SHAH ALAM - Bekas Ahli Parlimen Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Sharif menyifatkan tindakan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menggantung keahlian parti beliau selama enam tahun dalam satu mesyuarat pada Jumaat, sebagai 'zalim' dan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Bekas Ahli Parlimen Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Sharif menyifatkan tindakan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menggantung keahlian parti beliau selama enam tahun dalam satu mesyuarat pada Jumaat, sebagai 'zalim' dan mempunyai 'agenda tersendiri'.

Bekas Ketua UMNO Bahagian Jempol itu berkata, beliau agak terperanjat menerima perkhabaran itu menerusi berita di media sosial memandangkan bekas Ahli MKT UMNO itu tidak pernah dipanggil Jawatankuasa Pengurusan Lembaga Disiplin parti sebelum ini.

Di sebalik keputusan kontroversi parti, Salim menegaskan beliau tidak berasa bersalah, lebih-lebih lagi beliau sanggup berkempen membantu calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Jempol pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu meskipun berdepan musibah peribadi yang besar.

"Ramai tidak tahu isteri saya kini sedang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) susulan berdepan penyakit kanser serius.

"Pada PRU15 lalu, meskipun isteri saya terlantar di hospital, saya masih komited untuk turun berkempen membantu calon BN di Parlimen Jempol, walaupun saya tidak tercalon semula sehingga menyebabkan parti menang bergaya.

"Justeru, bila parti buat keputusan saya digantung, saya memang rasa dizalimi...Ibarat sudah jatuh ditimpa tanggalah nasib saya," katanya kepada Sinar Premium pada Sabtu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas keputusan MKT UMNO yang mengesahkan penggantungan keahliannya selama enam tahun selepas selesai mesyuarat badan tertinggi parti itu pada Jumaat.

Selain itu, turut digantung adalah Bendahari Agung UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan dan bekas Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang.

Mesyuarat MKT UMNO turut memutuskan bekas Ketua Pemudanya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar dipecat.

Sementara itu, Salim berkata, penggantungan terhadap beliau juga tidak dimaklumkan kepadanya terlebih dahulu dan sehingga kini beliau masih belum menerima sebarang surat daripada parti.

Mesyuarat MKT UMNO pada Jumaat memutuskan dua pemimpin utama parti itu dipecat, manakala empat lagi digantung keahlian selama enam tahun.

"Tiada orang hubungi saya atau apa-apa (beri surat) sampailah malam tadi saya dapat mesej, kawan-kawan hantar (nama) saya tersenarai. Saya terperanjat, apa salah saya," ujarnya.

Salim berkata, beliau akan menunggu penjelasan terperinci daripada parti berhubung penggantungan itu, sebelum sebarang tindakan lanjut dibuat.

Sementara itu, Maulizan sewaktu dihubungi menyuarakan kebimbangan kemungkinan berlaku penolakan UMNO dalam kalangan ahli-ahli parti itu sendiri, terutamanya melibatkan akar umbi di negeri Johor pada masa hadapan.

Hal ini susulan MKT pada Jumaat mengambil tindakan tatatertib terhadap ramai pemimpin parti dari negeri itu terutamanya Hishammuddin yang dianggap antara pemimpin UMNO berpengaruh di Johor.

"Begitu juga apabila Datuk (Ir) Hasni (Mohamad) yang begitu popular dalam kalangan rakyat Johor digugurkan jawatan sebagai Pengerusi UMNO Johor.

"Saya reda dan terima sebarang keputusan penggantungan keahlian saya oleh parti. Cuma saya bimbang masa depan UMNO akan semakin kelam dan ditolak anak-anak muda kerana ruang kebebasan bersuara yang semakin terhad," tegasnya.

Klik di sini untuk terus membaca