HARAPAN untuk melihat perubahan kepimpinan UMNO melalui Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 yang berlangsung dua minggu lalu nampaknya tidak berlaku.
Hakikat bahawa UMNO memerlukan idea baharu dan segar sememangnya perlu bermula dengan memilih saf kepemimpinannya yang baharu selepas kalah teruk dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Justeru itu agak mengejutkan apabila PAU yang diharapkan sebagai titik perubahan, UMNO memilih untuk meneruskan tradisi tiada pertandingan yang terbukti antara punca kelemahan UMNO.
Ironinya ini berlaku setelah UMNO hilang 28 kerusi parlimen dan terpaksa pula bekerjasama dengan musuh tradisinya, Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk kerajaan.
Mungkin pertandingan jawatan itu tidak mengubah kedudukan semasa UMNO. Malah kalau ada pertandingan pun, kelebihan Presiden Datuk Seri Ahamd Zahid Hamidi masih sukar disaingi.
Namun trajektori pertandingan dan pemilihan itu sebenarnya jauh melangkaui ahli UMNO itu sendiri atas keperluan parti untuk mengembalikan kepercayaan serta persepsi umum.
Menarik juga apabila faktor kestabilan, dalam konteks parti dan kerajaan perpaduan dijadikan alasan bagi menidakkan pertandingan berlaku. Kebenaran hal ini barangkali remeh dan sinikal.
Pertama, pemilihan UMNO seharusnya berlaku sebagai sebuah perubahan reaksionari selepas apa yang berlaku, bukannya mengambil kesempatan untuk menyesuaikan parti dengan situasi semasa yang tidak membawa apa-apa yang signifikan dalam jangka masa panjang.
Kedua, kebersamaan UMNO dengan kerajaan campuran-perpaduan ketika ini masih belum memberikan apa-apa pulangan apa-apa, lebih-lebih lagi ketika UMNO tidak mampu menyaingi PH dalam pilihan raya yang seimbang dan dalam masa yang sama semakin ditolak pengundi Melayu yang beralih kepada Perikatan Nasional (PN).
Kalau pun kerjasama dengan PH memberikan keuntungan, ia bersifat sementara dan selektif kepada kem Zahid sahaja. Hakikatnya ia masih tidak menyelesaikan permasalahan UMNO yang sebenar secara tuntas dan struktural.
Persoalannya apakah perpecahan dalam UMNO ini teruk sangat sehingga boleh meruntuhkan parti itu sekelip mata kalau dua jawatan utama tersebut dipertandingkan?
Adakah dengan tiada pertandingan, maka solidariti UMNO akan kembali gemilang dan kuat serta mampu menang enam Pilihan Raya Negeri (PRN) di bawah kepimpinan Presiden yang sama mengemudi parti dalam PRU15?
Dan apakah fokus UMNO sebenarnya, mahu memulihkan parti atau bersolidariti? Mahu segera bermuhasabah diri atau masih kekal syok sendiri?
Benar hanya dua jawatan tertinggi sahaja yang tidak dipertandingkan. Jawatan-jawatan lain masih terbuka untuk persaingan.
Cakap-cakap bahawa jawatan tersebut masih penting dan menguasainya memberikan kelebihan kepada kem yang terpinggir untuk menekan Presiden dan Timbalan Presiden dalam parti nampak memberikan harapan.
Namun mekanisme parti masih memberi kelebihan kepada Presiden.
Setakat ini masih tidak nampak bagaimana jawatan Naib Presiden dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) mampu untuk mencabar atau mengimbal, apatah lagi ketika faktor kelebihan juga masih berpihak kepada penyandang dan bukannya pencabar. Melainkan ahli UMNO berani melakukan sesuatu yang drastik, mungkin sukar untuk melihatnya berlaku.
Dengan penguasaan kem Presiden kekal untuk penggal seterusnya, beberapa perkara berikut menjadi sangat menarik untuk diperhatikan.
Pertama, apakah akan ada gerakan ‘pembersihan’ (purge) secara besar-besaran dalam UMNO bagi menyingkirkan mereka yang tidak sehaluan dengan Presiden dalam parti.
Kedua, bagaimana reaksi balas mereka yang terpinggir terhadap sokongan usul tiada pertandingan memandangkan pertandingan bagi jawatan lain masih terbuka untuk semua.
Terakhir, apakah berlaku perang proksi dalam pertandingan tersebut dengan kemungkinan campur tangan pihak luar yang mahu menangguk di air keruh dan menguasai UMNO dari jauh?
* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi (FSPPP), Universiti Teknologi Mara (UiTM)
Klik di sini untuk terus membaca