CHENNAI - Jika Sepanyol masih teguh dengan tradisi ‘permusuhan’ matador dan lembu jantan, India juga mempunyai tradisi yang hampir sama.
Begitupun, dalam acara yang hanya diadakan di negeri Tamil Nadu, lembu jantan langsung tidak dicederakan.
Sukan kuno ini dikenali sebagai Jallikattu yang dimainkan untuk menjinakkan lembu jantan liar.
Acara ini telah diangkat sebagai sebahagian daripada Mattu Pongal yang biasanya diadakan pada hari kedua dan ketiga festival.
Meskipun sukan ini mirip dengan Festival San Fermin di Sepanyol, namun Jallikattu sebenarnya berbeza.
Dalam Jallikattu, lembu tidak dibunuh dan para ‘matador’ tidak menggunakan sebarang senjata.
Apa yang harus dilakukan para peserta adalah menerkam lembu yang sedang berlari dan mencuba untuk mendakap bonggolnya lalu berpaut pada haiwan itu tanpa terjatuh selama 15 saat.
Peserta memerlukan refleks cepat dan kaki yang lincah untuk menjinakkan lembu jantan yang secara umumnya liar dan ganas.
Lembu jantan ini akan cuba melarikan diri, mengibas dan menjatuhkan peserta daripada badannya dan kadang kala juga akan menanduk peserta.
Markah pula dikira mengikut tempoh berpaut paling lama.
Sejarah Jallikattu
Sejarah sukan ini dapat ditelusuri kembali semasa peradaban Lembah Indus sekitar 5,000 tahun yang lalu, membuatkan Jallikattu menjadi salah satu tradisi tertua di dunia.
Istilah Jallikattu berasal dari perkataan Tamil ‘Salli kaasu’ (syiling) dan ‘kattu’ (bungkusan) terikat pada tanduk lembu jantan sebagai wang hadiah.
Tetapi kemudiannya semasa zaman penjajahan British, istilah tersebut telah ini berubah menjadi ‘Jallikattu.’
Sejak era klasik Tamil kira-kira 400 tahun lalu, sukan tradisional ini diadakan setiap tahun sempena festival ponggal.
Ia mengimbas kisah keperwiraan dan keperkasaan pahlawan lelaki yang mampu menundukkan tenaga lembu jantan liar.
Suatu ketika dahulu, ia bukan sahaja acara adu tenaga yang menghiburkan malah gelanggang Jallikattu menjadi medan buat golongan wanita mencari calon suami yang paling hebat.
Ragut nyawa
Kecederaan dan kematian pernah terjadi semasa temasya Jallikattu.
Sejak tahun 2008, seramai 43 peserta direkodkan terbunuh manakala ratusan yang lain tercedera.
Pada tahun ini sahaja, sebanyak empat kematian dicatatkan di bandar Madurai dengan mangsa terbaharu adalah seorang remaja lelaki berusia 14 tahun semasa penganjuran Jallikatu di daerah Dharmapuri.
Lapor media tempatan, mangsa dirodok lembu jantan yang terlepas dari gelanggang Jallikattu.
Susulan itu, polis telah melancarkan siasatan bagi menentukan sama ada kes tersebut berpunca daripada kecuaian penganjur.
Pernah diharamkan
Jallikattu tidak terlepas daripada kontroversi dan bantahan daripada aktivis serta pertubuhan pencinta haiwan.
Meskipun lembu jantan yang terlibat dalam festival ini tidak dicederakan, banyak laporan telah dibuat oleh kumpulan pemerhati kepada pihak berkuasa.
Sesetengah peserta dikatakan menyapu serbuk lada ke dalam mata haiwan tersebut sebelum ia dilepaskan ke gelanggang.
Begitu juga dengan perbuatan memaksa lembu jantan itu meminum alkohol dan menyakiti organ pembiakannya sebelum pertandingan bermula.
Semua tindakan ini adalah untuk menjadikan lembu jantan itu lebih liar dan dan ganas seterusnya menghasilkan lebih banyak aksi yang mendebarkan.
Mahkamah Tinggi India mengharamkan Jallikattu pada 2014 selepas rayuan oleh kumpulan hak asasi haiwan.
Bagaimanapun, ia dimainkan semula pada 2017 selepas protes besar-besaran yang mengakibatkan kerajaan Tamil Nadu campur tangan dan mengisytiharkan pesta menjinakkan lembu tersebut adalah sebahagian daripada budaya dan identiti negeri itu. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca