SHAH ALAM - Exco Pemuda UMNO, Bastien Onn menyifatkan parti itu sudah hilang keupayaan untuk menerima perbezaan pendapat, susulan tindakan parti memecat dan menggantung keahlian beberapa pemimpin yang lantang mengkritik UMNO pada Jumaat.
Bastien yang juga Ketua Pemuda UMNO Segamat berkata, cengkaman pucuk pimpinan UMNO terhadap ruang demokrasi di dalam parti itu juga dilihat semakin kuat di mana akar umbi kini tidak lagi boleh menyuarakan pendapat mereka menerusi saluran dibenarkan.
"Sekarang, semua ahli kena patuh dengan Presiden dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) kerana parti ini milik mereka. Jadi semua kena setuju dengan mereka, tidak boleh bantah.
"Kalau tidak, kena buang pula. Sebarang pandangan dan perbezaan pendapat dalam UMNO sudah tidak diperlukan lagi," katanya kepada Sinar Premium pada Sabtu.
Beliau berkata demikian mengulas hala tuju kebebasan bersuara dalam UMNO susulan keputusan pemecatan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang digantung keahliannya selama enam tahun oleh MKT parti.
Selain mereka, turut dipecat adalah bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar, manakala pemimpin lain yang digantung tempoh sama dengan Hishammuddin adalah Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan; bekas Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang dan bekas Ahli Parlimen Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Sharif.
Ujar Bastien, usaha 'menyeragamkan' pendapat dalam parti sebenarnya merupakan satu tindakan mustahil kerana UMNO memiliki lebih 3 juta ahli yang semestinya mewujudkan suasana perbezaan pandangan yang terkawal.
"Inilah yang saya katakan, UMNO kini dilihat semakin autokratik.
"Sebenarnya UMNO ini sukar untuk kita dapatkan 'satu suara'...Keahliannya besar , pasti ada perbezaan. Tidak mungkin mereka semua boleh bersetuju dan punyai pendapat yang serupa dengan Presiden dan MKT.
"Sekarang kena ikut kehendak Presiden, hendak tangguh (pemilihan), kena tangguh. Hendak tekan Perdana Menteri (sebelum ini), kena tekan," tegasnya.
Bagaimanapun, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kepong, Mohd Hazreq Mohd Husin memberi pandangan berbeza dengan menyifatkan masih ada ruang bersuara dan demokrasi dalam UMNO.
"Saya masih percaya amalan demokrasi dalam UMNO masih kekal subur.
"Cumanya, perkara itu bergantung kepada individu dan saya percaya kita dalam parti ini ada peraturannya," katanya.
Mohd Hazreq berkata, Jawatankuasa Pengurusan Lembaga Displin UMNO telah melakukan siasatan 'sebaik mungkin' sebelum mengambil tindakan tatatertib terhadap mana-mana pemimpin UMNO yang berpengaruh.
"Mereka ini berpengaruh dan menggunakan personaliti mereka untuk 'menggoncang' dan memecahbelahkan parti, jadi hanya proses pembersihan parti sahaja yang dapat membendung krisis dalaman menjadi lebih parah," katanya.
Klik di sini untuk terus membaca