BELUM sampai seminggu pun gagasan murni Malaysia Madani dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ujiannya muncul di sebuah sekolah elit di Johor, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent Johor Bahru. Malaysia Madani... Klik di sini untuk terus membaca

BELUM sampai seminggu pun gagasan murni Malaysia Madani dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ujiannya muncul di sebuah sekolah elit di Johor, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent Johor Bahru.

Malaysia Madani ingin memajukan negara ini dari segi pemikiran, kerohanian dan kebendaan. Dalam konteks pembinaan negara bangsa, ia mengambil inspirasi daripada kehidupan bermasyarakat di negara yang pertama didominasi muslim, Madinah.

Di Madinah, Nabi Muhammad memainkan dwifungsi sebagai ketua agama umat Muslim dan juga ketua negara bagi seluruh warga Madinah termasuk minoriti Yahudi dan Kristian.

Pemikir-pemikir Islamis yang progresif antaranya Allahyarham Dr Siddiq Fadzil menyeru agar konsep ‘kewarganegaraan’ (muwatanah) untuk menggantikan perbezaan rakyat kepada dua golongan yang lain taraf dan lain hak, muslim dan bukan muslim.

Berbanding dengan konsep muwatanah yang diamalkan sejak zaman Nabi di Madinah, pembezaan muslimbukan muslim hanya muncul pada zaman empayar-empayar Islam selepas kewafatan Nabi.

Gagasan Malaysia Madani membawa potensi untuk menyepadukan rakyat Malaysia untuk kita bangkit sebagai sebuah negara bangsa yang lebih kuat, penyayang dan berdaya saing di arena dunia.

Dalam minggu perayaan tahun baharu Cina, SMK Infant Jesus Convent Johor Baru telah menganjurkan bengkel pemulihan dua hari satu malam untuk pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di sebuah hotel, tetapi hanya pelajar muslim dapat menyertainya.

Malah, pelajar-pelajar bukan muslim tidak mengetahui kewujudan bengkel ini yang kononnya ditaja oleh penderma swasta dan untuk Pendidikan Islam, tetapi merangkumi Kimia dan Matematik Tambahan.

Mengikut laporan media, apabila disoal dalam kumpulan WhatsApp PIBG, pihak pentadbir sekolah menafikan berlaku pilih kasih kerana peserta bengkel adalah pelajar yang lemah akademik dan menegur ibu bapa supaya mengambil ‘sikap terbuka’.

Kontroversi ini mengajak masyarakat merenung sama ada gagasan murni Malaysia Madani benar-benar dapat menembusi pemikiran pilih bulu yang memang kuat merentas kaum di Malaysia, bahkan lebih memudaratkan lagi jika agensi awam seperti sekolah juga terikut-ikut rentak ini.

Dalam perkembangan terbaru, Kementerian Pendidikan mengeluarkan kenyataan bahawa tiada diskriminasi kaum/agama, dan rupa-rupanya bengkel yang sama juga terancang untuk pelajarpelajar bukan muslim yang kini akan menyertainya pada 26 dan 27 Januari.

Mungkin penjelasan ini tidak dapat memuaskan rasa ingin tahu semua pihak, seperti mengapa bengkel yang lepas tidak boleh melibatkan pelajar India yang tidak menyambut Tahun Baharu Cina.

Tiada bumi yang tidak ditimpa hujan. Yang penting ialah semua pihak ambil iktibar daripada episod ini. Yang penting SMK Infant Jesus Convent mulai sekarang, bukan saja perlu lebih bijak merancang dan berkomunikasi, tetapi juga akan menjadi teladan penghakikian ideal Malaysia Madani, di mana semua anak murid dididik dengan teladan daripada pembesar dan guru untuk menerima dan mengasihi insan lain tanpa memilih bulu.

Saya sendiri amat bertuah dapat belajar di SMK Sri Kampar, Kampar selama dua tahun untuk Tingkatan Enam. Sungguhpun saya berasal daripada sekolah Cina, saya tidak pernah merasai diri saya dianaktirikan atau dipandang serong kerana kelainan kaum, agama, bahasa atau latar belakang pendidikan saya.

Daripada cikgu disiplin Allahyarham Cikgu Harun sampailah kepada Pakcik Alwi di kantin, saya dilimpahi dengan bimbingan dan kasih sayang. Daripada pengalaman di SMK Sri Kampar, saya tahu Malaysia Madani bukanlah mustahil.

Semoga semua sekolah menjadi tapak Malaysia Madani bercambah, dan bukan tempat ia terkubur.

Indah dipandang laut biru,

Tak rasa beranjak detikan;

Besar peranan sang guru,

Didik ilmu didik perwatakan.

* Profesor Wong Chin Huat ialah Timbalan Ketua (Strategi), Pejabat Asia, Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Mampan PBB (SDSN-Asia) di Universiti Sunway.

Klik di sini untuk terus membaca