya. Jadi, mereka yang mampu, beli guna duit sendiri,” jelasnya.

Turut menyokong perkara sama, pakar ekonomi, Dr Nungsari Ahmad Radhi berkata, bagi jangka masa pendek, kerajaan perlu membantu secara terus kepada isi rumah yang terjejas bagi memastikan pemakanan mereka terjaga.

Nungsari

Nungsari turut berpendapat bahawa kerajaan perlu lebih cekap berbanding pengimport dalam menambah pengeluaran dalam negara.

"Ini sepatutnya menjadi sebahagian dasar sekuriti makanan yang lebih meluas, melampaui soal inflasi,” jelasnya.

Sementara itu, Penyelidik Kanan DM Analytics, Zouhair Rosli berkata, antara perkara lain yang perlu diambil kira adalah melakukan kerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia (KSM) dengan meningkatkan gaji minimum.

"Gaji kita sekarang memang sedia ada rendah. Bila ada kenaikan barang sikit pun dah terasa.

" Perkara pokok isu ini pada pendapat saya adalah gaji sebenarnya,” jelas beliau.


INFO HARGA BARANG MINGGU INI

Ayam proses standard RM7.99

Kangkung RM3.99

Kubis bulat- tanah tinggi RM4.00

Sawi hijau RM5.00

Cili Merah Kulai RM12.49

Bawang besar merah - India RM2.78

Bawang kecil merah - India RM10.90

Sumber: PriceCatcher Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN)


Klik di sini untuk terus membaca