UMAT Islam di Malaysia kini bukan lagi tinggal di negara ini dan berkahwin sesama sendiri sahaja. Acap kali kita menyaksikan perkahwinan berbeza ras antara orang Islam di Malaysia dengan bangsa lain.
Kebiasaannya perkahwinan sebegini diistilahkan sebagai ‘perkahwinan antarabangsa’. Masyarakat pula semakin lama semakin kompleks dan keperluan mereka sukar untuk dipenuhi. Perolehan harta pula tidak lagi dihadkan di dalam Malaysia, malah di segenap pelosok dunia.
Bahtera rumah tangga pula bukan sentiasa aman damai, ada yang bertahan dan ramai juga tenggelam dipukul ombak termasuklah yang berpatah balik tidak kesampaian tujuannya.
Dalam konteks perkahwinan antarabangsa, timbul pelbagai masalah jika ia tidak berpanjangan. Antara isu yang akan timbul ialah kewarganegaraan anak-anak hasil perkahwinan, hak jagaan dan agama anak, pengagihan harta sepencarian yang diperoleh di Malaysia dan negara lain serta banyak lagi.
Sering juga perintah dari mahkamah di Malaysia khususnya Mahkamah Syariah agak sukar untuk dilaksanakan di negara lain termasuklah negara-negara Komanwel.
Walaupun ada mahkamah seperti Australia agak terbuka menerima perintah dari Malaysia tetapi banyak lagi negara masih enggan mengiktiraf perintah mahkamah negara ini.
Keengganan atau kegagalan melaksanakan perintah tersebut memberi implikasi besar kepada kedaulatan undang-undang negara serta menghakis kepercayaan rakyat kepada mahkamah.
Undang-undang negara menghalang warganegara Malaysia mempunyai dwi kerakyatan, berbeza dengan beberapa negara lain di Eropah dan Timur Tengah yang membenarkannya.
Namun, atas alasan tertentu masih ada ibu bapa mendaftarkan kewarganegaraan anak dengan dwi kerakyatan walaupun sedar ia bertentangan dengan undang-undang Malaysia.
Hal itu menyebabkan apabila berlaku pertelagahan antara ibu bapa, sukar dikesan anak itu dibawa ke mana kerana mereka bebas menggunakan pasport berlainan. Lebih memeritkan, undang-undang berlainan juga mungkin terpakai kepada anak berkenaan. Natijahnya, timbul pula isu agama dan hak jagaan.
Bagaimana pula dengan harta sepencarian dan nafkah bagi isteri dan anak-anak. Masalah untuk melaksanakan perintah itu mesti diselesaikan segera kerana melibatkan anak kecil yang memerlukan pembelaan setiap hari.
Isu harta yang diperoleh semasa perkahwinan juga perlu diselesaikan dengan baik, apatah lagi jika harta tersebut berada di luar negara sama ada di negara salah seorang pihak kepada perkahwinan atau negara ketiga.
Undang-undang terhadap harta sepencarian mungkin berbeza dari Malaysia, malah kebanyakan negara Arab di Timur Tengah pula tidak mengiktiraf konsep harta sepencarian.
Satu mekanisme setempat antara kerajaan perlu diwujudkan dengan suatu perintah daripada suatu negara diiktiraf di negara lain. Hubungan diplomatik yang baik antara negara perlu diperkukuh bagi membolehkan kerjasama itu direalisasikan.
Pusat setempat itu akan mendaftarkan suatu perintah dan dilaksanakan oleh negara yang menerima perintah tersebut. Dengan cara itu, segala birokrasi dapat dipermudahkan.
Setakat ini terdapat satu undang-undang iaitu Akta Penguatkuasaan Perintah Bersaling 1958 yang memberi kuasa melaksanakan perintah dari negara asing tertentu, kebanyakannya adalah negara Komanwel.
Bagaimanapun, akta itu tidak pula terpakai kepada Mahkamah Syariah di Malaysia. Mahkamah yang disebut dalam akta itu adalah Mahkamah Tinggi sahaja. Inilah antara perkara yang mengekang pelaksanaan perintah Mahkamah Syariah.
Pindaan terhadap akta berkenaan dengan memasukkan Mahkamah Syariah mungkin tidak dapat direalisasikan kerana Mahkamah Syariah selain dari Wilayah Persekutuan berada di bawah bidang kuasa negeri-negeri.
Timbul persoalan, sama ada undang-undang Persekutuan boleh memberikan kuasa itu kepada Mahkamah Syariah. Isu itu agak kompleks dan perlu penelitian dalam merumus formula penyelesaiannya.
Berbalik kepada perkahwinan antarabangsa, penulis menyarankan agar pihak kerajaan mengadakan kerjasama dengan negara-negara lain dalam melaksanakan perintah dari Malaysia khususnya Mahkamah Syariah.
Beberapa dokumen dan konvensyen antarabangsa boleh ditandatangani Malaysia tertakluk kepada beberapa reservasi biasa dilakukan negara ini bagi perkara yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang yang berkuat kuasa.
* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM).
Klik di sini untuk terus membaca