KUANTAN - Jangan biarkan kesengsaraan rakyat berpanjangan ekoran peningkatan kos sara hidup yang begitu menghimpit masyarakat.
Itu antara keluhan yang disuarakan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), Dapur Infaq Ummah Kuantan yang mengakui cukup terkesan dengan keadaan ekonomi pada ketika ini.
Pengasas Dapur Infaq Ummah Kuantan, Badrul Jamili Kamaruddin berkata, sudah tiba masanya kerajaan dan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli melaksanakan formula yang boleh mengatasi beban rakyat tanpa mengambil masa terlalu lama.
"Buat masa ini, kami cukup terkesan, semua harga bahan basah naik berganda-ganda dan membebankan.
"Jadi, kami memang menanti-nantikan pelan strategik jangka pendek dan panjang yang dikatakan akan diumumkan oleh kerajaan. Tapi kalau boleh jangan terlalu lama (umumkan langkah) dan sekadar bercakap sahaja,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.
Badrul Jamili menjelaskan, sebagai NGO yang banyak membantu golongan kurang bernasib baik termasuk komuniti rentan di daerah ini, sudah pasti beliau menanti langkah kerajaan untuk mengatasi isu kos sara hidup.
Tambahnya, perbelanjaan bahan mentah bagi kerja amal meningkat dua kali ganda berbanding sebelum ini.
"Dulu satu bungkusan makanan berisi nasi, sayur dan ayam untuk berikan kepada komuniti rentan sekitar RM4 hingga RM5.
"Tapi kini, kita terpaksa belanjakan hampir RM7 hingga RM8 untuk bungkusan makanan sama. Peningkatan harga ini disebabkan bahan basah makin mahal dan tidak terkawal,” jelasnya.
Beliau turut mencadangkan supaya kerajaan mengutamakan sepenuhnya produk dan hasil pengeluaran tempatan sebagai kaedah mengatasi kenaikan harga barangan.
Beri semula subsidi barang keperluan
Sementara itu, Pertubuhan Ihsan Pasir Gudang mencadangkan kerajaan memberi semula subsidi antaranya melibatkan petrol, diesel, elektrik dan barangan tertentu yang menjadi punca peningkatan kos sara hidup ketika ini.
Pengerusinya, Zamrin Hamzah berkata, kerajaan wajar menimbang cadangan tersebut terutama melibatkan jenis subsidi barangan yang diperlukan dan dikenal pasti dapat mengurangkan harga barang.
Menurutnya, jika Kerajaan Perpaduan bimbang pendekatan tersebut akan berlaku ketirisan, adalah wajar ia digantikan subsidi dengan bantuan kewangan kepada golongan B40 secara bersasar.
"Bantuan kewangan itu perlu disalur terus kepada golongan yang dikenal pasti.
Kerajaan ujar Zamrin, tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan memboikot kedai makan jika peniaga menjual pada harga yang tinggi.
"Kenyataan seperti ini tidak wajar,” katanya ketika dihubungi.
Beliau turut menyarankan pertemuan antara kerajaan dengan persatuan peniaga bagi mencari penyelesaian tanpa menyalahkan mereka kerana menaikkan harga.
Bagi mengurangkan kesan kos harga makanan yang meningkat, beliau mencadangkan agar kerajaan memperkenalkan inisiatif baucar makanan bagi kumpulan sasar khususnya B40 dan M40.
Klik di sini untuk terus membaca