SEJAK sekian lama pembeli sangat meragui tahap keselamatan kereta buatan tempatan. Jenama Proton dianggap tidak berkualiti apabila berbicara soal tahap keselamatan dan jaminan tidak mudah dicuri. Sikap skeptikal pengguna bukan tiada... Klik di sini untuk terus membaca

SEJAK sekian lama pembeli sangat meragui tahap keselamatan kereta buatan tempatan.

Jenama Proton dianggap tidak berkualiti apabila berbicara soal tahap keselamatan dan jaminan tidak mudah dicuri. Sikap skeptikal pengguna bukan tiada asasnya.

Laporan Majlis Pengurangan Kecurian Kenderaan Malaysia (VTREC) mendedahkan kereta nasional Proton Wira khususnya Wira C99 muncul kenderaan paling banyak dicuri untuk tahun ke-11 berturut-turut. Begitu juga dengan nasib Proton Saga dan Proton X70.

Jenama kereta nasional yang lain seperti Perodua MyVi, turut menerima perhatian serius daripada penyamun kenderaan di negara ini.

Persoalan mudah daripada penulis yang pernah dilantik sebagai perunding projek Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (Proton). Kenapa kereta Proton mudah dicuri?

Dalam bahasa Yunani, 'proton' bermaksud nombor satu. Sejak ditemukan oleh Ernest Rutherford, istilah 'proton' mula digunakan secara meluas sejak era tahun 1920-an lagi.

Tetapi kenapa kereta Proton masih mudah dicuri jika aspirasi awalnya menjurus ke arah nombor wahid.

Malangnya laporan VTREC sukar untuk diterima oleh penulis yang sering memberi input untuk meningkat tahap kualiti kenderaan jenama Proton.

Laporan statistik terkini VTREC menyatakan jumlah tuntutan kecurian kenderaan menurun pada 2021 iaitu 1,648 unit berbanding 33,394 unit pada 2011.

Begitu pun, peratusan bilangan kecurian kereta persendirian meningkat 39 peratus.

VTREC melaporkan Proton Wira menjadi idaman sindiket kereta curi dengan kecurian 353 unit pada 2022 diikuti Proton Iswara (273 unit) dan Toyota Hilux (209 unit).

Sebagai rekod, Proton Wira (pelbagai jenis saloon dan aeroback daripada enjin petrol 1,300cc – 1,800cc dan enjin diesel 2,000cc) mula memasuki pasaran kenderaan tempatan sejak 1993 sebelum pengeluarannya dihentikan pada 2009.

Sebanyak 952,216 unit kereta Proton Wira telah dijual daripada jumlah keseluruhan 5.9 juta kereta nasional yang dibeli pengguna di negara ini.

VTREC turut mendedahkan betapa Proton Wira menjadi pilihan pencuri kereta kerana ada kaitan dengan alat ganti kenderaan. Kebanyakan kereta itu yang dicuri atas tujuan penjualan semula alat ganti sekalipun pengeluarannya dihentikan sejak 15 tahun lalu.

VTREC turut meramalkan Perodua Myvi akan menjadi sasaran utama pencuri kereta selepas ini.

Bagaimanapun, penulis tertanya-tanya apakah maksud tersirat daripada kupasan laporan Digitimes.com yang disiarkan awal minggu ini berkaitan peluang dan cabaran industri semikonduktor dalam aplikasi automotif.

Penulis percaya industri cip dan semikonduktor memainkan peranan besar dalam penurunan kecurian kereta.

Misalnya bilangan kecurian Toyota Hilux dikatakan menurun dalam tempoh dua tahun bermula 2016 kerana teknologi sistem penggera antikecurian dipanggil imobilisasi enjin.

Ia merupakan sistem yang dipasang pada suis pencucuh tanpa sentuhan atau fob kekunci pintar.

Jika fob kekunci pintar ini dibawa ke dalam kenderaan, kunci itu akan menghantar kod elektronik untuk menghidupkan enjin.

Sekiranya fob kekunci pintar itu berada di luar kenderaan, enjin berjaya terhenti secara automatik dalam tempoh tertentu atau tidak boleh dihidupkan walaupun secara ‘bypass’.

Inilah yang dikiaskan ALLAH SWT dalam surah al-Baqarah ayat 169 hingga 171 bermaksud, "Sesungguhnya syaitan itu hanya menyuruh kamu berbuat jahat dan keji, dan mengatakan terhadap ALLAH apa yang tidak kamu ketahui; Dan apabila dikatakan kepada mereka: Ikutilah apa yang telah diturunkan ALLAH, mereka menjawab (tidak), tetapi kami hanya mengikuti apa yang telah kami dapati daripada (perbuatan) nenek moyang kami. (Apakah mereka akan mengikuti juga) walaupun nenek moyang mereka itu tidak mengetahui suatu apa pun, dan tidak mendapat petunjuk? Dan perumpamaan (orang yang menyeru) orang-orang kafir adalah seperti penggembala yang memanggil binatang yang tidak mendengar selain panggilan dan seruan saja. Mereka tuli, bisu dan buta, maka (oleh sebab itu) mereka tidak mengerti.”

Penulis percaya sektor teknologi maklumat, automotif dan komunikasi secara relatifnya berkait rapat dengan perkembangan industri pengeluaran semikonduktor dan aplikasi utama produk-produk semikonduktor.

Justeru, penulis percaya industri automotif akan lebih selamat sekiranya purata jangka hayat sesebuah kereta melebihi 12 tahun dan fokus mula dialihkan kepada pembangunan kenderaan jenis hibrid dan elektrik.

Penulis juga percaya dan berharap agar pengeluar kereta nasional seperti Proton dan Perodua harus berani melabur dengan meningkatkan ciri-ciri keselamatan.

* Profesor Dr Ir Muhidin Arifin ialah Ketua Pegawai Operasi Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC)

Klik di sini untuk terus membaca