SELEPAS kalah dalam persaingan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, nama Khairy Jamaluddin Abu Bakar atau mesra disapa KJ sekali lagi menjadi tumpuan gara-gara usul kontroversi pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 lalu. Segalanya bermula... Klik di sini untuk terus membaca

SELEPAS kalah dalam persaingan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, nama Khairy Jamaluddin Abu Bakar atau mesra disapa KJ sekali lagi menjadi tumpuan gara-gara usul kontroversi pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 lalu.

Segalanya bermula apabila bekas Ahli Parlimen Rembau itu mendakwa, wujud cubaan membawa masuk ‘perwakilan import’ bagi mengundi usul jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO agar tidak dipertandingkan.

Beliau yang juga bekas Ketua Pemuda UMNO mendakwa beberapa tanda nama dikhaskan untuk perwakilan UMNO pada kerusi perwakilan PAU 2022 dalam Dewan Merdeka, ditanggalkan untuk undian usul berkenaan.

Natijah daripada dakwaan tersebut, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada Jumaat dijangka akan menentukan nasib Khairy, sama ada bakal dikenakan tindakan disiplin akibat pendedahan berani mati tersebut atau sebaliknya.

Di sebalik kontroversi yang menimpa bekas Menteri Kesihatan itu, beberapa pemerhati politik berpendapat tindakan MKT UMNO boleh diterjemahkan sebagai satu bentuk proses pembersihan dalam parti.

Persoalannya, adakah proses pembersihan ini boleh dianggap sebagai mekanisme terbaik untuk menyatupadukan semula parti yang berpecah selepas PRU15 atau dibimbangi bakal menjadi racun toksik memusnahkan UMNO daripada dalam?

Pemimpin UMNO perlu guna kebijaksanaan

"Seharusnya pemimpin tertinggi UMNO menggunakan kebijaksanaan mereka untuk menerima teguran secara berlapang dada dan berusaha untuk memperkukuh parti.

"Sebaliknya, jika mereka yang menegur demi kebaikan dianggap menentang pemimpin yang terang lagi bersuluh tidak membawa kepimpinan teladan, ini adalah retorik dan suatu bentuk toksik yang akan meranapkan parti,” ujar Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Kartini Aboo Talib kepada Sinar Premium pada Khamis.

"Ia adalah suatu tindakan sangat baik demi kelestarian UMNO sebagai sebuah parti Melayu yang kini nasibnya diibaratkan telur di hujung tanduk,” katanya lagi.

Dalam pada itu, menyentuh isu sama ada dua jawatan tertinggi parti wajar dipertandingkan, Kartini berpandangan ia seharusnya terbuka untuk dipertandingkan dalam kalangan ahli parti demi menyuburkan amalan demokrasi.

"Seharusnya semua jawatan tertinggi parti boleh dipertandingkan agar perubahan dalaman parti berlaku secara organik iaitu semula jadi malah akan menyubur dan memperkukuh parti dengan barisan pelapis baru yang muda,” ujarnya.

Tegas Kartini, kelangsungan parti yang dipimpin oleh kepimpinan autoritarian tidak akan berkembang maju, bahkan bakal malah menjadi asbab ahli parti meninggalkan parti secara besar-besaran.

Ditambah landskap politik negara pada saat ini menyaksikan terdapat parti alternatif kepada UMNO yang turut memperjuangkan wadah dan wahana perjuangan agama, bangsa dan tanah air lebih kurang sama seperti Perikatan Nasional (PN), mereka tiada masalah untuk berubah haluan politik.

Satu lagi kebimbangan sebilangan penganalisis politik adalah sekiranya proses pembersihan parti dibuat sekadar untuk mengehadkan ruang ahli parti bersuara, senario itu juga berupaya menyumbang kepada krisis kepimpinan parti lebih parah.

Perhimpunan Agung UMNO 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur baru-baru ini.

Parti ada hak bertindak

Menurut Ketua Jabatan Hubungan Antarabangsa Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr Hussain Yusri Zawawi, mana-mana parti berhak melaksanakan proses pembersihan dan mengenakan tindakan disiplin kepada ahli yang ingkar dan tidak menerima sebarang keputusan yang telah dibuat secara sah.

Tambahnya, krisis dalaman parti akan timbul apabila sebarang keputusan parti dibuat tidak menjunjung perlembagaan parti, manakala mana-mana ahli parti yang tidak bersetuju dengan keputusan berkenaan pula tidak melakukan bantahan menerusi proses undang-undang yang betul.

"Sepertimana usul tambahan supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO dikekalkan dan tidak dicabar, sebanyak 90 peratus perwakilan bersetuju dengan usul berkenaan agar tidak dipertandingkan.

"Sebaiknya, ahli yang tidak berpuas hati dengan usul tersebut boleh merujuk kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS), untuk kepastian sama ada usul dibuat secara sah atau sebaliknya,” ujar beliau.Tambah Hussain Yusri, semua ahli UMNO boleh bersuara dan menyatakan pandangan secara demokrasi dengan melalui saluran yang sah sepertimana dikehendaki perlembagaan parti.

"Namun pada masa sama, ahli juga perlu sedia maklum jika mengingkari arahan pimpinan parti akan dikenakan tindakan disiplin tanpa mengira kedudukan,” katanya.

Ujar Hussain Yusri, keputusan usul dalam sebuah parti melibatkan persetujuan daripada majoriti bahagian parti berkenaan, sama ada mereka bersetuju atau tidak.

"Jika usul diterima melalui proses perlembagaan maka ahli sepatutnya akur dan menerima keputusan tersebut.

"Setuju atau tidak setuju, itulah adalah hak individu yang tidak sepatutnya mempengaruhi ahli yang lain,” tegasnya lagi.

Klik di sini untuk terus membaca