SHAH ALAM - Apapun keputusan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO malam ini terhadap Khairy Jamaluddin, ia tidak akan membunuh kerjaya politik bekas Ketua Pemuda UMNO itu.
Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik, Pentadbiran Awam dan Pengajian Pembangunan, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya, Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, gambaran itu bersandarkan kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mengatakan partinya akan melakukan ‘pembersihan’ secara besar-besaran, dengan memberi tumpuan kepada mereka yang didapati mensabotaj parti serta calon pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.
Berdasarkan kenyataan Ahmad Zahid itu juga, Mohammad Tawfik meramalkan Khairy yang juga bekas Ketua Pemuda UMNO bakal dikenakan tindakan paling berat termasuk digantung atau dipecat keahlian dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu malam ini.
Pun begitu Mohammad Tawfik berkata, sekiranya Khairy menerima hukuman berat, ia tidak akan memberi impak besar dan membunuh karier politiknya kerana bekas Ahli Parlimen Rembau itu mempunyai kekuatan tersendiri.
"Walaupun dulu ada dakwaan mengatakan nama Khairy naik dalam politik kerana beliau adalah menantu kepada bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, namun beliau membuktikan ia adalah kurang tepat.
"Ini kerana selepas Tun Abdullah meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri, Khairy berjaya bangkit dalam UMNO untuk membina kekuatan dan empayar sendirian untuk meneruskan kelangsungan hidup dalam arena politik negara.
"Malah, sekarang ini, Khairy boleh dianggap pemimpin masa depan UMNO. Jadi apa sahaja tindakan disiplin dikenakan kepadanya sama ada penggantungan atau pemecatan bakal memberi impak besar terhadap UMNO sendiri misalnya keyakinan Presiden akan dilihat sebagai sebagai seorang diktator dalam parti serta mahu membunuh musuh politiknya," katanya ketika kepada Sinar Premium pada Jumaat.
Mohammad Tawfik berkata demikian ketika mengulas kenyataan Ahmad Zahid memberi bayangan bahawa nasib individu lain selain Khairy turut akan ditentukan dalam mesyuarat MKT malam ini.
Ahmad Zahid menjelaskan tindakan itu merupakan sebahagian daripada langkah pembersihan besar-besaran dalam parti itu seperti diputuskan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang lalu.
Pada PAU lalu, Ahmad Zahid dilapor memberi jaminan akan melakukan pembersihan menyeluruh supaya UMNO bersih daripada anasir 'baling batu sembunyi tangan'.
Sementara itu, Mohammad Tawfik berkata, UMNO mungkin akan terus ditolak sekali lagi oleh pengundi muda dan penyokongnya dalam pilihan raya negeri (PRN) nanti, jika mesyuarat MKT malam ini, memutuskan untuk memecat atau menggantung keahlian mana-mana pemimpinnya termasuk Khairy.
Mohammad Tawfik berkata, tindakan pemecatan atau penggantungan keahlian adalah tidak sesuai dalam konteks politik kerana UMNO sepatutnya mengambil pendekatan menangani persepsi dalam kalangan ahli parti dan pengundi secara keseluruhannya.
Kata Mohammad Tawfik, UMNO sebenarnya tidak perlu memecat Khairy jika mahu dilihat sebagai parti yang mengamalkan budaya politik matang dan sentiasa menyuburkan amalan demokrasi serta meraikan kebebasan bersuara.
Beliau menegaskan, UMNO sepatutnya mengambil pendekatan lebih bijak bagi menangani isu persepsi negatif dalam kalangan ahli parti dan rakyat secara keseluruhannya dengan melihat kembali apa kehendak anak muda dan pengundi sekarang.
"Jadi sekiranya UMNO, MKT dan Presiden mengambil tindakan memecat Khairy dan pemimpin lain maka ia akan dilihat sebagai ketinggalan zaman kerana melihat lawan politik dalam parti sebagai musuh dan cermin kepada kepimpinan parti berkenaan sendiri.
"Jika MKT dan Presiden UMNO tetap berbuat demikian maka ia akan membunuh UMNO sendiri dari dalam. Ini menunjukkan UMNO tidak mahu mengambil pengajaran daripada keputusan PRU15 lalu dan hari ini mereka hanya menumpang kekuatan daripada Pakatan Harapan (PH) bukannya memulihkan atau merawat diri berdasarkan kekuatan sendiri," katanya.
Klik di sini untuk terus membaca