SHAH ALAM - Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Tan Sri Noh Omar mengakui beliau merupakan salah seorang daripada empat ahli MKT parti itu yang tidak bangun menyokong usul dua jawatan tertinggi UMNO tidak dipertandingkan pada... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Tan Sri Noh Omar mengakui beliau merupakan salah seorang daripada empat ahli MKT parti itu yang tidak bangun menyokong usul dua jawatan tertinggi UMNO tidak dipertandingkan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022, dua minggu lalu.

Menegaskan keputusan itu dibuat bukan atas desakan sesiapa, bekas Pengerusi UMNO Selangor itu menjelaskan tindakan sedemikian dibuat atas dasar mempertahankan prinsip mendahulukan kepentingan parti, agama dan bangsa serta tidak takut bersuara demi kebenaran.

Ujar Noh, mana-mana pihak tidak sewajarnya menuduh beliau sebagai pengkhianat parti hanya disebabkan keengganannya menyokong usul tambahan diluluskan perwakilan PAU 2022 itu.

Tambah bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu, hal ini memandangkan beliau sentiasa patuh kepada keputusan PAU terdahulu dan MKT sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), termasuklah keputusan penarikan sokongan ahli Parlimen UMNO daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin pada tahun 2021.

"Secara jelas, apabila parti membuat ketetapan 'No Anwar, No DAP', saya berpegang keputusan itu. Kemudian apabila ada arahan untuk menandatangani surat akuan bersumpah (SD) menyokong Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri sebelum PRU15) pun saya ikut.

"Begitu juga apabila parti membuat keputusan menarik sokongan daripada kerajaan PN pimpinan Muhyiddin, saya salah seorang daripada 15 ahli Parlimen yang menandatangani SD penarikan sokongan itu.

"Itu bukti saya seorang 'partyman'. Namun takkan bila saya tidak sokong usul PAU 2022 dan menolak cadangan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak dipertandingkan, saya terus dicop sebagai pengkhianat?" luahnya kepada Sinar Premium pada Khamis.

Beliau berkata demikian bagi mengulas spekulasi Jawatankuasa Pengurusan Lembaga Disiplin UMNO bermesyuarat pada Rabu dipercayai bagi membincangkan status keahlian bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan beliau dalam parti itu.

Noh turut mengesahkan beliau bersama empat lagi pemimpin UMNO Bahagian Tanjung Karang telah menerima notis panggilan daripada Lembaga Disiplin UMNO untuk hadir membela diri pada 30 Januari hadapan.

Susulan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 lalu meluluskan usul jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan, terdapat dakwaan mengatakan satu langkah 'pembersihan' parti sedang dilaksanakan pucuk kepimpinan parti itu terhadap mereka yang tidak bersetuju dengan keputusan PAU itu.

Langkah tersebut mengundang kritikan banyak pihak termasuk pemimpin utama UMNO yang mendakwa ia menyekat demokrasi dalam UMNO.

Sementara itu, Noh turut menjelaskan beberapa lagi faktor penting menyebabkan beliau bersama tiga ahli MKT UMNO yang tidak didedahkan identitinya, tidak berdiri bersama lebih 2,800 perwakilan PAU lain bagi menyokong usul tambahan berkenaan.

"Dari segi peraturan, saya secara peribadi melihat usul dibawa tidak mengikut peraturan. Kalau kita buat sesuatu biar ikut peraturan supaya orang luar melihat kita tak buat sesuka hati.

"Semasa mesyuarat MKT, hanya tujuh usul sahaja dibincangkan dan tidak termasuk usul pertandingan jawatan tertinggi parti," katanya.

Menurut Noh lagi, usul tersebut dilihat bercelaru kerana sesuatu usul tambahan perlu dibincangkan melalui mesyuarat MKT sebelum dibawa ke PAU untuk diluluskan.

"Apa yang berlaku adalah usul tersebut adalah usul tambahan dan bukan usul pindaan. Perkara 20 Perlembagaan UMNO merujuk kepada usul pindaan bukan tambahan.

"Jadi usul tambahan tersebut tidak melalui mesyuarat MT dan saya lihat ini bercanggah dengan peraturan sedia ada.

"Kalau usul tersebut dibincangkan dalam MKT, saya akan menyokong usul tersebut,” katanya lagi.

Klik di sini untuk terus membaca