KEPUTUSAN UMNO memecat bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan menggantung bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein selama enam tahun bukanlah terlalu luar biasa.
Sebahagian orang sudah menjangka walaupun berharap keputusan berlainan pada Jumaat.
Lebih menarik, ahli MKT UMNO, Tan Sri Noh Omar dipecat atas permintaan sendiri selepas tidak berpuas hati dengan keputusan asal menggantung beliau selama enam tahun.
Realitinya, usaha Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk bekerjasama dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP telah mengorbankan ramai pemimpin UMNO.
Ia bermula dengan penggantungan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Tun Faisal Ismail dan Exco Pemuda UMNO, Wan Muhammad Azri, diikuti Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Datuk Yusof Ismail serta Ketua Bahagian Pasir Salak, Tan Sri Tajuddin Abdul Rahman.
Menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), empat menteri dan timbalan menteri UMNO digugurkan daripada menjadi calon kerana tampak vokal menentang kecenderungan Ahmad Zahid kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menjelang PRU15 juga, Datuk Seri Shahidan Kassim (Arau), Datuk Zahidi Zainul Abidin (Padang Besar) dan Datuk Seri Ismail Abdul Mutalib (Maran) dipecat kerana bertanding atas tiket parti lawan.
Selepas PRU15, Tan Sri Annuar Musa dipecat daripada UMNO kerana mengkritik Ahmad Zahid dan pada Jumaat adalah kemuncak segala pemecatan itu.
Keputusan tersebut bukan sahaja menangguhkan ‘perjalanan’ dua persona politik nasional, malah merencatkan pemulihan UMNO dan Barisan Nasional (BN).
Trend dua PRU lalu memperlihatkan peranan besar persona politik sebagai penentu kemenangan parti. BN memiliki peluang sangat cerah untuk kembali menjadi kuat pada PRU16 sekiranya Hishammuddin atau Khairy ditunjukkan sebagai calon Perdana Menteri.
Mereka adalah persona politik yang punya cukup ramuan untuk menjadi Perdana Menteri. Dalam kalangan pemimpin politik yang aktif hari ini – selain Anwar dan Tan Sri Muhyiddin Yassin– kedua-dua mereka mempunyai kebolehan komunikasi yang baik di peringkat antarabangsa berbanding kebanyakan pemimpin politik sedia ada yang lain.
Mereka juga ada pengalaman menguruskan kerajaan Persekutuan yang tidak dimiliki kebanyakan pemimpin politik sebaris mereka merentasi semua parti.
Malah, mereka mewakili elemen tradisi kepimpinan BN yang merentasi kaum dan agama.
Bagi Hishammuddin dan Khairy pula, walaupun jalan politik mereka tampak berliku, namun sejarah kebanyakan Perdana Menteri negara melalui jalur yang hampir serupa.
Hishammuddin telah membuktikan tanpa sebarang jawatan dalam parti, beliau mampu membuat gerakan politik nasional yang sangat halus tetapi membawa perubahan besar.
Bekas Ketua Pemuda UMNO itu masih memiliki rangkaian dalaman UMNO yang besar dan boleh digerakkan pada masa yang diperlukan.
Dengan pengalaman sebagai menteri kabinet selama lebih dua dekad dan jaringan politik antarabangsa, adalah sukar untuk mengatakan kerjaya politik Hishammuddin sudah berakhir.
Suatu masa orang pernah menganggap kerjaya politik Tun Abdullah Ahmad Badawi berakhir apabila dilabel sebagai tim B dan disisihkan daripada kabinet. Akhirnya beliau menjadi Perdana Menteri pada usia 64 tahun.
Muhyiddin dipecat daripada UMNO pada usia 69 tahun (2016), kemudiannya menjadi Perdana Menteri pada usia 73 tahun. Anwar hanya menjadi Perdana Menteri pada usia 75 tahun. Hishammuddin di sebalik pengalaman berpuluh tahun baru berusia 62 tahun.
Keadaan Khairy lebih menarik kerana beliau melalui jalan yang dilalui oleh Tun Dr Mahathir Mohamad. Beliau dipecat daripada UMNO pada usia 44 tahun (1969) kerana kritikan keras terhadap Almarhum Tunku Abdul Rahman. Khairy yang kini baru berusia 47 tahun mengulangi jejak sama dipecat kerana mengkritik Presiden UMNO.
Cuma Khairy dan Hishammuddin perlu sedar naratif politik sudah berubah. UMNO bukan lagi parti politik dominan dan mewakili hierarki kuasa. Sudah dua PRU, UMNO gagal menampilkan Perdana Menteri.
* Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar).
Klik di sini untuk terus membaca