SHAH ALAM - 'Saya sedia dipanggil (menghadap) Lembaga Disiplin UMNO dan rela kena pecat kalau prinsip saya bersuara demi parti dianggap sabotaj.' Demikian kenyataan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Tan Sri Noh Omar yang... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - 'Saya sedia dipanggil (menghadap) Lembaga Disiplin UMNO dan rela kena pecat kalau prinsip saya bersuara demi parti dianggap sabotaj.'

Demikian kenyataan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Tan Sri Noh Omar yang mengesahkan beliau bersama empat pemimpin UMNO Bahagian Tanjung Karang termasuk anaknya sendiri, telah diberi notis panggilan untuk menghadap Jawatankasa Pengurusan Lembaga Disiplin UMNO pada 30 Januari ini.

Jelas bekas Pengerusi UMNO Selangor itu, selain beliau, Setiausaha UMNO Bahagian Tanjung Karang, Jasman Anuar; Ketua Puteri UMNO bahagian, Salbiah Saari; adik beliau yang juga Ahli Jawatankuasa (AJK) UMNO bahagian, Yusop Omar dan anak perempuannya yang juga AJK Puteri UMNO bahagian, Nurul Syazwani turut menerima notis sama yang dihantar Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Lembaga Disiplin UMNO, Datuk Mohd Hafarizam Harun menerusi kiriman aplikasi WhatsApps, minggu lalu.

Ujarnya, kandungan notis panggilan itu memaklumkan beliau bersama empat pemimpin UMNO Bahagian Tanjung Karang telah dikaitkan dengan beberapa pertuduhan pengkhianatan parti sewaktu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berlangsung pada November tahun lalu.

"Saya akan berhadapan dengan Lembaga Disiplin UMNO pada 30 Januari ini dan pada malam esok (Jumaat), saya juga akan hadir bagi menjelaskan setiap pertuduhan dikemukakan ke atas saya kerana saya masih ahli MKT UMNO (walaupun digugurkan jawatan Pengerusi UMNO Selangor).

Noh berkata demikian bagi mengulas spekulasi Jawatankuasa Pengurusan Lembaga Disiplin UMNO dipercayai akan memanggil beliau pada 30 Januari hadapan bagi menentukan status keahliannya.

Noh (empat dari kanan) turut dipanggil Lembaga Disiplin UMNO.

Selain Noh, jawatankuasa itu menerusi satu mesyuarat pada Rabu dikatakan turut membincangkan status keahlian bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dalam parti itu.

Sebelum itu, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mengesahkan mengenai perkara itu dalam reaksi ringkas ketika ditanya pemberita dalam satu program Kementerian Pertahanan di Sungai Besi pada Rabu.

Susulan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 lalu meluluskan usul jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan, terdapat dakwaan mengatakan satu langkah 'pembersihan' parti sedang dilaksanakan pucuk kepimpinan parti itu terhadap mereka yang tidak bersetuju dengan keputusan PAU tempoh hari.

Sementara itu, Noh mempersoalkan tindakan parti menuduh beliau melakukan pengkhianatan terhadap UMNO Bahagian Parlimen Tanjung Karang pada PRU15 pada saat parti kalah teruk dan gagal menang majoriti kerusi Parlimen di tujuh negeri ditandingi termasuk Selangor.

Tegas beliau, sekiranya UMNO mahu bermuhasabah daripada implikasi kekalahan teruk PRU15, parti itu sepatutnya harus menerima hakikat bahawa kekalahan pilihan raya sebelum ini disebabkan penolakan rakyat.

"Adakah pengkhianatan parti hanya berlaku di kerusi Parlimen Tanjung Karang semata-mata pada PRU lalu?

"Kalau Tanjung Karang sahaja yang kalah di Selangor, bolehlah nak tuduh ada pengkhianatan parti. Tetapi kalau dah kalah banyak sangat sampai Melaka pun tidak boleh menang satu kerusi walaupun PRN (Pilihan Raya Negeri) menang majoriti dua pertiga (dua tahun lalu), tidak logiklah hendak salahkan orang lain.

"Kerusi Parlimen Bagan Datuk yang Presiden UMNO sendiri bertanding pun hanya menang tipis 340 undi, adakah sebab berlaku sabotaj dalaman? Kalau UMNO mahu ke hadapan, jangan cari jalan mudah salahkan orang lain, sebaliknya buka lembaran baharu dengan muhasabah diri dan lupakan kekalahan lalu," luahnya.

Tambah bekas Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi itu, kekalahan besar UMNO pada PRU15 yang disebabkan penolakan rakyat, mungkin juga ada kaitan dengan faktor calon di mana pengundi di sesuatu kawasan itu tidak menyokong calon ditampilkan walaupun Parlimen itu kubu kuat parti.

"Tidak boleh kata bila kita kalah, maknanya berlaku sabotaj dalaman.

"Rakyat mungkin tolak parti kerana faktor calon. Ambil contoh di Parlimen Tanjung Karang, kawasan ini kubu kuat UMNO, tetapi mungkin kerana faktor calon dipilih, kita tidak menang.

"Apa juga pendapat saya, saya akan bercakap dalam mesyuarat MKT esok (Jumaat malam).

"Saya pegang prinsip, saya sentiasa mengikut arahan parti. Saya sentiasa menjunjung Perlembagaan UMNO dan sebarang keputusan ditetapkan PAU. Bagi saya pemimpin datang dan pergi, yang penting keputusan parti mesti tidak melanggar perlembagaan UMNO," tegasnya.

Klik di sini untuk terus membaca