BELALANG ni bukanlah ahli mana-mana parti politik. Bukan juga pentaksub mana-mana pemimpin atau pak menteri. Sebab itu dalam tempoh lebih 20 tahun Belalang dalam industri media, Belalang berkawan dengan semua pemimpin dan ahli politik. Hari... Klik di sini untuk terus membaca

BELALANG ni bukanlah ahli mana-mana parti politik. Bukan juga pentaksub mana-mana pemimpin atau pak menteri.

Sebab itu dalam tempoh lebih 20 tahun Belalang dalam industri media, Belalang berkawan dengan semua pemimpin dan ahli politik.

Hari ini Belalang dengan rakan media mungkin duduk menemu bual pemimpin kerajaan, tapi mungkin esok lusa duduk minum dengan ahli politik pembangkang.

Bukanlah makna kata kita lalang tapi bak kata orang tua, berkawan biar beribu tapi bercinta biarlah satu.

Belalang percaya ramai media pun begitu. Al maklumlah kerja kita macam ini, berkarya dan menulis berita.

Apatah lagi seperti surat khabar Belalang ni, kita bukan dimiliki oleh mana-mana parti, pemimpin atau proksi politik.

Jadi surat khabar Belalang bagi ruang dan peluang kepada semua pemimpin politik tanpa mengira parti untuk bersuara, memberi kenyataan atau membuat liputan program mereka.

Tak kisahlah orang UMNO, Pas, PKR, Bersatu, Amanah, DAP, MCA, MIC mahupun parti-parti dari Sabah dan Sarawak. Semua kita bagi liputan.

Tapi apa yang Belalang kecewa warna orang politik mudah sangat berubah bila ada kuasa.

Sejak tsunami politik tahun 2018, semua parti sudah pernah rasa nikmat jadi kerajaan dan pernah pegang gelaran pembangkang.

Jadi perangai seperti sesumpah sesetengah ahli politik ni Belalang sudah boleh nampak.

Bila jadi pembangkang, semua mahu langgar. Semua kerajaan buat perlu dikritik, lagi keras lagi bagus.

Kalau media tidak mahu buat liputan atau siarkan kenyataan pemimpin pembangkang, media dianggap pro-kerajaan, penakut, tidak berjuang untuk rakyat dan telah disekat kebebasan bersuara.

Tapi bila sudah menang Pilihan Raya Umum dan jadi kerajaan di Putrajaya nada-nada mereka sudah berubah. Kerajaan dan pemimpin kerajaan sudah tidak boleh dicuit serta dikritik.

Cepat sungguh melompat, malah membuli media menggunakan sosial media pro-parti mereka.

Yang peliknya berita yang dipertikai itu cumalah berita jalan lebuh raya berlubang yang mengancam nyawa pengguna.

Malah lebih lucu ia yang diluahkan sendiri oleh ahli Parlimen daripada parti mereka sendiri, bukan pemimpin pembangkang pun.

Tetapi apa yang Belalang dan kawan-kawan kecewa apabila tergamak Pak Menteri sendiri terikut-ikut mainan media sosial. Beliau menghantar mesej kepada rakan wartawan Belalang mempertikaikan kononnya tajuk berita itu sebagai sensasi.

Sedangkan bagi Belalang, Pak Menteri itulah sepatutnya menyokong kebebasan media dan berterima kasih atas usaha media memperjuangkan aduan-aduan rakyat.

Cuma nasihat Belalang kepada rakan-rakan wartawan, selagi kita menulis berita demi menjadi lidah rakyat, menjaga agama, bangsa dan membangunkan negara, kita teruskan sahaja ke depan. Tak perlu kita takut apabila diugut-ugut dan dipertikai seperti itu.

Belalang: Tak makan dek puji, tak mati dek keji

Klik di sini untuk terus membaca