KUALA LUMPUR - Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) pada malam ini menyaksikan UMNO melakukan gerakan 'pembersihan' secara besar-besaran terhadap individu yang tidak sehaluan dengan parti dan pengkritik Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dan bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar merupakan dua pemimpin ternama parti itu dipecat serta-merta.
Noh yang juga bekas Ahli Parlimen Tanjung Karang sebelum itu digantung keahlian selama enam tahun ketika mesyuarat MKT yang berlangsung di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini.
Bagaimanapun Noh selepas itu memohon dirinya dipecat dan permintaannya diterima serta-merta oleh Ahmad Zahid.
"Daripada gantung baik pecat saya. Lain-lain semua diam, Presiden (Ahmad Zahid) kata: ok, kalau tidak pecat kita pecat la. ok dengan ini saya pecat Tan Sri (Noh).
"Pecat serta merta, itu sebab saya keluar mesyuarat," katanya ketika bercakap kepada media.
Khairy melalui respon ringkas di Twitter miliknya menjelaskan, pemecatan itu tidak akan membuatkan dirinya tunduk, mengalah dan berputus asa.
"Malam ini saya dipecat oleh parti yang saya sayang, yang saya berikan kesetiaan. Tidak akan tunduk, tidak akan mengalah, berputus asa" katanya.
Selain Khairy dan Noh, UMNO turut menggantung keahlian beberapa pemimpin lain antaranya ialah Ahli Parlimen Sembrong yang juga bekas Naib Presiden, Datuk Seri Hishamuddin Hussein dan bekas Ketua Penerangan, Shahril Sufian Hamdan selama enam tahun.
Perkara itu dimaklumkan oleh Ahli MKT, Datuk Dr Puad Zarkashi yang turut menghadiri mesyuarat MKT UMNO menerusi hantaran di Facebooknya.
Klik di sini untuk terus membaca