UMNO diunjurkan memerlukan tempoh sekurang-kurangnya dua kitaran Pilihan Raya Umum (PRU) sehingga PRU17 untuk kembali pulih dan relevan di mata pengundi terutamanya segmen masyarakat Melayu susulan krisis dalaman terburuk dihadapi parti itu... Klik di sini untuk terus membaca

UMNO diunjurkan memerlukan tempoh sekurang-kurangnya dua kitaran Pilihan Raya Umum (PRU) sehingga PRU17 untuk kembali pulih dan relevan di mata pengundi terutamanya segmen masyarakat Melayu susulan krisis dalaman terburuk dihadapi parti itu pasca PRU15.

Felo Kanan Majlis Profesor Negara (MPN), Profesor Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong berkata, hal ini kerana krisis dalaman UMNO yang membawa kepada proses pembersihan parti secara besar-besaran oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) ketika ini sebenarnya mencetuskan implikasi paling buruk dalam sejarah meskipun tidak dianggap paling radikal.

Jelas beliau, berdasarkan angka bilangan pemimpin UMNO diambil tindakan tatatertib dalam proses pembersihan parti itu pada waktu terdahulu, krisis pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Timbalan Perdana Menteri pada tahun 1998 serta peristiwa pengharaman UMNO tahun 1987 mungkin menyaksikan jumlah pemecatan dan penggantungan ahli paling ramai.

"Bagaimanapun, proses pembersihan UMNO kali ini melibatkan sebilangan besar pemimpin utama yang menjadi tiang seri parti seperti Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, Datuk Seri Shahidan Kassim, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, Tan Sri Annuar Musa dan Tan Sri Noh Omar.

"Dari segi implikasinya, krisis dalaman disebabkan proses pembersihan UMNO kali ini dianggap paling buruk dalam sejarah kerana ia turut dilaksanakan pada saat parti berada dalam kedudukan sangat lemah serta kalah teruk pada PRU15.

"Dengan rakyat menuntut UMNO kembali tampil dengan imej bersih, sekiranya kepimpinan sedia ada terus mempertahankan tampuk pentadbiran parti, saya menjangkakan UMNO memerlukan tempoh sekurang-kurangnya dua kitaran PRU untuk kembali pulih,” katanya kepada Sinar Premium.

UMNO ketika ini sedang memulakan proses pembersihan parti itu secara besar-besaran pasca PRU15 sebagaimana dijanjikan Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melalui ucapan dasar sewaktu Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 dua minggu lalu.

Dalam mesyuarat MKT UMNO pada Jumaat lalu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mengesahkan pemecatan Noh dan Khairy berikutan pelanggaran disiplin sewaktu PRU15.

Selain itu, beberapa pemimpin lain turut digantung selama enam tahun, antaranya Hishammudin; Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan; bekas Ahli Parlimen Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Sharif dan Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang.

PRESTASI

Dalam pada itu, Kok Seong berpendapat, krisis dalaman UMNO pasca PRU memberi kesan langsung terhadap prestasi parti itu dalam pilihan raya disebabkan kewujudan koalisi parti alternatif yang turut memperjuangkan agenda ABATA (agama Islam, bangsa Melayu dan tanahair), namun tidak bekerjasama dengan DAP seperti Perikatan Nasional (PN).

Jelas beliau, senario itu berbeza berbanding dua krisis terbesar UMNO yang berlaku pada zaman Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri di mana pengundi Melayu ketika itu tiada opsyen parti Melayu lain lebih bersederhana di samping kegusaran menyokong koalisi pembangkang yang dianggotai DAP.

"Selain itu, rakyat masih kekal menyokong UMNO-BN dipimpin Dr Mahathir ketika itu disebabkan kejayaan beliau memacu pentadbiran negara dengan baik meskipun partinya berdepan krisis dalaman yang serius.

"Paling penting, zaman dahulu UMNO tidak berdepan dengan skandal mahkamah yang besar sehingga menjejaskan imej negara di mata dunia.

"Berbeza dengan krisis UMNO sekarang, pengundi Melayu kini sudah mempunyai opsyen koalisi Melayu alternatif yang berpengalaman mentadbir negara ditambah beban moral ditanggung UMNO susulan sebilangan besar pemimpin parti itu terpalit kes mahkamah serius.

"Sebab itu krisis kali ini mendatangkan implikasi paling besar berbanding krisis UMNO zaman Dr Mahathir,” tegas Kok Seong.

FAKTOR PENGKHIANATAN

Sementara itu, bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo berpandangan, dakwaan UMNO berhadapan krisis dalaman susulan tindakan pembersihan parti oleh MKT sekadar isu dibesar-besarkan oleh pemimpin PN bagi tujuan ‘menangguk di air keruh’.

Ujarnya, di sebalik dakwaan proses pembersihan parti bertujuan mengukuhkan kuasa Presiden UMNO, beliau sebaliknya berpegang naratif pemecatan dan penggantungan keahlian beberapa pemimpin parti dibuat atas faktor pengkhianatan parti sepanjang PRU15 berlangsung.

Dr Mohamad Khir Toyo - Foto ASRIL ASWANDI ABDUL SHUKOR

"Mereka terbukti ‘cah keting’ dan mensabotaj parti sepanjang tempoh PRU15 hingga tertubuhnya Kerajaan Perpaduan. Tindakan Khairy memburukkan parti sewaktu berkempen pilihan raya dan Hishammuddin yang menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri tanpa pengetahuan parti adalah jenis kesalahan amat berat.

"Krisis ini dilihat parah hanya disebabkan Presiden UMNO bukan Perdana Menteri sebagaimana norma kebiasaan sebelum PRU14. Kita akan menghadapi pemilihan UMNO pada Mac ini dan saya fikir masalah dalaman UMNO akan selesai sepenuhnya selepas proses pemilihan berakhir kelak,” ujar beliau.

Klik di sini untuk terus membaca