KERAJAAN di mana-mana negara adalah kerajaan untuk semua, melainkan di negara yang berpecah belah – ada dua tiga pihak mendakwa menjadi kerajaan, malah ada pula kerajaan dalam buangan. Jika kerajaan itu dipilih melalui pilihan umum... Klik di sini untuk terus membaca

KERAJAAN di mana-mana negara adalah kerajaan untuk semua, melainkan di negara yang berpecah belah – ada dua tiga pihak mendakwa menjadi kerajaan, malah ada pula kerajaan dalam buangan.

Jika kerajaan itu dipilih melalui pilihan umum seperti di Malaysia, ia kena terima hakikat bukan semua pengundi memilihnya tetapi apabila menjadi kerajaan, ia bertanggungjawab ke atas semua orang.

Orang ramai pun begitu juga, kena terima hakikat bahawa kerajaan yang ditubuhkan itu adalah kerajaan mereka walaupun tidak memilihnya.

Orang ramai yang tidak memilih parti atau individu yang membentuk kerajaan tentulah cenderung untuk mengkritik atau tidak bersetuju dengan kerajaan. Itu perkara biasa dan tidak menjadi kesalahan selagi tidak melanggar undang-undang.

Malah, selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), bukan semua menyokong parti-parti yang membentuk kerajaan setuju dengan cara ia ditubuhkan. Misalnya, ramai penyokong parti-parti Pakatan Harapan (PH) tidak setuju Datuk Seri Anwar Ibrahim membawa masuk Barisan Nasional (BN) ke dalam kerajaan.

Begitu juga ahli dan penyokong BN, khususnya UMNO yang bermati-matian tidak mahu ‘bersekedudukan’ dengan DAP. Ramai yang masih tidak dapat menerima tindakan Anwar berpakat dengan BN, apatah lagi melantik Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri kerana sedang dibicarakan di mahkamah.

Kita tidak boleh salahkan orang ramai atau harap mereka faham tipu helah politik. Hatta, kepada orang yang faham politik pun, apa yang sedang kita lihat dan lalui amat luar biasa.

Tidak terfikir oleh sesiapa pun pada suatu hari mereka akan melihat seorang Timbalan Perdana Menteri diarak ke mahkamah dengan diiringi oleh pengiring bermotosikal untuk dibicarakan.

Pada masa sama, rakyat diajak menerima dan mengamalkan keunggulan 'Membangun Malaysia Madani'.

Secara peribadi, saya akui Anwar cuba memberi gambaran dan membuktikan beliau ialah Perdana Menteri yang terangkum (inclusive) atau bahasa mudahnya Perdana Menteri untuk semua. Itulah harapan kita. Ahli politik kita sudah terlalu lama bermain politik beracun, saling menjatuhkan semata-mata kerana kuasa, duit dan menyelamatkan diri daripada disumbat ke dalam penjara.

Dalam masa tidak sampai lima tahun, kita sudah ada empat Perdana Menteri termasuk Anwar. Pemimpin dunia pun mungkin sudah jemu terima lawatan Perdana Menteri Malaysia yang silih berganti. Cukuplah. Rakyat sudah penat, ekonomi semakin tercicir dan negara tertinggal di belakang dalam perlumbaan global.

Ya, ramai tahu Anwar ialah pemidato hebat. Kita pun tahu orang berpidato untuk mempamerkan kehebatan dan mendapatkan sanjungan tetapi Anwar kini sudah jadi Perdana Menteri.

Jika beliau masih dahagakan sanjungan, caranya bukan lagi dengan berpidato tetapi melaksanakan janji dan idealisme didukungnya selama ini. Beliau sudah lebih 40 tahun dalam arena politik sejak menyertai UMNO pada 1982.

Mula-mula sekali beliau kena telus dan patuh undang-undang. Segala pelantikan melibatkan pentadbiran negara dan rahsia kerajaan wajib diumumkan.

Mentadbir secara kerajaan dalam kerajaan (government within the government) atau pecah dan perintah akan mendedahkan beliau kepada pelbagai tuduhan seperti nepotisme, kronisme serta kuku besi.

Pra tayang kepada kemungkinan itu sudah pun berlaku walaupun ia di luar bidang kuasa kerajaan iaitu pelantikan korporat bekas orang kanan beliau, Farhash Wafa Salvador sebagai Pengerusi 7-Eleven dan Pengerusi Eksekutif Apex Equity Holdings Bhd beberapa hari selepas Anwar menjadi Perdana Menteri.

Ada yang berkata pelantikan bekas Pengerusi PKR Perak itu diselubungi kontroversi kerana Apex Equity Holdings sedang disiasat oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC). Kebetulan pula SC di bawah Kementerian Kewangan yang menterinya adalah Anwar sendiri. Maka, tidaklah mengejutkan jika ramai menyuarakan kebimbangan berlaku subahat dalam kalangan pihak-pihak terlibat.

Jadi, adalah amat mendesak bagi Perdana Menteri bercakap dalam bahasa difahami rakyat dan mengotakan apa yang dikata. Dalam ungkapan kontemporari bahasa Inggeris - walk the talk dan membuktikan beliau ialah Perdana Menteri untuk semua rakyat Malaysia.

*Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara.

Klik di sini untuk terus membaca