SHAH ALAM - Strategi ‘pembersihan’ UMNO yang turut melibatkan pemecatan bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar diunjurkan bakal menyebabkan parti itu kehilangan sokongan pengundi muda dan atas pagar pada pilihan raya... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Strategi ‘pembersihan’ UMNO yang turut melibatkan pemecatan bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar diunjurkan bakal menyebabkan parti itu kehilangan sokongan pengundi muda dan atas pagar pada pilihan raya akan datang.

Penganalisis politik bebas, Datuk Anbumani Balan berpandangan, pemecatan itu merupakan tindakan kurang bijak serta satu kerugian besar buat UMNO.

Jelas beliau, hal ini memandangkan beliau merupakan 'magnet' yang menjadi tarikan utama sokongan pengundi muda terhadap parti itu.

"Semestinya UMNO akan berhadapan masa sukar untuk menarik sokongan pengundi muda kerana Khairy mempunyai pengikut cukup ramai.

"Generasi muda melihat beliau sebagai ikon yang digilap oleh UMNO dan satu-satunya pemimpin yang lantang bersuara, konsisten serta berani mengkritik parti sendiri sejak awal.

"UMNO perlu bersedia hilang sokongan pengundi muda kerana Khairy mempunyai populariti tersendiri dalam kalangan masyarakat Melayu, Cina dan India serta parti pembangkang yang lain,” katanya kepada Sinar Premium pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Anbumani menegaskan, UMNO sepatutnya mengekalkan atau mencari pemimpin-pemimpin baharu sebagai pelapis yang boleh menguatkan parti itu.

"UMNO dilihat cukup lemah sekarang ini terutamanya selepas tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lalu.

"Mereka sepatutnya duduk berbincang dan mengatur strategi yang lebih baik untuk pilihan raya seterusnya dan bukannya memecat ahli-ahli yang berpengaruh. Sampai bila mahu ‘kitar semula’ pemimpin lama?

"Saya tidak lihat tindakan UMNO sebagai suatu proses ‘pembersihan’ namun lebih kepada kepentingan tersirat. Semua individu dipecat ini bukan orang sembarangan dan jelas mempunyai kesetiaan yang tinggi terhadap UMNO. Daripada pecat serta-merta, UMNO sepatutnya bermuhasabah dan berbincang menyelesaikan masalah parti,” jelasnya.

Mengulas mengenai masa hadapan Khairy dalam bidang politik, Anbumani berkeyakinan keputusan pemecatan oleh UMNO bukanlah pengakhiran buat Khairy, namun menjadi platform terbaik beliau membina semula kariernya.

"Pengalaman dipecat merupakan perjuangan jatuh bangun yang biasa dalam politik. Saya percaya ini merupakan peluang yang baik untuk Khairy membina semula kariernya.

"Beliau mempunyai banyak pilihan dan saya yakin ramai pihak yang akan mengambil kesempatan ini untuk melobi Khairy masuk ke parti mereka,” katanya.

Sebelum ini, bekas Ketua Pemuda UMNO itu dipecat keahliannya pada malam Jumaat disebabkan pelanggaran disiplin parti mengikut Perlembagaan UMNO kerana kesalahan semasa PRU15 yang lalu.

Selain itu, bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar turut dipecat daripada parti itu atas alasan yang sama selepas dimaklumkan oleh Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Puad Zarkashi.

UMNO turut menggantung keahlian beberapa pemimpin lain seperti Ahli Parlimen Sembrong yang juga bekas Naib Presiden, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein dan bekas Ketua Penerangan, Shahril Sufian Hamdan selama enam tahun.

Dalam pada itu, Ketua Jabatan Pengajian Hubungan Antarabangsa Universiti Sultan Zainal Abidin, (UniSZA), Dr Hussain Yusri Zawawi berpandangan, lebih ramai ahli-ahli UMNO daripada pelbagai peringkat akan keluar daripada parti itu sebagai tindak balas kepada tindakan pemecatan Khairy dan penggantungan ahli yang lain.

"UMNO akan berdepan dengan protes dalaman yang akhirnya memberi impak negatif kepada ahli mereka akibat gerakan ‘pembersihan’ itu.

"Perkara ini semestinya memberi tamparan yang negatif buat UMNO yang dilihat sebagai diktator dalam membuat keputusan.

"Kita juga menyaksikan gelombang penolakan anak muda terhadap UMNO pada PRU15 lalu, jadi ‘pembersihan’ ini akan memberi implikasi yang sangat buruk kepada UMNO dalam meraih sokongan pengundi muda,” katanya.

Biarpun dipecat dari parti, Hussaini Yusri berpendapat Khairy akan dikenang sebagai pemimpin yang berani bersuara sehingga dipecat oleh parti.

"Khairy mempunyai legasi kepimpinan dan karismanya yang tersendiri malah ramai yang menyukai cara beliau bekerja atau berpolitik untuk rakyat. Walaupun tidak berjaya di dalam UMNO, ruang bagi anak muda untuk terus memberi sokongan kepada penglibatan Khairy dalam politik sentiasa cerah.

"Kepimpinannya boleh memikat mana-mana parti politik untuk terus bekerjasama. Justeru, tidak mustahil Khairy boleh memenangi kerusi bebas jika beliau bertanding bukan atas tiket UMNO,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca