SEJAK kekalahan terburuk Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi oleh parti keramat Melayu UMNO pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), UMNO kini melalui satu lagi krisis yang membawa parti itu ke arah yang lebih parah.
UMNO pada masa ini sedang melalui fasa 'pembersihan' parti secara besar-besaran, telah memutuskan lebih 50 pemimpin mereka dipecat dan digantung keahlian sejak permulaan kempen PRU15.
Antara nama besar yang telah dipecat sehingga kini adalah bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar; bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa; bekas Pengerusi UMNO Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim dan bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar.
Sementara itu, Bendahari Agung BN, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Hamdan digantung keahliannya. Turut digantung keahlian selama enam tahun adalah Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang.
Pembersihan parti bukan pertama kali dilakukan UMNO sewaktu era kepimpinan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Presiden parti sejak tahun 2018.
Bermula 7 Februari 2020, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam dipecat sebagai ahli UMNO. Beliau kemudiannya diterima semula sebagai ahli bermula pada 30 September 2021.
Pada 27 Mac 2021, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Tun Faisal Ismail Aziz, digantung keahlian selama enam tahun. Perkara itu disusuli oleh Exco Pemuda UMNO, Wan Muhammad Azri Wan Deris (Papagomo) yang turut digantung keahliannya selama enam tahun bermula pada 1 September 2021.
Sementara itu, pada 1 Oktober 2022, UMNO menggantung keahlian Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Datuk Mohd Yusof Ismail dan bekas Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman selama enam tahun.
Pada tarikh sama, Ketua UMNO Cawangan Projek Perumahan Awam (PPA) Sri Labuan, Datuk Zaharin Mohd Yasin yang terkenal sebagai pengkritik kuat Ahmad Zahid telah dipecat keahlian UMNO.
Menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), pada 7 November 2022, UMNO menggugurkan empat pemimpin parti selepas bertanding pilihan raya mewakili parti lawan gara-gara tidak dicalonkan semula.
Pengguguran itu melibatkan bekas Ahli Parlimen Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin; bekas Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim; bekas Ahli Parlimen Maran, Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib dan bekas pemimpin UMNO Bahagian Arau, Azhar Ahmad.
Pada 19 November 2022, Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan meletakkan jawatan selaku Ketua Penerangan UMNO serta menggesa supaya Ahmad Zahid berundur.
Pada 20 November 2022, giliran bekas Ahli MKT UMNO, Tan Sri Noh Omar mengumumkan peletakan jawatan beliau sebagai Pengerusi UMNO Selangor, disusuli keputusan pemecatan Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa pada 8 Disember lalu.
Terdahulu, Annuar pada 5 Januari 2021 turut digugurkan daripada jawatan Setiausaha Agung UMNO dan BN.
Pemimpin sayap kepimpinan parti turut tidak terkecuali dipecat apabila bekas Ketua Wanita UMNO Bahagian Arau; Datuk Seri Shamsiah Yasin yang juga isteri kepada Shahidan, menerima nasib sama.
Seorang lagi pemimpin Wanita UMNO bahagian yang berdepan nasib serupa adalah bekas Ketua Wanita UMNO Bahagian Maran, Datin Seri Fatimah Kassim (isteri kepada Dr Ismail Muttalib).
Dengan Ahmad Zahid secara terbuka menyatakan komitmen UMNO untuk melaksanakan proses pembersihan parti daripada cengkaman pemimpin 'musang berbulu ayam' menjelang pemilihan UMNO dijadualkan Februari hadapan, adakah tindakan itu menjadikan parti itu semakin bersih?
Menurut penganalisis politik daripada Universiti Sultan Zainal Abidin, (UniSZA), Dr Hussain Yusri Zawawi, UMNO kini dilihat telah 'membakar diri sendiri' dengan apinya dijangka terus marak meresapi keseluruhan organisasi parti berkenaan.
Tegasnya, tiada apa pun perubahan yang besar melalui pembersihan parti ini melainkan rakyat Malaysia akan menyaksikan zaman kejatuhan dan protes ahli parti terhadap kepimpinan UMNO.
"Pada masa sama, UMNO yang semakin melemah ketika ini pastinya akan bergantung harap kepada Pakatan Harapan (PH) sebagai talian hayat mereka untuk kekal relevan dalam landskap politik tanahair, meskipun hakikatnya mereka sudah hilang taring sebagai parti utama kaum," katanya kepada Sinar Premium pada Sabtu.
Selain itu, peristiwa pembersihan UMNO sekali gus bakal memberi impak negatif terhadap peluang UMNO mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) di Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu pada tahun ini.
Hal ini kerana proses pembersihan UMNO yang menyingkirkan pemimpin popular seperti Khairy sudah pasti akan melunturkan sokongan pengundi muda terhadap mereka.
"Kepimpinan dan pencapaian politik Khairy sebelum ini tidak mudah dipadamkan dalam pemikiran anak muda yang terus memberi sokongan kepada beliau meskipun beliau telah dipecat bersama ahli yang lain.
"UMNO yang kini semakin terbakar dengan tiada jalan penyatuan dalam kalangan pimpinannya, akan terus menjadi parti yang tidak dominan dan relevan jika tiada solusi drastik dilaksanakan bagi membaiki bahtera yang bocor.
"Saya bimbang api yang makin membara kini, kian membakar UMNO yang pada saat ini dan menanti untuk 'hangus'," katanya.
Klik di sini untuk terus membaca