TAHUN 2023, masyarakat Tiong Hua sedunia menyambut Tahun Arnab mengikut turutan zodiak kalendar lunar. Arnab disifatkan sebagai spesies haiwan yang berjiwa aktif, meloncat-loncat apabila rasa gembira, tapi adakalanya pemalu dan terlajak... Klik di sini untuk terus membaca

TAHUN 2023, masyarakat Tiong Hua sedunia menyambut Tahun Arnab mengikut turutan zodiak kalendar lunar.

Arnab disifatkan sebagai spesies haiwan yang berjiwa aktif, meloncat-loncat apabila rasa gembira, tapi adakalanya pemalu dan terlajak manja.

Pendek kata, arnab sangat comel dan mudah didampingi. Seperti amalan biasa, Tahun Baharu Cina kali ini disambut dengan meriahnya selama 15 hari, didorong oleh faktor kelonggaran sekatan Covid-19 dan pembukaan sempadan di China yang membawa impak positif kepada sektor pelancongan di banyak negara, kemeriahan sambutan perayaan tahun ini amat dirasai bukan sahaja di Malaysia tetapi di seluruh dunia.

Seiring dengan sambutan perayaan, rakan dan sahabat pelbagai kaum mengambil kesempatan menyampaikan ucapan selamat tahun baharu kepada komuniti Cina menerusi video TikTok, poster raya Instagram yang cantik dan mesej yang dikongsi menerusi pelbagai saluran media sosial.

Tidak kurang juga banyak aktiviti sambutan raya seperti tarian singa dan gendang 24 musim yang turut disertai kaum bukan Cina, keharmonian sejati ini menjadikan sambutan Tahun Baharu Cina kali ini sangat meriah dan ceria.

Ahli-ahli politik juga menyampaikan ucapan selamat Tahun Baharu Cina masing-masing, termasuk ahli politik parti-parti tertentu yang melakukan ‘gencatan senjata’ setelah menghabiskan 300 hari dalam setahun menyebar benih perpecahan antara kaum di negara ini.

Ucapan Selamat Tahun Baharu Cina daripada ahli-ahli politik sebegini seperti dijangka mengundang pelbagai reaksi di media sosial.

Namun memandangkan kita masih dalam musim perayaan, maka seharusnya kita mencontohi keindahan bermaaf-maafan seperti rakan muslim ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Kita susun 10 jari dan ketepikan seketika elemen negatif yang boleh melesukan kemeriahan perayaan.

Sikap rasis bukan hak eksklusif sesuatu kelompok, dalam setiap komuniti kaum pasti ada individu-individu yang berfikiran fanatik, jumud dan suka tunggang agama.

Masyarakat Malaysia yang meraikan kepelbagaian tidak terkecuali dengan ancaman elemen radikal yang membawa agenda sempit untuk memecahbelahkan rakyat sama ada atas naratif kaum atau agama.

Walau bagaimanapun, destinasi setiap kaum di Malaysia adalah berpaut pada matlamat masyarakat madani yang dahagakan perpaduan yang sejati, keharmonian yang kita nikmati bersama dibina pada asas kesatuan dan persefahaman yang wajib kita pertahan serta warisi sebagai legasi bersama.

Benteng pemisah dan benih kebencian yang disebar oleh politikus dengan motif menghalang kemajuan negara tidak akan terhapus dengan sendirinya sekiranya kita membiarkan perasaan syak wasangka berakar dalam kehidupan kita.

Kepada mereka yang suka melaungkan harmoni dan toleransi mengikut musim dan keselesaan waktu tersendiri, sedarlah bahawa masyarakat bijak menilai apa itu toleransi dan apa itu hipokrasi.

Limau mandarin atau dalam sebutan mandarin ‘Kan’ adalah sajian lazim ketika musim perayaan Cina, ia juga sesuai dijadikan hadiah ketika musim raya.

Secara simboliknya limau mandarin juga membawa maksud susah-susah dahulu senang-senang kemudian seperti peribahasa Cina ‘Ku Jing Kan Lai’.

Mudah-mudahan hidup kita semua semakin senang setelah sekian lama kita bergelut dengan pelbagai kesukaran.

Xing Nian Kuai Le, Gong Xi Fa Cai

* Lim Chee Wei ialah anak jati Kedah yang minat filem retro.

Klik di sini untuk terus membaca