BARU-BARU ini saya telah menghadiri Mesyuarat Tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2023 di Davos, Switzerland.
Ianya amat bermakna bukan hanya kerana ia menghimpunkan lebih daripada 2,700 pemimpin dunia, seperti ketua negara, penggubal dasar, pemimpin perniagaan, ahli akademik hinggalah aktivis masyarakat sivil, tetapi juga kerana landskap global telah banyak ‘terganggu’ sejak perhimpunan WEF hanya lapan bulan dahulu, yang saya juga hadiri pada bulan Mei 2022.
Sejak itu, perang di Ukraine telah memburukkan lagi keadaan global dengan melonjakkan harga tenaga, dan mendorong inflasi, termasuk di negara yang beribu-ribu kilometer jauhnya seperti Malaysia.
Untuk membendung inflasi, Amerika Syarikat (AS) meningkatkan kadar faedah mereka, yang memaksa banyak negara lain melakukan perkara yang sama bagi mengurangkan peralihan modal kembali ke AS.
Pada tahun 2022 sahaja, AS telah menaikkan kadar faedahnya 4.25 peratus, dan ini telah mengukuhkan dolar AS berbanding banyak mata wang lain, termasuk Ringgit Malaysia.
Malaysia bertindak balas dengan meningkatkan subsidi untuk mengurangkan kesan kenaikan harga terhadap rakyat, terutamanya golongan rentan.
Walaupun kita telah berjaya mengekalkan inflasi di bawah 4 peratus pada tahun 2022, hakikatnya peningkatan subsidi merupakan satu beban fiskal yang berat, dan menyebabkan kita terpaksa mengorbankan peruntukan bagi pembangunan.
Forum WEF telah bersidang berlatarbelakangkan prospek ekonomi dan prospek 2023 yang amat suram. Ramai menyuarakan kebimbangan bahawa rantaian peristiwa yang dahsyat pra- dan pasca-2020 telah menunjukkan tanda-tanda bahawa konsep globalisasi semakin malap, dengan dunia yang semakin berpecah-belah dan bukannya bersatu.
Walaupun prospek global suram, Asia menampakkan sinar yang cerah, dengan pembukaan semula China, trajektori pertumbuhan India yang kukuh, dan prospek kestabilan ASEAN.
Kembali sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, saya berpeluang membentangkan pandangan Malaysia, sebagai sebuah negara perdagangan yang terbuka, serta tentang perdagangan dan pelaburan antarabangsa di pelbagai platform WEF.
Berikut adalah rumusan lima perkara penting dari Davos:
Yang pertama, pengglobalisasian semula adalah satu keperluan strategik.
Tidak hairanlah, banyak betul perbahasan mengenai penyahglobalisasi, atau globalisasi yang semakin perlahan. Bagi Malaysia, di mana nisbah perdagangan kepada KDNK melebihi 130 peratus yang saya fikir adalah sama nisbahnya untuk kebanyakan negara Asia, ‘pengglobalisasian semula’ adalah satu-satunya pilihan yang kita ada.
Namun, kita mesti mengambil iktibar dari inisiatif globalisasi yang pertama. Kita mesti kembali kepada asas perdagangan antarabangsa, di mana negara yang mereka mempunyai kelebihan dalam pengeluaran sesuatu barangan atau perkhidmatan akan memperdagangkannya dalam usaha meningkatkan kemakmuran masing-masing.
Negara-negara membangun perlu bersatu dalam menyuarakan pandangan mereka bagi menentukan rangka kerja yang lebih jelas dan adil untuk perdagangan antarabangsa, supaya semua lapisan rantaian bekalan di dalam negara, terutamanya usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), mendapat manfaat daripada akses kepada pasaran yang lebih luas.
Sehubungan itu, kepercayaan dan keyakinan hanya boleh dipulihkan jika semua pihak komited kepada agenda globalisasi yang lebih saksama.
Kedua, strategi mitigasi adalah kunci untuk mengurus risiko yang semakin meningkat dan sering berubah.
Kita mesti belajar untuk hidup dengan risiko yang sentiasa berubah dan semakin bertambah. Laporan Risiko Global WEF 2023 menyerlahkan kos sara hidup, keselamatan makanan dan tenaga, peningkatan inflasi dan serangan siber ke atas infrastruktur kritikal sebagai risiko utama yang sedang dihadapi dunia.
Kegagalan mengurus perubahan iklim pula dilihat sebagai risiko jangka panjang. Pendek kata, dunia mesti bersedia untuk berhadapan bukan sahaja dengan pelbagai krisis, tetapi mungkin juga tempoh krisis yang berlanjutan.
