BEKAS Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin mendedahkan ramai pemimpin UMNO yang bakal meninggalkan parti itu secara besar-besaran dan mengikut beliau menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam masa terdekat.
Jelas Zahidi, hasrat itu telah disuarakan ramai pemimpin UMNO termasuk kelompok berjawatan tinggi di peringkat nasional kepadanya, susulan keputusan beliau bakal menghantar borang penyertaan masuk PKR pada 4 Februari ini.
Katanya, senario itu berlaku susulan sebilangan besar pemimpin dan akar umbi UMNO terkilan dengan keputusan Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) melaksanakan proses pembersihan parti secara besar-besaran tanpa mengikut prosedur ditetapkan.
"Presiden UMNO hendak buat pembersihan (parti) itu elok, sebab ramai hendak ikut saya masuk PKR.
"Dengan saya bakal menyertai PKR secara rasmi pada 4 Februari ini bersama 100 ahli UMNO Bahagian Padang Besar, dijangka banyak cawangan parti itu di Padang Besar yang bakal terbubar kelak.
"Ramai orang tanya saya macam mana hendak masuk PKR, termasuk sebilangan pemimpin UMNO Pusat. Ada juga antara mereka hendak masuk PN (Perikatan Nasional). Ini semua sebab mereka tidak bersetuju cara Presiden,” ujarnya kepada Sinar Premium.
Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan UMNO memulakan proses pembersihan parti secara besar-besaran apabila memecat 44 pemimpin parti itu atas alasan kesalahan pelanggaran disiplin sewaktu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Antara pemimpin utama dipecat ialah bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar.
Selain itu, beberapa pemimpin lain turut digantung selama enam tahun, antaranya Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan; bekas Ahli Parlimen Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Sharif dan Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang.
Pada PRU15, Zahidi yang juga bekas Ketua UMNO Bahagian Padang Besar bertanding kerusi Parlimen Padang Besar atas tiket calon Bebas susulan tidak dicalonkan semula oleh parti.
Berikutan itu, beliau dikenakan tindakan pecat serta-merta oleh UMNO bersama tiga pemimpin lain iaitu bekas Pengerusi UMNO Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim; bekas Ahli Parlimen Maran, Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib dan bekas pemimpin UMNO Bahagian Arau, Azhar Ahmad.
Sementara itu, Zahidi tidak menyalahkan Ahmad Zahid yang melaksanakan proses pembersihan parti bagi memecat pemimpin yang tidak sehaluan dengan beliau ketika ini.
Ujarnya, itu kaedah terbaik bagi Timbalan Perdana Menteri itu untuk terus kekal berkuasa menjadi Presiden UMNO ‘selagi mana hayat beliau dikandung badan’.
"Mujurlah hakim-hakim di negara ini tidak boleh dipecat Zahid, jika tidak dengan mereka semua pun kena pecat kerana tidak menyokong beliau,” katanya secara sinis.
Sementara itu, Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim berpandangan proses pembersihan parti dilaksanakan UMNO ketika ini dijangka bakal menguatkan pengaruh Ahmad Zahid, tetapi pastinya melemahkan pengaruh parti itu.
"Kami menyokong keputusan pemecatan pemimpin UMNO atas dasar menegakkan aspirasi perpaduan ummah. Kelemahan UMNO bakal menolong kami mencatat keputusan lebih baik pada pilihan raya di enam negeri akan datang,” jelasnya.
Klik di sini untuk terus membaca