MASALAH kemiskinan tegar di Malaysia mungkin diatasi dengan lebih berkesan jika kerajaan mewujudkan sebuah pangkalan data bersepadu. Ia boleh berfungsi sebagai rujukan dan diakses oleh semua pihak termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)... Klik di sini untuk terus membaca

MASALAH kemiskinan tegar di Malaysia mungkin diatasi dengan lebih berkesan jika kerajaan mewujudkan sebuah pangkalan data bersepadu.

Ia boleh berfungsi sebagai rujukan dan diakses oleh semua pihak termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mahu pun lembaga zakat negeri.

Kewujudan pangkalan data berkenaan juga akan memudahkan agensi kerajaan memberikan pelbagai bentuk latihan kemahiran dan perniagaan yang mampu menjadi ‘batang pancing’ untuk mengeluarkan golongan berpendapatan rendah atau B40 dari garisan kemiskinan tegar.

Bagaimanapun ketiadaan sistem pangkalan data bersepadu yang sistematik itu menjadi punca bantuan JKM dan zakat tidak sampai kepada golongan sasar yang benar-benar memerlukan.

"Saya melihat situasi semasa seperti pandemik Covid-19 melanda negara selama lebih dua tahun juga menjadi antara penyebab utama ramai golongan M40 kini jatuh miskin kerana banyak sektor ekonomi dan syarikat terpaksa ditutup.

"Apabila ekonomi dibuka semula pada tahun 2022, golongan cepat pulih ialah orang kaya kerana mereka mempunyai aset yang boleh memberikan pulangan, manakala B40 tidak mampu berbuat demikian susulan sukar mendapat pekerjaan baharu dan tiada aset untuk dicairkan,” kata Pengarah Program MBA Putra Business School (PBS), Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff kepada Sinar Premium.

Majoriti rakyat Malaysia yang tinggal di Kuala Lumpur dan Selangor sekarang termasuk golongan M40, namun berada dalam kategori miskin bandar kerana jumlah perbelanjaan mereka melebihi pendapatan bulanan isi rumah masing-masing.

Justeru, Ahmed Razman berkata, kerajaan perlu mengkaji semula takrifan kadar kemiskinan tegar, kategori B40 dan M40 mengikut kedudukan demografi, bilangan anak dan taraf kesihatan rakyat di negara ini.

Ini penting kerana golongan M40 yang tinggal di Kuala Lumpur dan mempunyai pendapatan isi rumah kira-kira RM4,500 sebulan, boleh dikategorikan sebagai miskin bandar kerana tidak mampu menampung kos sara hidup di ibu kota yang mencecah antara RM5,500 dan RM6,500 sebulan.

"Sebab itulah saya melihat golongan M40 di Kuala Lumpur dan Selangor tidak boleh hidup selesa berbanding rakan mereka tinggal di Kelantan dan Kedah,” katanya Ahmed Razman.

Budaya harapkan bantuan

Pensyarah Kanan, Pusat Latihan Intern dan Pengayaan Akademik (CITrA), Universiti Malaya, Dr Muhammad Shamshinor Abdul Azzis berpandangan, antara punca utama kerajaan masih gagal menangani isu kemiskinan tegar dalam kalangan rakyat di Malaysia adalah faktor sosiobudaya dan pemikiran.

Dedah Muhammad Shamshinor, ada dalam kalangan masyarakat Malaysia mempunyai budaya mengharapkan bantuan untuk meneruskan kelangsungan hidup masing-masing.

Beliau berkata, biarpun berpeluang keluar daripada kepompong kemiskinan tegar, mereka enggan berusaha menambah pendapatan isi rumah kerana tidak mahu berbuat demikian dan terus mengharapkan bantuan dihulurkan kerajaan atau swasta serta pertubuhan kebajikan.

Pengelasan baharu isi rumah oleh Jabatan Perangkaan Malaysia pada tahun 2020.

Keadaan itu katanya, menjadi bertambah parah selepas kerajaan memperluaskan takrifan kemiskinan tegar kepada keluarga berpendapatan isi rumah di bawah RM4,851 sebulan mulai 2022 sekali gus tidak berlaku adil untuk golongan memerlukan bantuan seperti kumpulan B10 atau T20.

Tegasnya, takrifan kemiskinan tegar diguna pakai di Malaysia kini sudah ketinggalan kerana hanya menjadikan pendapatan isi rumah sebagai kayu pengukur, berbanding definisi diguna pakai negara maju melibatkan aspek yang lebih luas iaitu merangkumi tahap pendidikan, taraf hidup, kesihatan, bilangan anak dan sebagainya.

"Ini kerana ada individu tertentu mempunyai gaji bulanan mencecah RM10,000 namun pendapatan mereka tidak mencukupi kerana mempunyai anak kurang upaya, anak ramai dan sebagainya.

"Ada juga orang dikategorikan sebagai B40 kerana menerima gaji bulanan kurang RM4,000 namun dia hidup tidak terlalu susah kerana tinggal di Kelantan dan Kedah yang mempunyai kos sara hidup yang rendah berbanding bandar besar seperti Kuala Lumpur, Putrajaya, Johor Bahru atau Pulau Pinang,” katanya.

Penyelewengan dan ketirisan

Muhammad Shamshinor berkata, antara punca kegagalan program pembasmian kemiskinan tegar diwujudkan kerajaan di seluruh negara adalah kerana penyelewengan dan ketirisan agihan dana disalurkan kerajaan setiap tahun.

"Saya berharap kerajaan akan menunjukkan keseriusan dalam menangani isu ketirisan dan rasuah semakin berleluasa di Malaysia sekarang menerusi Bajet 2023 nanti, sekali gus membolehkan kita mempunyai lebih banyak dana untuk membantu golongan memerlukan.

"Satu lagi kerajaan perlu menitikberatkan soal keselamatan makanan dengan menggalakkan golongan belia terutama di luar bandar menjadi petani moden seterusnya membantu keluarga mereka keluar dari garisan kemiskinan tegar,” katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Shamshinor sependapat bahawa cara terbaik bagi membasmi kemiskinan tegar adalah dengan mewujudkan sistem pangkalan data tunggal yang boleh akses semua pihak.

"Jika kita mahu menghapuskan kemiskinan tegar, kerajaan perlu mewujudkan satu sistem pangkalan data yang mempunyai rekod penerima semua bantuan seperti e-Kasih, penerima bantuan zakat dan NGO secara bulanan.

"Ketiadaan sistem pangkalan data itu menyebabkan berlaku ketidakadilan dalam pengagihan dana kerana ada penerima menerima bantuan terlalu banyak, manakala satu lagi kumpulan tidak menerima langsung bantuan dari agensi lain,” kata beliau.

Tegasnya, ia penting bagi membolehkan kerajaan mengetahui secara lebih tepat jumlah sebenar golongan B40 yang patut menerima bantuan kerajaan secara bersasar setiap bulan.

Klik di sini untuk terus membaca