WELLINGTON - Minggu lalu New Zealand secara rasmi melantik Chris Hipkins sebagai Perdana Menteri ke-41 susulan peletakan jawatan mengejut Jacinda Ardern. Hipkins, 44, yang turut dikenali dengan nama timangan Chippy dalam kalangan rakyat... Klik di sini untuk terus membaca

WELLINGTON - Minggu lalu New Zealand secara rasmi melantik Chris Hipkins sebagai Perdana Menteri ke-41 susulan peletakan jawatan mengejut Jacinda Ardern.

Hipkins, 44, yang turut dikenali dengan nama timangan Chippy dalam kalangan rakyat negara Kiwi telah membina reputasi kerana kecekapannya dalam menangani Covid-19 dan merupakan penyelesai masalah bagi Ardern ketika menteri kabinet lain sedang bergelut.

Sebelum ini, New Zealand antara yang terawal menutup sempadannya bagi mengekang penularan wabak Covid-19 dan mendapat pujian kerana negara Kepulauan Pasifik itu tidak terjejas pada awal pandemik.

Hipkins pertama kali dipilih sebagai ahli Parlimen pada 2008, beliau kemudian dilantik sebagai Menteri Kesihatan pada Julai 2020 sebelum menjadi Menteri Tindak Balas Covid-19 pada akhir tahun tersebut.

SIAPA CHIPPY?

Seorang yang berterus terang, Hipkins yang berpengalaman lebih 14 tahun dalam pentadbiran kerajaan dan pembangkang juga dikenali meluas sebagai ahli politik berperibadi tinggi serta cekap melaksanakan tugas.

Beliau juga seorang yang lemah lembut sejak zaman awalnya sebagai pelopor politik mahasiswa.

Pada 1997, Hipkins pernah ditangkap dan disiasat berikutan membantah cadangan pembaharuan pendidikan universiti yang diusulkan di Parlimen.

Ketika itu, beliau adalah pelajar tahun pertama pengajian politik dan kriminologi di Universiti Victoria di Wellington.

Selepas tamat pengajian, Hipkins kemudian bekerja dalam sektor latihan industri.

Berasal daripada golongan kelas pekerja dari Hutt Valley, Pulau Utara New Zealand, Hipkins pernah memegang portfolio berprofil tinggi termasuk polis dan pendidikan.

Ibunya, Rosemary Hipkins adalah ketua penyelidik di Majlis Penyelidikan Pendidikan New Zealand.

Hipkins mempunyai dua anak, iaitu seorang anak lelaki berusia enam tahun dan seorang lagi anak perempuan berusia empat tahun, bagaimanapun tinggal berasingan dengan isterinya.

Malah Hipkins menegaskan potret dan kehidupan peribadi anak-anaknya tidak akan dipertontonkan di media sosial sekali gus meminta rakyat New Zealand menghormati pendiriannya itu.

GARANG

Pada 2018, Hipkins mengambil cuti paterniti lanjutan untuk menguruskan kelahiran anak keduanya.

Untuk rekod, Hipkins adalah salah seorang menteri kabinet lelaki kanan pertama yang berbuat demikian.

Walaupun dikenali sebagai seorang yang sopan dan santai, Hipkins juga mampu berperwatakan politik keras berikutan pernah terlibat dalam beberapa pertengkaran berprofil tinggi dengan bekas kerajaan konservatif Australia.

Pada 2021, beliau menuduh Australia 'mengeksport sampahnya' ke New Zealand yang mana ia merujuk kepada dasar kontroversi Canberra untuk menghantar pulang penjenayah ke negara kelahiran mereka.

Hipkins pernah ditegur oleh Ardern pada 2017 selepas beliau didakwa mendalangi peletakan jawatan Timbalan Perdana Menteri Australia ketika itu, Barnaby Joyce.

Hipkins menggantikan rakannya, Jacinda Ardern yang dikenali lebih 20 tahun lalu.

Maklumat yang dikeluarkan kepada Hipkins menunjukkan Joyce memiliki dua kewarganegaraan iaitu Australia dan New Zealand yang menyebabkannya hilang kelayakan untuk duduk di Parlimen di bawah Perlembagaan Australia.

Hipkins menyukai aktiviti mengayuh basikal dan berkebun, tetapi mengatakan dirinya mungkin tidak mempunyai gaya fesyen terbaik di Parlimen.

SOSEJ

Malah, beliau mengakui amat menggemari minuman diet Coke dan menjamah roti sosej.

Kecenderungan pemakanannya itu menarik perhatian rakan sekerjanya, dengan bekas majikannya pernah menyatakan bahawa Hipkins tidak makan apa-apa selain roti sosej dan diet Coke.

Tahun lalu, Polis New Zealand memberikan kek roti sosej kepada Hipkins sempena ulang tahun kelahirannya dalam majlis ringkas di Wellington. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca