SHAH ALAM - Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) bersedia sepenuhnya memenuhi cadangan Menu Rahmah yang akan diperkenalkan kerajaan tidak lama lagi. Presidennya, Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, restoran yang bernaung... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) bersedia sepenuhnya memenuhi cadangan Menu Rahmah yang akan diperkenalkan kerajaan tidak lama lagi.

Presidennya, Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, restoran yang bernaung di bawah persatuan itu juga akan memastikan kualiti makanan dikekalkan meskipun kos ditanggung melebihi nilai harga pakej yang ditawarkan kelak.

Ini kerana, menurut beliau, langkah itu sebagai salah satu tanggungjawab sosial korporat (CSR) persatuan berkenaan terhadap golongan kurang berkemampuan di negara ini.

"Berdasarkan perbincangan awal bersama menteri baru-baru ini, antara cadangan menu ialah nasi, satu jenis lauk, sayur dan air dengan harga RM5. Kalau diikutkan, kos memang melebihi daripada harga yang ditetapkan.

"Bagaimanapun, kami menganggap ini CSR (kepada rakyat) kerana dalam perniagaan ini kita tidak boleh terlalu memikirkan keuntungan semata-mata.

"Cuma mungkin kita boleh kecilkan sedikit saiz ayam. Yang lain-lain, contohnya beras tetap sama kerana kita tidak boleh kompromi dalam aspek kualiti,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Jumaat.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pengumuman kerajaan yang akan memperkenalkan Menu Rahmah dalam masa terdekat sebagai usaha membantu golongan miskin tegar yang memerlukan makanan siap dimasak.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, satu perjanjian memorandum persefahaman (MoU) akan dimeterai kerajaan bersama beberapa persatuan restoran dan kedai makan bermasak seperti Presma dan Persatuan Pengusaha Restoran Tomyam Malaysia (Pertom) bagi menjayakan menu berkenaan.

Lebih banyak restoran disaran untuk turut serta

Sementara itu, Persatuan Pergerakan Pengguna Malaysia (PPPM) menyarankan agar lebih banyak restoran dan kedai makan menyertai usaha untuk menjayakan Menu Rahmah.

Setiausaha Agungnya, Sukhdave Singh berkata, persatuan itu menyambut baik cadangan kerajaan dalam usaha membantu golongan miskin tegar dan penyertaan lebih banyak restoran serta kedai makan akan dapat membantu program berkenaan berjalan sebagaimana dirancang.

"Kami mengucapkan tahniah kepada menteri dan pihak kementerian. Saya lihat inisiatif ini memang tepat masa pelaksanaannya dalam membantu golongan yang amat memerlukan tatkala kos sara hidup tinggi yang menekan kesejahteraan kewangan isi rumah.

"Tahniah juga kepada pengusaha-pengusaha restoran yang turut bersama menyertai dan menyokong inisiatif ini.

"Kami berharap sokongan yang bakal diberikan ini adalah ikhlas dan dilaksanakan seperti yang dijanjikan. Makanan yang dihidangkan haruslah segar dan berkhasiat,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Klik di sini untuk terus membaca