SAMA ada kita suka atau tidak, ambil tahu atau tidak peduli, gejala anxiety atau keresahan sudah menjadi duri dalam daging di dalam negara kita.
Jika tidak ditangani dengan serius, berfokus, cekap dan tersusun, gejala itu akan menjadi bom jangka yang boleh ‘meletup’ tanpa kita bersedia untuk menangani masalah berkenaan.
Bagi menanganinya, kita perlu tahu, faham dan sedar berkaitan tanda-tanda dan punca gejala tersebut.
Secara ringkasnya, perkataan anxiety adalah perkembangan daripada perkataan anxious yang bermaksud resah atau bimbang.
Menurut American Psychological Association, keresahan atau anxiety terbentuk akibat tekanan perasaan.
Apabila berlaku dalam tempoh yang lama, menyebabkan seseorang itu akan berulang kali memikirkan faktor keresahan berkenaan.
Akhirnya, mengalami tanda-tanda fizikal seperti kerap berpeluh, sakit kepala, berdebar dan kadar denyutan jantung semakin cepat.
Sebetulnya, gejala keresahan boleh melanda sesiapa sahaja, tidak mengira umur, pangkat, bangsa dan agama.
Malah, peningkatan statistik gejala berkenaan saban tahun sebagaimana laporan Kementerian Kesihatan Malaysia bermakna, hal itu tidak boleh di pandang ringan lagi.
Bagi memahami gejala keresahan, kita perlu faham terlebih dahulu perbezaan antara ketakutan dan keresahan serta bagaimana tekanan perasaan mendorong berlakunya keresahan dan kemurungan terhadap seseorang.
Secara umumnya, fear atau ketakutan melibatkan tindak balas biologi terhadap bahaya yang berlaku kepada kita secara realiti.
Manakala anxiety atau keresahan adalah ketakutan terhadap perkara yang mungkin berlaku kepadanya pada masa sekarang dan hadapan.
Walaupun kedua-duanya adalah berbeza, namun melibatkan tindak balas perasaan yang hampir sama di mana ketakutan akan menyebabkan keresahan dan keresahan akan menyebabkan ketakutan.
Yang jelas, anxiety memberi reaksi terhadap pemikiran dan perasaan, manakala fear atau ketakutan memberi reaksi terhadap persekitaran.
Salah satu punca anxiety adalah kesan tekanan hidup yang berpanjangan. Sama ada tertekan kerana sakit, hendak menghadapi peperiksaan, tekanan kerja, tekanan kehilangan orang yang tersayang dan sebagainya, kesemuanya itu menjadi pencetus atau trigger kepada berfikir secara berulang-ulang berkaitan nasib dan masa depannya.
Natijahnya, mereka agak sukar untuk menguruskan hidup secara normal dan boleh berlakunya tingkah laku yang tidak sihat.
Walaupun gejala anxiety adalah sesuatu yang normal, namun akan menjadi penyakit gangguan mental sekiranya simptom anxiety berlaku setiap hari.
Apabila semakin teruk, gejala anxiety ini boleh berlaku tanpa kita jangka dan sebab-sebab yang munasabah.
Hakikatnya gejala anxiety ini akan berterusan berada dalam diri kita walaupun kekhuatiran terhadap sesuatu masalah berkenaan telah pun diselesaikan.
Apa kaitan keresahan dengan kemurungan? Perbandingan yang mudah adalah, kedua-dua gejala berkenaan seperti sekeping duit syiling yang mempunyai perbezaan corak di bahagian hadapan dan belakang syiling sahaja.
Jika gejala keresahan, menyebabkan seseorang individu mengelak daripada segala peristiwa, tempat dan aktiviti yang boleh mencetuskan keresahan, manakala kemurungan adalah kesinambungan daripada sikap berkenaan dengan penambahan sikap mudah berputus asa, tiada harapan, tiada tenaga untuk teruskan kehidupan, hilang selera makan serta payah untuk menjadi ceria seperti sebelum ini.
Pada hemat saya, jika kita ada simptom berkenaan jangan malu untuk mendapatkan bantuan pakar.
Selain itu, berdamailah dengan ALLAH SWT dengan berzikir mengingati-Nya sama ada menerusi lisan atau pun menerusi hati, meliputi beristighfar, berselawat, berdoa, membaca al-Quran dan seumpamanya.
Malah, ALLAH SWT berfirman, "Dan sesiapa yang berpaling dari mengingati-Ku, maka buat dirinya kehidupan yang sempit dan kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta.” (Surah Ta Ha, 20:124).
* Profesor Dr Huzili Hussin ialah Profesor Psikologi Kaunseling, Fakulti Perniagaan dan Komunikasi, Universiti Malaysia Perlis
Klik di sini untuk terus membaca