Berikut merupakan enam peristiwa bersejarah terbesar yang pernah berlaku sejak penubuhan parti UMNO pada tahun 1946: 1. Pengharaman UMNO Pada 4 Februari 1988, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengisytiharkan UMNO sebagai pertubuhan tidak sah... Klik di sini untuk terus membaca

Berikut merupakan enam peristiwa bersejarah terbesar yang pernah berlaku sejak penubuhan parti UMNO pada tahun 1946:

1. Pengharaman UMNO

Pada 4 Februari 1988, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengisytiharkan UMNO sebagai pertubuhan tidak sah dan diharamkan kerana menerima wakil dari cawangan-cawangan yang tidak berdaftar semasa pemilihan jawatankuasa bahagian.

Ia selepas sekumpulan 11 orang ahli UMNO yang memihak kepada Tengku Razaleigh Hamzah, calon bertanding jawatan Presiden ketika itu, mengemukakan saman di mahkamah supaya mengisytiharkan pemilihan UMNO pada 24 April 1987 sebagai batal dan tidak sah.

Dalam pemilihan pada tahun tersebut, pertandingan bagi kerusi Presiden dimenangi oleh Tun Dr Mahathir Mohamad yang menewaskan Tengku Razaleigh dengan majoriti tipis 43 undi.

2. Penubuhan Semangat 46

Ekoran daripada pergolakan yang berlaku susulan keputusan pemilihan pada tahun 1987, Tengku Razaleigh bersama Tan Sri Rais Yatim menubuhkan Semangat 46 bertujuan bagi membawa semangat asal parti UMNO yang diwujudkan pada tahun 1946.

Bersama dengan Pas dan beberapa parti kecil lain, Semangat 46 bekerjasama di bawah gabungan Angkatan Perpaduan Ummah untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum (PRU) tahun 1990 dan 1996, namun gagal membina pengaruh lebih kukuh dalam politik negara.

Ia dibubarkan pada Mei 1996 selepas Tengku Razaleigh dan Rais mengambil keputusan untuk kembali menyertai UMNO.

3. Pemecatan Anwar

Pada 2 September 1998, Majlis Tertinggi UMNO mengambil keputusan untuk memecat Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ketika itu berada di kedudukan kedua tertinggi parti sebagai Timbalan Presiden.

Anwar sebelum itu juga telah dipecat daripada memegang jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri dipercayai akibat daripada beberapa dakwaan yang dihadapinya di mahkamah.

Pada tahun 1999, Anwar dipenjarakan selepas disabit atas kesalahan rasuah dan liwat, tuduhan yang dipercayai bermotifkan politik.

4. Kalah PRU14

Tahun 2018 menyaksikan perubahan landskap politik negara apabila buat pertama kalinya selepas lebih enam dekad mentadbir negara, Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi UMNO gagal memenangi hati rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Keputusan menyaksikan Pakatan Harapan (PH) yang terdiri daripada empat parti pembangkang iaitu DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR), Amanah dan Bersatu memenangi 113 daripada 222 kerusi Parlimen dan mengikut undang-undang berhak untuk membentuk kerajaan baharu dengan majoriti mudah.

Manakala BN hanya meraih 79 kerusi Parlimen termasuk UMNO memperolehi 47 kerusi.

5. Pemecatan Muhyiddin dan Mohd Shafie

Pada 24 Jun 2016, MT UMNO membuat keputusan sebulat suara untuk memecat Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada UMNO manakala Datuk Seri Mohd Shafie Apdal digantung keahliannya.

Tindakan itu diambil kerana kedua-dua pemimpin itu didakwa mempunyai masalah disiplin dan mengkritik pentadbiran parti ketika itu.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak turut mendakwa pemecatan itu dilakukan kerana mereka membuat kenyataan di luar Kabinet, berhubung isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).Bagaimanapun, selepas sepuluh hari digantung keahlian, Mohd Shafie mengumumkan tindakan keluar daripada parti berkenaan.

6. Tun Mahathir keluar UMNO serta-merta

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan keluar daripada UMNO berkuat kuasa serta-merta pada 19 Mei 2008.

Beliau bertindak keluar parti yang diterajuinya selama 22 tahun sehingga 2003 kerana tidak yakin dengan kepimpinan Perdana Menteri ke- 5, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Sepanjang pembabitan Dr Mahathir selama enam dekad dalam UMNO, beliau pernah dipecat daripada UMNO pada 1969 kerana melanggar disiplin parti apabila mengkritik kepimpinan UMNO ketika itu, tetapi beliau diterima kembali ke dalam parti itu pada 1972.

Klik di sini untuk terus membaca