DANNOK - Peniaga makanan di Dannok, Thailand berusaha untuk tidak menaikkan harga makanan di kawasan tersebut walaupun mengakui terdapat peningkatan harga barang di negara itu.
Berdasarkan tinjauan yang dilakukan oleh Sinar Harian, rata-rata peniaga mahu menarik pelanggan pada harga lebih murah terutama pelancong dari Malaysia.
Bagi menu tomyam campur yang mempunyai tiga ekor udang, sotong dan ayam dijual pada harga RM8, ayam goreng kunyit (RM7), sayur kalian ikan masin (RM7), telur dadar dua biji (RM4) dan nasi putih (RM1.50).
Menurut seorang peniaga, Maimunah Yaakob, 45, terdapat juga restoran besar yang telah menjual makanan pada harga yang lebih mahal namun kuantiti lebih banyak dan menarik.
"Seperti kami di kedai makan biasa akan fikir banyak kali untuk naikkan harga kerana bimbang pelancong tidak mahu datang lagi.
"Bila kekalkan harga lama, pelancong terutamanya pelanggan tetap dari Malaysia akan selalu datang," katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Maimunah yang berasal dari Pattani berkata, bahan utama yang digunakan iaitu ayam kini diperolehi pada harga RM12 sekilogram.
"Harga barang asas memang ada yang mahal tapi kami cuba serap harga kos itu sebab kami tidak mahu pelanggan lari ke kedai makanan lain,” ujar wanita tersebut.
Jelasnya, sebagai pengusaha makanan, mereka perlu kreatif dalam menarik kehadiran pelanggan terutamanya mengekalkan kualiti dan kesedapan makanan.
"Kami perlu bersaing dengan kedai makanan lain terutamanya restoran yang ada fasiliti lebih baik jadi kami menjual pada harga lebih murah tapi kualiti makanan masih perlu dijaga.
"Ada pelancong dari Malaysia kata harga makanan kami jual murah berbanding di tempat mereka tetapi paling penting adalah kepuasan pelanggan.
"Itu yang jadi keutamaan kami dan berharap selepas ini mereka akan datang dan membawa keluarga ataupun kawan mereka ke sini lagi,” ujarnya.
Tambah Maimunah, harga tepung gandum juga meningkat di negara itu dan dia berusaha menyerap kos berkenaan dan enggan menaikkan harga roti canai yang turut dijual di kedainya.
Sementara itu seorang peniaga pulut ayam dan pulut mangga yang mahu dikenali Patimoh mengakui berlaku kenaikan harga ayam dan makanan itu akan dijual mengikut saiz ayam goreng.
"Harga ayam memang mahal sekarang ini. Jadi pulut ayam yang dijual berdasarkan saiz biasa dan besar. Pelanggan akan mempunyai pilihan dan tidak rasa terbeban,” ujarnya.
Makanan enak, ada yang mahal dan murah
Dalam pada itu, keenakan makanan yang menepati citarasa menjadi antara faktor pelancong dari Malaysia memilih untuk ke daerah tersebut yang terletak di Thailand.
Seorang pelancong, Yusri Yaakob, 40 dari Jerlun, Kedah berkata, makanan di Dannok menepati citarasanya dan mereka yang berkunjung ke sini masih boleh memilih kedai makanan yang menjual pada harga lebih murah.
Jelasnya, diakui terdapat restoran yang menjual makanan pada harga mahal namun terpulang kepada kemampuan masing-masing untuk memilih dan menikmatinya.
"Saya pernah makan di restoran yang besar dan dikenali di Dannok dan memang harga makanan agak mahal namun kuantiti bahan dan lauk-pauk lebih banyak dan berbaloi dengan harga yang perlu dibayar.
"Saya juga pernah makan di kedai makan biasa tidak popular dan harganya pula lebih murah. Mereka yang datang ke sini sudah tentu tahu untuk berbelanja dan berapa jumlah wang yang perlu ada.
"Ramai pelancong dari Malaysia datang ke sini bukan sahaja kerana makanannya yang menepati citarasa tetapi disebabkan oleh hotel dan pengangkutannya yang murah, sebab itu mereka suka berbelanja di sini,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.
Seorang lagi pelancong yang mahu dikenali sebagai Yaya dari Alor Setar, Kedah pula melihat terdapat harga makanan di Dannok lebih murah berbanding di tempat tinggalnya.
Menurutnya, banyak kedai makanan di daerah itu memberikan pelbagai pilihan kepada pengunjung di samping dapat membeli-belah barangan lain.
"Saya pernah makan tomyam campur di Alor Setar dan ada harga yang cecah sehingga RM8 dan RM9 namun di Dannok masih ada tomyam campur dijual ada harga yang murah tetapi kita perlu pandai memilih kedai-kedai tersebut mengikut kemampuan masing-masing,” jelas Yaya.
Tambahnya lagi, kedudukan Dannok yang terletak kira-kira 50 kilometer dari Alor Setar menyaksikan tempat pelancongan itu jadi tumpuan orang ramai terutamanya pada hujung minggu dan juga musim cuti sekolah.
Perbezaan harga makanan
Jenis Makanan Dannok Alor Setar
Tomyam campur RM8 (Udang tiga ekor/ RM7-RM9
sotong/ayam/cendawan) (Udang seekor/fish ball/ayam)
Kailan ikan masin RM7 RM6
Ayam goreng kunyit RM8 RM6-RM7
Telur dadar RM4 (2biji) RM4 (2biji)
Nasi putih RM1.50 RM1-RM2
Pulut ayam RM8 (kecil) RM6 (kecil)
RM 10 (besar) RM8 (besar)
Pulut mangga RM8 (kecil) RM6 (kecil)
RM10 (besar) RM8 (Besar)
Roti canai biasa RM1.50 RM1.20
Roti canai telur RM2.50 RM2.20
Roti canai Planta RM 2.50 RM2.20
Klik di sini untuk terus membaca