WASHINGTON - Bekas Naib Presiden Mike Pence pada Selasa mendedahkan bahawa beliau telah menemui dokumen dengan tanda 'SULIT' di kediamannya pada minggu lalu, pendedahan terbaharu dalam skandal pengendalian dokumen rahsia paling... Klik di sini untuk terus membaca

WASHINGTON - Bekas Naib Presiden Mike Pence pada Selasa mendedahkan bahawa beliau telah menemui dokumen dengan tanda 'SULIT' di kediamannya pada minggu lalu, pendedahan terbaharu dalam skandal pengendalian dokumen rahsia paling sensitif negara oleh politikus di Amerika Syarikat (AS).

Sejurus penemuan itu, Pence yang dilihat sebagai antara calon untuk bertanding bagi jawatan Presiden pada pilihan raya tahun hadapan telah mengarahkan peguamnya untuk memaklumkan Arkib Negara mengenai "sebilangan kecil" dokumen yang disimpan di dalam kotak dan diangkut secara tidak sengaja ke kediaman peribadinya berhampiran bandar Zionsville di pinggir Indiana ketika beliau meninggalkan pejabat pada 2021 susulan kekalahan Donald Trump pada Pilihan Raya Presiden 2020.

Pengerusi Jawatankuasa Pemantauan Dewan pimpinan Republikan, James Comer berkata, Pence telah memaklumkan penemuan tersebut kepada pihaknya dan pemimpin berusia 63 tahun itu juga bersetuju untuk memberi kerjasama penuh untuk memastikan rekod itu dikendalikan dengan betul.

Bagaimanapun tiada maklumat terperinci mengenai maklumat yang terkandung dalam dokumen tersebut atau tahap kerahsiaannya.

Penemuan itu berlaku di tengah-tengah rentetan pendedahan mengenai dokumen sulit yang ditemui di kediaman peribadi Presiden Joe Biden di Wilmington, Delaware dan di pejabat sementaranya di Universiti Pennsylvania termasuk penemuan dokumen yang dilabelkan sebagai 'rahsia besar' selepas serbuan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) di rumah Trump di Mar-a-Lago, Florida.

"Ketelusan Pence sangat berbeza dengan kakitangan Biden di Rumah Putih yang terus menahan maklumat daripada Kongres dan rakyat Amerika," ujar Comer tanpa menyebut kes Trump.

Jabatan Kehakiman kini sedang menjalankan siasatan sama ada Trump melanggar undang-undang kerana membawa rekod kerajaan, termasuk merangkumi kira-kira 100 dokumen sulit ke kediamannya di Florida tidak lagi menjadi Presiden pada Januari 2021.

Selain itu, jabatan itu juga sedang meneliti sama ada Trump atau pasukannya ada menghalang perintah urusan menjalankan keadilan apabila FBI menghantar ejen untuk menggeladah rumahnya.

Sementara itu, CNN dalam laporannya yang memetik sumber tidak dinamakan menyebut bahawa Pence telah meminta peguamnya, Greg Jacob untuk melakukan pemeriksaan di rumahnya sebagai langkah berjaga-jaga.

Susulan itu, Jacob telah menemui sebanyak empat set kotak mengandungi dokumen sulit pada minggu lalu.

'Lelaki yang tidak bersalah'

"Mike Pence adalah lelaki yang tidak bersalah. Dia tidak pernah melakukan sebarang penyelewengan dan sentiasa bersikap jujur. Jangan ganggu hidup dia," komen Trump yang disiarkan di platform Truth Social.

Perkembangan terbaharu itu berlaku ketika Republikan meningkatkan siasatan mereka terhadap dokumen sulit yang disimpan Biden yang juga Naib Presiden semasa era pentadbiran Barack Obama.

Trump (kanan) dan Biden disiasat susulan penemuan dokumen sulit di kediaman peribadi mereka baru-baru ini.

Susulan pendedahan itu, pengkritik Biden telah mengambil peluang untuk berhujah bahawa beliau tidak telus.

Isu itu adalah gangguan yang tidak diingini Biden ketika beliau bersedia untuk mengumumkan keputusan sama ada bertanding untuk penggal kedua.

Kelompok pertama dokumen ditemukan pada 2 November di Penn Biden Centre di Washington D.C diikuti dengan penemuan dokumen sulit tambahan pada 20 Disember di garaj Biden dan kemudian di rumahnya di Delaware.

Dokumen itu dilaporkan termasuk memo perisikan AS dan bahan taklimat bertarikh antara 2013 dan 2016 berkaitan Ukraine, Iran dan United Kingdom (UK).

Peguam Negara Merrick Garland minggu lalu mengumumkan pelantikan peguam khas untuk menyiasat dokumen sulit yang ditemukan itu.

Rumah Putih kini menerima tekanan hebat daripada Republikan dan media kerana tidak mendedahkan dokumen itu telah ditemukan sebelum pilihan raya.

Biden sebelum ini berulang kali menegaskan bahawa beliau tidak berniat untuk menyimpan sebarang dokumen sulit kerajaan.

Undang-undang 1978 mewajibkan Presiden dan Naib Presiden AS menyerahkan e-mel, surat dan dokumen rasmi mereka yang lain kepada Arkib Negara. - AFP

Klik di sini untuk terus membaca