Ini memerlukan kita untuk menumpukan sumber bagi membina daya tahan rantaian bekalan. Kita sedar bahawa krisis geopolitik beribu-ribu kilometer jauhnya boleh memberi kesan negatif kepada kos sara hidup kita.
Dengan membina rantaian bekalan seluruh ASEAN, merangkumi produk kritikal seperti makanan, bekalan perubatan dan tenaga, kita mampu mengurangkan kesan inflasi yang ‘diimport’ dari luar rantau ini.
‘Hidup dengan risiko’ kini sudah menjadi perkara baharu yang perlu diambil kira oleh setiap kerajaan dan perniagaan, yang harus fleksibel dan anjal dalam menangani pelbagai risiko baharu dan sedia ada.
Ketiga, pembukaan semula China mungkin meningkatkan prospek ekonomi global.
Pembukaan semula China dialu-alukan, tetapi China mungkin bukan penyelamat ekonomi global seperti waktu Krisis Kewangan Global 2008 dahulu, dan kita mesti akui bahawa Beijing mungkin mengubah dasarnya untuk menangani ketidakseimbangan yang telah didedahkan oleh wabak Covid-19.
Tambahan pula, lonjakan permintaan dalam sektor tertentu yang didorong oleh pembukaan semula China mungkin meningkatkan kembali inflasi global yang kini semakin berkurangan.
Oleh itu, kepelbagaian adalah penting kerana China tidak boleh dilihat sebagai satu-satunya sumber yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi global. Walaupun begitu, strategi penglibatan China yang kukuh masih diperlukan. Sebagai contoh, kita masih perlu mengejar prospek perdagangan rantaian nilai lebih tinggi dan peluang perniagaan dengan China.
Yang keempat, Environmental, Social and Governance (ESG) adalah tunjang utama.
ESG adalah satu amalan yang akan kekal dan prinsipnya terus menjadi pegangan pengguna, sama ada di Timur atau Barat. Jika kita abaikannya, pasaran yang mementingkan ESG bakal tertutup kepada kita.
Malangnya, memenuhi piawaian ESG bukanlah mudah dan ia juga tidak murah. Sedangkan syarikat multinasional pun bergelut untuk memenuhinya, apatah lagi PKS.
Sebab itulah, negara-negara membangun harus bersatu untuk memastikan bahawa ESG tidak hanya ditentukan oleh negara maju.
Sehubungan itu, kita perlu memastikan bahawa peralihan ke arah ESG adalah adil terutamanya untuk negara-negara yang baru muncul dan sedang membangun.
Kos peralihan tentunya berbeza bagi setiap negara bergantung kepada struktur dan tahap pembangunan ekonomi mereka.
Agenda Malaysia adalah untuk memastikan semua jenis syarikat mampu menyahut cabaran ESG.
Untuk itu, MITI telah pun memulakan inisiatif iESGnya, untuk membimbing PKS dalam menerapkan prinsip ESG ke dalam operasi mereka. Memandang ke hadapan, dasar perindustrian kita juga akan berlandaskan konsep ESG.
Tetapi pencapaian matlamat ini memerlukan kerjasama semua pihak, daripada kerajaan, GLC, GLIC, sektor swasta dan seluruh rakyat Malaysia.
ESG boleh memacu dasar perindustrian untuk lebih bersedia di masa hadapan. Tetapi ia tidak boleh disamarkan sebagai halangan bukan tarif (non-tariff barrier) untuk perdagangan dan pelaburan. Kesepaduan negara-negara membangun perlu untuk menghalang perkara tersebut dari berlaku.
Kelima dan terakhir, pelabur global menghargai kestabilan dan ketekalan dasar.
Pelabur menghargai kestabilan. Walaupun dasar kekal konsisten, perubahan kerap kerajaan tidak akan mewujudkan keyakinan atau menarik minat pelabur.
Politiking adalah lumrah dalam demokrasi tetapi ia tidak boleh sekali-kali membelakangkan kepentingan negara.
Kestabilan Kerajaan Perpaduan mesti diperkukuh supaya pelabur berasa lebih yakin untuk melabur di negara kita.
Kita semua perlu komited kepada sebuah agenda perpaduan agar kita mampu untuk mengorak langkah yang lebih yakin ke hadapan bagi menzahirkan sebuah tahun yang berhasil, dan membina sebuah negara yang lebih makmur di masa hadapan.
* Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri
Klik di sini untuk terus membaca