KIEV - Pada awal minggu lalu, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy mengumumkan perubahan besar melibatkan pegawai kerajaan ketika konflik bersenjata bersama Rusia memasuki tahun kedua. Keputusan itu dikatakan mempunyai kaitan dengan usaha... Klik di sini untuk terus membaca

KIEV - Pada awal minggu lalu, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy mengumumkan perubahan besar melibatkan pegawai kerajaan ketika konflik bersenjata bersama Rusia memasuki tahun kedua.

Keputusan itu dikatakan mempunyai kaitan dengan usaha memerangi rasuah yang mahu beliau buktikan kepada sekutu Barat di tengah-tengah peningkatan konflik politik domestik.

Krisis dalaman di Ukraine itu bagaimanapun telah mendedahkan skandal korup di peringkat tertinggi yang menyaksikan gelombang peletakan jawatan termasuk Timbalan Ketua Pejabat Presiden, Kyrylo Tymoshenko; Timbalan Menteri Pertahanan, Vyacheslav Shapovalov dan Timbalan Ketua Pendakwa Raya, Alexey Symonenko.

Selain itu, empat ketua pentadbiran wilayah yang terletak berhampiran pasukan barisan hadapan juga disingkirkan.

Pemecatan beberapa individu itu dikaitkan dengan siri skandal rasuah melibatkan pegawai kanan di Kiev termasuk pembelian bekalan makanan untuk pasukan tentera pada harga jauh lebih tinggi yang sedikit sebanyak telah memburukkan imej Kementerian Pertahanan.

Biro Antirasuah Kebangsaan Ukraine (NABU) turut melakukan serbuan yang membawa kepada penahanan Timbalan Menteri untuk Pembangunan Komuniti, Wilayah dan Infrastruktur, Vasyl Lozinsky yang didakwa menerima wang suapan berjumlah AS$400,000 (RM1.7 juta).

Satu lagi skandal politik menggemparkan Ukraine melibatkan Timbalan Parti Hamba Rakyat, Pavel Khalimon yang didakwa membeli estet bernilai 10 juta grivna (RM1.15 juta) ketika Kiev sedang berperang habis-habisan menentang Moscow.

Skandal rasuah itu terbongkar ketika Ukraine masih lagi terlibat konflik bersenjata bersama Rusia.

JADI 'BARAH'

Sebahagian pendedahan berani itu dibuat wartawan penyiasat untuk laman berita Ukrayinska Pravda, Mykhaylo Tkach.

Antara yang dibongkarkan Tkach adalah tentang ‘kekayaan luar biasa’ Timbalan Ketua Pejabat Presiden, Tymoshenko yang meletak jawatan selepas wartawan tersebut mendakwa beliau berpindah ke sebuah rumah agam bersama keluarganya.

Tkach turut menerbitkan klip rakaman memaparkan Tymoshenko memandu kereta mewah Porsche selama beberapa bulan dan menyalahgunakan kenderaan SUV yang disumbangkan untuk misi kemanusiaan.

Bekas Timbalan Ketua Pejabat Presiden itu bagaimanapun mempertahankan diri, kononnya beliau tidak melakukan apa-apa kesalahan.

Sebelum ini, penentang kerajaan dan pemberi maklumat tentang kes rasuah dianggap sebagai ‘bekerja untuk musuh’.

Kini, situasi itu telah berubah secara drastik. Zelenskyy menegaskan bahawa sebarang bukti yang menunjukkan skandal rasuah akan membawa kepada ‘tindak balas yang tegas’ selepas pihak berkuasa melancarkan dua siasatan utama berkaitan penyelewengan dana.

"Saya mahu perkara ini menjadi isyarat kepada tindakan atau tingkah laku mereka yang melanggar prinsip keadilan,” katanya.

Timbalan Ketua Pejabat Presiden, Kyrylo Tymoshenko menunjukkan nota tulisan tangan untuk mengumumkan peletakan jawatannya yang dikongsi di media sosial.

Susulan pendedahan skandal rasuah yang berleluasa di Ukraine, Amerika Syarikat (AS) bersama sekutunya dikatakan mahu mengehadkan kuasa Zelenskyy.

Bantuan berbilion dolar termasuk peralatan ketenteraan disalurkan sekutu Barat turut dikhuatiri jatuh ke tangan pihak yang salah, namun tiada bukti tentang perkara tersebut.

Sejak Kiev mengisytiharkan kemerdekaan kira-kira 31 tahun yang lalu, korupsi telah menjadi ‘barah’ dalam perkhidmatan awam dan sistem politik negara itu.

Pada 2014, gerakan revolusi popular berjaya menggulingkan kerajaan terakhir di bawah kepimpinan bekas Presiden, Viktor Yanukovych yang lebih condong ke arah Rusia, selain terpalit isu rasuah.

Sejak sembilan tahun lalu, Kiev telah cuba melaksanakan siri pembaharuan yang didorong oleh kempen pencerobohan Moscow terhadap negara bekas Kesatuan Soviet tersebut.

Perubahan yang dilakukan Ukraine seperti penubuhan agensi antirasuah, pasukan polis baharu dan ahli politik perlu mendedahkan nilai kekayaan mereka dianggap penting untuk mendapatkan sokongan berterusan dari Barat.

Kewujudan rasuah secara berleluasa di Ukraine pernah disuarakan oleh Presiden Rusia, Vladimir Putin, kira-kira tiga hari sebelum operasi ketenteraan khas dilancarkan.

Imej Zelenskyy yang mendapat julukan ‘Presiden perang’ kini sedikit tercalar dek skandal rasuah tersebut dan ia dipercayai dapat dipulihkan jika beliau bersungguh-sungguh membanteras korupsi secara habis-habisan, namun mampukah beliau melaksanakannya?

INFO

- Menurut laporan kumpulan pemerhati Transparency International pada 2016, antara 38 peratus dan 42 peratus isi rumah di Ukraine dilaporkan memberi rasuah untuk mengakses perkhidmatan asas awam.

- Kontroversi tentang pendekatan Zelenskyy 'yang agak lemah' terhadap isu rasuah telah bermula sejak tahun lalu. Parlimen Ukraine pada akhir 2022 pernah mendapat pujian kerana membubarkan mahkamah daerah yang terkenal dengan korup tetapi pada hari yang sama, ia turut dikritik kerana melaksanakan pembaharuan yang membolehkan campur tangan politik dalam Mahkamah Perlembagaan.

- Indeks Persepsi Rasuah 2021 meletakkan Ukraine di tangga ke-122 daripada 180 negara untuk tahap persepsi rasuah dalam sektor awam.

Klik di sini untuk terus membaca