SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kawalan terhadap kenderaan akan terjejas jika dinaiki melebihi muatan penumpang sekali gus mendedahkan risiko bahaya kepada pemandu dan penumpang. Perunding keselamatan jalan raya, Tengku Ahmad Marwan Tengku... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kawalan terhadap kenderaan akan terjejas jika dinaiki melebihi muatan penumpang sekali gus mendedahkan risiko bahaya kepada pemandu dan penumpang.

Perunding keselamatan jalan raya, Tengku Ahmad Marwan Tengku Mahmud berkata, kenderaan akan menjadi lebih berat apabila melebihi kapasiti serta memberikan kesan terhadap cengkaman tayar dan memerlukan jarak yang lebih jauh untuk membrek.

Menurutnya, sistem brek kenderaan termasuk tayar mempunyai had berat maksimum yang boleh ditampung untuk memastikannya dapat dikawal dengan selamat.

"Contohnya kapasiti lima penumpang tapi memuatkan enam orang. Individu keenam itu tidak mempunyai tempat duduk yang sepatutnya dan dia tidak dapat memakai tali pinggang keledar.

"Jika berlaku perlanggaran, orang keenam itu akan berisiko tinggi untuk mendapat kecederaan yang lebih teruk dan mungkin maut.

"Kita kena ingat, orang yang tidak diikat (memakai tali pinggang keledar) dalam kenderaan, boleh membahayakan penumpang lain termasuk pemandu kerana risiko tercampak.

"Kalau kita lihat di Malaysia, betapa banyak van sekolah yang melebihi muatan. Bayangkan kalau berlaku kemalangan, apa yang akan jadi dengan orang itu?” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Tengku Ahmad Marwan yang juga Ahli Tetap Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Selangor menambah, secara asasnya kapasiti penumpang sesebuah kenderaan boleh dilihat pada jumlah tempat duduk dan berapa tali pinggang yang ada. Pada masa sama, beliau menekankan pentingnya penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak di dalam kenderaan.

Jelasnya, walaupun undang-undang mengenainya sudah dikuatkuasakan sejak beberapa tahun lalu, namun ia masih lagi dipandang remeh oleh masyarakat.

"Bagi yang membawa kanak-kanak, kena sentiasa menggunakan kerusi keselamatan. Tali pinggang yang ada dalam kereta tidak dapat menampung saiz kanak-kanak yang lebih kecil kerana ia untuk penumpang dewasa sahaja.

"Jika kita lihat di negara maju, kita boleh lihat tiada kanak-kanak bergerak bebas di dalam kenderaan sebab undang-undang dan keselamatan mereka ketat. Saya sarankan pihak berkuasa untuk meningkatkan lagi penguatkuasaan dalam hal ini,” jelasnya.

Jangan bawa penumpang berlebihan - Polis

Kawalan terhadap kenderaan akan terjejas jika dinaiki melebihi muatan penumpang sekali gus mendedahkan risiko bahaya kepada pemandu dan penumpang. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Polis mengingatkan pemandu kenderaan agar tidak mengambil mudah dengan membawa lebihan penumpang kerana dibimbangi merisikokan dan mengakibatkan kemalangan.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mat Kasim Karim berkata, pihaknya memandang berat isu ini.

Katanya, pengguna jalan raya perlulah mengambil berat dan memastikan bilangan penumpang adalah mengikut kapasiti yang dibenarkan.

"Jika diambil mudah, mungkin atas faktor yang pelbagai seperti keadaan jalan raya atau cuaca, kemampuan kenderaan dengan penumpang untuk risiko kemalangan adalah tinggi.

"Masyarakat perlu ingat dan patuhi perkara ini termasuklah juga bagi kenderaan berat atau perdagangan agar tidak membawa muatan berlebihan,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Tegasnya, patuhi kemampuan dan syarat kenderaan yang ditetapkan. Pada Ahad, enam termasuk dua kanak-kanak yang menaiki sebuah kenderaan jenis Perodua Myvi dilaporkan maut selepas terbabit kemalangan di Kilometer 71 Jalan Batu Pahat-Mersing, Kluang, Johor.

