JIKA disingkap sejarah kepimpinan UMNO sejak ditubuhkan pada tahun 1946, parti itu sebenarnya tidak pernah sunyi daripada krisis dan masalah dalaman.
Amalan demokrasi parti tertua Melayu itu sebenarnya agak terbuka walaupun sering dianggap sebagai tertutup oleh sebilangan pemerhati politik tempatan terutama pada zaman kepimpinan bekas Perdana Menteri dua kali, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Sebagai bukti, tindakan pengasas UMNO sendiri, Datuk Onn Jaafar meletak jawatan sebagai Presiden UMNO dan terus keluar parti pada tahun 1951 setelah cadangan parti itu membuka keahlian kepada semua penduduk Tanah Melayu tanpa mengira kaum ditolak parti adalah bukti jelas kuasa presiden sukar mengatasi suara akar umbi.
Begitu juga Perdana Menteri Malaysia pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj yang terpaksa melepaskan jawatan Presiden UMNO pada tahun 1971 bagi memberi laluan kepada timbalannya, Tun Abdul Razak menjadi Perdana Menteri setelah kepimpinan beliau dikritik.
Selain itu, proses pembersihan parti dalam UMNO juga bukan perkara asing. Hal itu dibuktikan pada tahun 1987 apabila krisis kepimpinan UMNO di antara kem Tengku Razaleigh Hamzah dengan kem Dr Mahathir membawa kepada pengharaman UMNO.
Susulan itu, Dr Mahathir menghidupkan semula UMNO dan menyingkirkan mana-mana pemimpin yang setia bersama Tengku Razaleigh atau lebih dikenali Ku Li, manakala bekas Menteri Kewangan itu kemudiannya menubuhkan parti Semangat 46.
Proses pembersihan parti yang kedua pula berlaku sewaktu peristiwa pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ketika itu memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO pada tahun 1998.
Dr Mahathir yang menjadi Perdana Menteri ketika itu mengambil tindakan tatatertib terhadap sebilangan besar pengikut Anwar termasuk Presiden UMNO sekarang, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan menahan mereka di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Proses pembersihan ketiga pula terjadi sewaktu zaman Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri pada tahun 2016.
Dibebani tekanan akar umbi menuntut kontroversi skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) diperjelaskan kerajaan Barisan Nasional (BN) ketika itu, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO waktu itu bersetuju memecat Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir serta menggantung Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Terkini, Ahmad Zahid selaku Presiden UMNO pula memimpin MKT untuk mengambil tindakan pemecatan dan penggantungan keahlian terhadap lebih 50 pemimpin berpengaruh parti berkenaan pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan PRU15.
Antara pemimpin terlibat adalah bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar; bekas Menteri Kanan (Pertahanan), Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa dan bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar.
Ramai pemerhati politik melihat tindakan pembersihan parti oleh Ahmad Zahid kali ini berupaya membawa kehancuran parti itu serta didakwa memandulkan amalan demokrasi kepartian.
KEKAL RELEVAN
Bagaimanapun, tiga proses pembersihan parti dilaksanakan kepimpinan UMNO sebelum ini membuktikan parti itu masih kekal relevan di mata rakyat, meskipun pembersihan era Najib diakui mengundang kepada kemerosotan prestasi parti berkenaan pasca PRU14.
Hal itu dipersetujui oleh bekas ahli MKT UMNO, Datuk Seri Hasan Malek yang menegaskan UMNO perlu mencontohi keberanian Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam melaksanakan proses pembersihan parti secara besar-besaran selepas peristiwa Langkah Sheraton pada tahun 2020.
"Pada saya, kejayaan sesebuah organisasi adalah bergantung sepenuhnya kepada disiplin ahli terhadap parti dengan kepentingan parti perlu diutamakan berbanding kepentingan peribadi.
"Ambil contoh PKR yang melaksanakan proses pembersihan parti secara besar-besaran bagi menyingkirkan pengaruh kartel (bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali selepas Langkah Sheraton.
"Ketika itu, ramai orang melihat PKR tanpa Azmin dan pengikut-pengikutnya akan menjadi lemah dan berpotensi kalah teruk pada PRU15, namun parti itu membuktikan sebaliknya apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim akhirnya dilantik sebagai Perdana Menteri hari ini,” ujarnya kepada Sinar Premium.
Mengulas faktor utama penyumbang prestasi terburuk UMNO-BN pada PRU15, Hasan turut berpendapat kewujudan ramai ‘musang berbulu ayam’ dan ‘musuh dalam selimut’ dalam kalangan pimpinan parti sebenarnya menjadi punca utama parti itu hilang banyak kerusi ‘patut menang’.
"Pada saya, biar sahaja kita rugi satu atau dua pemimpin besar. Paling penting kelangsungan parti dapat dipertahankan dan saya yakin proses pembersihan parti ini juga merupakan satu proses peremajaan parti terbaik untuk masa depan UMNO,” tegasnya.
EKSKLUSIF
Namun begitu, ada pemerhati politik melihat proses pembersihan UMNO bakal menjadikan parti itu semakin eksklusif dan sekadar mewakili sekelompok kecil pihak tertentu.
Pendekatan UMNO dahulu sebagai wadah pergerakan orang Melayu secara keseluruhan juga dibimbangi akan mencair jika imej parti diidentifikasikan dengan imej pemimpin tertentu sahaja berbanding mewakili imej komuniti Melayu secara am.
"Situasi UMNO hari ini berbeza dengan situasi PKR pasca peristiwa Langkah Sheraton di mana pembersihan PKR ketika itu bertujuan menyingkirkan faksi menjadi punca kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada tahun 2020.
"Tindakan pembersihan dilakukan hakikatnya perlu berdiri di atas kefahaman jelas oleh pemimpin UMNO terhadap mesej rakyat dalam kotak undi PRU15.
"Sama ada pembersihan ini menepati hasrat rakyat yang menolak UMNO pada PRU15 lalu atau menjaga kelangsungan politik faksi tertentu pasca PRU15, tafsiran yang silap terhadap mesej rakyat akan mengundang risiko yang lebih besar kepada masa depan UMNO,” ujar Penyelidik Kanan O2 Research Malaysia, Anis Anwar Suhaimi.
Klik di sini untuk terus membaca