SHAH ALAM - Tindakan UMNO memecat dan menggantung keahlian beberapa pemimpin serta ahlinya termasuk yang memiliki nama besar seolah-olah memberi gambaran bahawa parti itu tidak mahu berubah, kata Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Dr Jeniri... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Tindakan UMNO memecat dan menggantung keahlian beberapa pemimpin serta ahlinya termasuk yang memiliki nama besar seolah-olah memberi gambaran bahawa parti itu tidak mahu berubah, kata Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Dr Jeniri Amir.

Beliau berkata, perkembangan itu memberikan mesej tidak baik kepada rakyat khususnya ketika UMNO kini dilihat sedang mengalami kesukaran untuk mendapatkan sokongan rakyat khususnya orang Melayu, berdasarkan keputusan pilihan raya umum (PRU) baru-baru ini.

Jelas beliau, tindakan terbaru itu juga bakal menyukarkan lagi parti itu bagi memulihkan imejnya di kaca mata rakyat Malaysia terutamanya dalam kalangan pengundi muda.

"Ini akan menyulitkan lagi proses perubahan dalam UMNO ketika mana parti ini benar-benar memerlukan perubahan,” katanya kepada Sinar Ahad.

Pada Jumaat, UMNO mengumumkan pemecatan bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Tan Sri Noh Omar dan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berikutan pelanggaran disiplin sewaktu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Selain itu, beberapa pemimpin lain turut digantung selama enam tahun antaranya ahli Parlimen Sembrong yang juga bekas naib presidennya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan.

Pada masa sama, Jeniri berkata, langkah diambil itu dilihat akan turut menghantar mesej kurang baik terhadap ahli parti terutamanya kepada mereka mempunyai idea baik untuk membawa perubahan, namun berlawanan dengan kehendak parti.

"Sepatutnya harus ada ruang demokrasi dalam UMNO untuk pastikan ada input lebih segar. Tapi dengan perkembangan ini, orang akan takut untuk bersuara atau membuat sebarang kritikan,” ujarnya.

PENGARUH

Dalam pada itu, Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar berkata, pemecatan individu seperti Khairy dan Noh yang memiliki pengaruh tersendiri di peringkat negeri dan nasional dijangka memberi kesan terhadap prestasi UMNO dalam Pilihan Raya Negeri (PRN).

Katanya, ia dengan mengambil senario di mana kedua-dua pemimpin itu menyatakan sokongan atau kecenderungan terhadap Perikatan Nasional (PN).

"Jadi perkara itu bagi saya perlu dilihat secara serius oleh parti di dalam Kerajaan Perpaduan iaitu Pakatan Harapan (PH) yang mungkin selepas ini mengadakan kerjasama pilihan raya dengan BN.

"Ini untuk melihat sejauh mana mana mereka mampu menyekat sekiranya PN memanfaatkan pengaruh dimiliki Khairy dan Noh iaitu masing-masing di Negeri Sembilan dan Selangor,” ujarnya.

Beliau berkata, enam PRN negeri pada tahun ini merupakan tempoh kritikal buat UMNO bagi memposisikan kedudukannya untuk memenangi kembali sokongan pengundi khususnya orang Melayu.

Klik di sini untuk terus membaca