30 November 2013

Enam maut dalam pertembungan ngeri kereta Perodua Kancil dan Toyota Hilux di Kilometer 82 Jalan Selangau-Mukah.

Mereka yang terbunuh ialah lima sekeluarga dari kereta Kancil dan seorang penumpang dari kereta Hilux.

Kereta Perodua Kancil terbabit membawa enam penumpang termasuk pemandu dari Bruit menuju ke Mukah.

16 Jun 2014

Empat lelaki maut manakala tujuh lagi parah selepas kereta Honda Accord yang mereka naiki terbabas di Kilometer 134.1 Lebuhraya Pantai Timur dekat Temerloh.

Kejadian dipercayai berlaku jam 4.29 pagi ketika kereta yang dinaiki 11 orang itu sedang dalam perjalanan dari Rantau Panjang, Kelantan menghala ke Kuala Lumpur.

Siasatan awal mendapati kenderaan yang dinaiki mereka terbabas ke kiri jalan lalu terbalik menyebabkan empat mangsa tercampak keluar dan mati di tempat kejadian.

4 Julai 2016

Tujuh sekeluarga dalam sebuah Perodua Myvi maut selepas bertembung dengan sebuah lori tiga tan Kilometer 11, Jalan Gua Musang-Kuala Krai.

Nahas itu berlaku jam 1.20 pagi ketika tiga kenderaan termasuk kereta Perodua Myvi dinaiki mangsa dalam perjalanan menghala ke Kuala Krai.

Dalam kejadian itu, Perodua Alza berada di barisan depan manakala Myvi dinaiki mangsa di belakangnya, tetapi kereta Alza sempat mengelak sebaik ternampak lori memasuki laluannya.

5 Mei 2018

Lima individu termasuk dua kanak-kanak maut selepas terbabit dalam nahas jalan raya membabitkan lima buah kenderaan di Batu 28, Jalan Oya-Sibu.

Insiden melibatkan tiga buah kenderaan iaitu kenderaan Perodua Viva dengan lima penumpang dihimpit depan dan belakang oleh sebuah treler dengan muatan kereta dan sebuah bas ekspres.

Pasukan penyelamat menggunakan dua buah jentolak dan jengkaut milik Projek Lebuh Raya Pan Borneo untuk mengalihkan treler terbabit bagi membolehkan kerja-kerja penyelamatan dan mengeluarkan mangsa dilakukan.

18 Disember 2021

Sembilan daripada 10 sekeluarga yang menaiki Proton Wira maut dirempuh treler ketika berhenti di lorong kecemasan Lebuhraya Elite menghala Shah Alam.

Kenderaan tersebut berhenti di laluan kecemasan di lokasi kejadian akibat rosak.

Ketika kejadian, bapa dan suami kepada kesemua mangsa berada di luar kenderaan tersebut manakala seorang lelaki berusia 27 tahun dipercayai mekanik sedang membaiki Proton Wira itu.

14 November 2022

Seorang wanita maut manakala suami dan lima anak pasangan itu cedera selepas terbabit dalam kemalangan berhampiran restoran jejantas Sungai Buloh di Lebuh Raya Utara Selatan menghala Kuala Lumpur.

Kemalangan melibatkan sebuah kenderaan jenis Honda Accord yang dinaiki wanita terbabit bersama enam ahli keluarganya yang melanggar bahagian belakang sebuah treler di laluan sama.

Akibat kemalangan itu, wanita berusia 38 tahun tersepit di bahagian penumpang hadapan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan.

3 Ogos 2022

Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun ditahan bersama 25 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dipandunya merempuh sebuah motosikal ditunggangi anggota polis yang sedang mengejarnya di Taman Sri Kuching.

Suspek bersama warga asing itu ditemui kira-kira jam 12.05 tengah hari ketika sepasukan anggota dari Balai Polis Jinjang bersama ketua balai sedang melakukan rondaan di Jalan Selinsing.

Ketika rondaan, anggota polis melihat sebuah MPV jenis Toyota Vellfire berwarna hitam dipandu dalam keadaan mencurigakan dan setibanya di Jalan Manjoi 3, Taman Sri Kuching, polis mengarahkan kenderaan itu berhenti untuk pemeriksaan.

Klik di sini untuk terus membaca