APABILA seorang pemimpin negara melafazkan gagasan beliau, kesannya ke atas negara adalah pelbagai. Sekurang-kurangnya wujud dua grup rakyat yang memberi respons.
Grup pertama terdiri daripada mereka yang menyokong pemimpin itu dan sebaliknya grup yang kedua pula tergolong daripada mereka yang menentangnya.
Dalam grup pertama, terdapat ‘Pasukan A’ yang menganggap beliau sebagai idola siasah mereka, lantas menyokong beliau semahu-mahunya.
Dalam grup pertama ini juga wujud ‘Pasukan B’ yang tidak mengidolakan pemimpin yang berwawasan ini, sekali gus bersikap kritis.
Mereka ini berkeupayaan untuk menggunakan daya kognisi dengan matang sementara dapat mengawal emosi dengan cara yang tenang.
Dengan sikap itu, mereka dapat melihat kedua-dua kelemahan serta kekuatan yang terangkum dalam gagasan berkenaan – yang lemah diperbaiki sementara yang kuat diikuti.
Amanat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bertajuk Membangun Malaysia Madani pada 19 Januari lalu menyajikan kepada negara satu landasan perjuangan dalam era baharu ini.
Amanat ini berlatar belakangkan pengalaman beliau yang terlibat secara langsung dalam perjuangan rakyat serta pengorbanan peribadi sewaktu di penjara. Antara pengalaman sosiosiasah beliau ialah seperti berikut.
Penggerak pelajar, aktivis masyarakat, politikus (seperti yang diungkapkannya sewaktu wawancara CNN Indonesia di Jakarta pada awal Januari 2023) ‘with a difference’, pemimpin kerajaan yang dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10.
Sebagai kerangka dasar yang terdiri daripada enam tonggak, istilah ‘Madani’ merupakan akronim daripada enam huruf pilihan dari enam perkataan tonggak ini:
M - keMampanan, A - kesejAhteraan, D - Daya cipta, A - hormAt, N - keyakiNan, I - Ihsan. MADANI dijadikan dasar bagi setiap teras yang akan diteroka bagi memperkukuh lapan keperluan: Ekonomi dan Kewangan, Perundangan, Institusi, Pendidikan, Kemasyarakatan, Kebudayaan, Bandar; dan Luar Bandar.
Dalam bahasa Inggeris, akronimnya ialah ‘SCRIPT’: Sustainability, Care and Compassion, Respect, Innovation, Prosperity, Trust. Versi bahasa Inggeris diterbitkan oleh Institut Darul Ehsan (IDE) pada tahun 2022.
Madani versi bahasa Melayu diterbitkan oleh IDE pada tahun 2022 dan 2023. Kedua-duanya sarat dengan nukilan ayat-ayat suci al-Quran, maksud hadis serta kata bestari para pemikir dan penggerak sosial di timur dan barat
Jiwa yang manusiawi, sejahtera, kreatif dan tawaduk dapat memberi sumbangan kepada pembangunan insan. Daya ciptanya tidak menongkat ego dirinya. Hanya jiwa yang mulia yang mempunyai adab serta menghormati ketinggian budi insan lain. Keyakinan dalam dirinya pula tidak membuatnya menjadi ujub (kagum akan diri sendiri) hingga menjadi takabur.
Insan yang kaya jiwanya mempunyai keihsanan dan kerahmatan dalam intraksi sosialnya. Bagi umat Islam, sifat ihsan bermakna menyedari akan kehadiran Tuhan pada setiap ketika. Ini menatijahkan pencapaian yang cemerlang dalam memikul amanah.
Pada halaman 133 terdapat nukilan kalimat Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan ke-17: "Kekayaan tidak dinilai daripada banyaknya harta tetapi kaya jiwa.” Pengalaman sektor kesihatan dalam menangani pandemik Covid-19 menjadi fokus walaupun kesihatan bukanlah satu daripada enam tonggak Madani.
Isu kesihatan psikofizikal, psikososial dan psikospiritual patut menerima perhatian yang lebih nyata dalam dokumen yang menegaskan tentang usaha antirasuah dan cara mengatasi paranoia perkauman serta ekstremisme agama ini.
Bagi golongan miskin yang tertindas oleh kebobrokan sistem masyarakat yang dahulu sudah tentu mahu melihat pengislahan berlaku dalam masa setahun dua ini.
Golongan konglomerat dan ningrat yang dikejutkan oleh gagasan yang besar ini juga mahu melihat apakah peluang mereka untuk membangunkan masyarakat.
Pada masa hadapan jika suntingan dapat dilakukan, kesilapan seperti ‘islahiba’ perlu dibetulkan kepada ‘islahiha’ bagi maksud ‘keadaan baik’ dalam ayat 56 Surah al-A‘raf (halaman 42).
* Profesor Datuk Dr Mohamed Hatta Shaharom ialah penulis dan aktivis sosial
Klik di sini untuk terus membaca