INGAT bahawa Seksyen 10 (a) Akta Kesalahan Pilihan Raya (AKP) 1954 mentakrifkan secara terperinci perbuatan rasuah sebelum, semasa dan selepas pilihan raya yang dilakukan secara langsung atau tidak langsung oleh calon itu sendiri atau oleh wakil bagi pihaknya.
Sudah tentu mereka yang turut terlibat memberi wang untuk meraih undi calon tertentu, salah dari segi undang undang (AKP) 1954 dan boleh disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Apatah lagi, dikatakan pengundi dipaksa bersumpah dengan nama ALLAH untuk mengundi seseorang calon. Rakan sedarjah saya sendiri di kampung memberitahu bahawa dia diberi RM200 dan diminta mengundi calon tertentu.
Dalam konteks SPRM, pengertian rasuah adalah penerimaan atau pemberian suapan sebagai upah atau dorongan untuk seseorang individu kerana melakukan atau tidak melakukan sesuatu perbuatan yang berkaitan dengan tugas rasmi.
Suapan terdiri daripada wang, hadiah, bonus, undi, perkhidmatan, jawatan, upah atau diskaun.
Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki menekankan bahawa rasuah adalah rasuah, tidak kira bagaimana seseorang itu memilih untuk menggambarkannya kerana undang-undang jelas mentakrifkan apa dimaksudkan dengan pembelian undi.
Katanya, sama ada ia ‘sedekah’ atau ‘sumbangan’, undang-undang menganggapnya sebagai rasuah yang dibayar kepada pengundi, tidak kira sama ada pengundi memintanya atau tidak.
Sesuatu pemberian bagi meraih undi pada pilihan raya sebagai sedekah adalah salah dari segi undang-undang.
SPRM telah menyiasat apa sahaja bentuk kes rasuah berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada, bukan hanya tertakluk kepada pemahaman atau interpretasi peribadi.
Kini SPRM telah membuka kertas siasatan ke atas individu terlibat dalam pemberian dan penerimaan wang rasuah ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Rasuah memberi impak tidak baik kepada negara. Rakyat sangat berharap PRU15 tidak melibatkan wang rasuah atau politik wang yang merupakan kegemaran majoriti ahli politik tempatan untuk menang pilihan raya dan berkuasa.
Pelaburan yang dilakukan melalui pemberian wang untuk meraih undi kebiasaannya akan ditebus balik apabila memegang tampuk kekuasaan.
Tambahan pula apabila dilantik sebagai menteri, terdapat lubuk-lubuk emas yang memberi ruang terlibat dalam rasuah untuk hidup mewah. Kontrak diberikan secara rundingan terus kepada kroni dengan harga melebihi keuntungan dianggarkan 50 peratus, sedangkan jika dibuat melalui tender terbuka dengan pengawasan ketat, biasanya kontraktor hanya memperoleh keuntungan antara 15 hingga 20 peratus.
Jika mengikut Bank Dunia, setiap kontrak tidak dipantau dengan baik akan tiris sebanyak 20 hingga 30 peratus dan kenyataan itu disokong oleh bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang.
Sepatutnya rasuah politik tidak berlaku di Malaysia. Rasuah juga tidak adil kerana menyebabkan calon yang layak dan berwibawa diketepikan.
Tanggungjawab membendung rasuah pada pilihan raya terletak kepada ketua ketua parti yang bertanding. Jika parti masih memilih memberi wang ringgit kepada pengundi untuk menang pilihan raya, maka masalah rasuah politik tidak akan selesai sampai bila-bila.
Rasuah lebih melibatkan integriti individu dibandingkan sistem (Individual vs Systemic). Doktrin agama tidak boleh mengekang amalan rasuah seseorang.
Integriti adalah sesuatu yang dimiliki atau tidak dimiliki tetapi yang memiliki integriti pun belum tentu tidak mengambil rasuah jika ketahanan dalaman dipengaruhi oleh kehidupan mewah walaupun melalui pendapatan haram.
Pengundi dan golongan muda mempunyai peluang membuat pembetulan yang diperlukan negara. Justeru, mereka tidak boleh menerima wang, tidak boleh membiarkan sistem dan diri rosak kerana terbelenggu serta menggadai maruah dengan sedikit bayaran duit haram tetapi dalam jangka masa panjang ia merosakkan negara dan merumitkan rakyat.
Secara keseluruhan, Malaysia adalah sebuah negara makmur, cuma isu rasuah dan penyelewengan masih berleluasa dan sukar dibendung. Terdapat ahli politik yang korup dan memperkayakan diri masing-masing. Sepatutnya mereka menterjemahkan nilai-nilai Islam ke dalam kancah politik.
Kita perlu mengelak terlibat rasuah, bukan kerana takut SPRM tetapi kerana takut kepada Tuhan (God-fearing).
Malangnya, orang yang mendakwa takut kepada Tuhan masih memperkayakan diri dengan hasil-hasil haram.
Selepas Pilihan Raya Negeri, parti yang menang diharap dapat membentuk sebuah kerajaan berintegriti, stabil dan terus bersama rakyat memerangi rasuah, memperbaiki ekonomi, kos sara hidup demi masa depan negara serta generasi akan datang.
* Datuk Seri Akhbar Satar ialah Ahli Lembaga Pengarah Institut Integriti Malaysia (IIM).
Klik di sini untuk terus membaca