PEMBANGUNAN infrastruktur di kawasan luar bandar sentiasa menjadi tumpuan dalam memastikan kelompok ini tidak ketinggalan dalam pembangunan negara. Bagi Ahli Parlimen Pontian, DATUK SERI AHMAD MASLAN, isu berkenaan kemudahan awam seperti... Klik di sini untuk terus membaca

PEMBANGUNAN infrastruktur di kawasan luar bandar sentiasa menjadi tumpuan dalam memastikan kelompok ini tidak ketinggalan dalam pembangunan negara.

Bagi Ahli Parlimen Pontian, DATUK SERI AHMAD MASLAN, isu berkenaan kemudahan awam seperti hospital, sekolah dan institut kemahiran belia sentiasa menjadi agenda yang diperjuangkan.

Ikuti wawancara eksklusif wartawan Sinar Harian, NOR AZURA MD AMIN bersama Ahmad ketika turun padang melawat tapak pembinaan masjid baharu Kampung Parit Wagiman, Benut baru-baru ini.

SINAR HARIAN: Selepas berjaya mengekalkan kerusi Pontian pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), apakah yang menjadi tumpuan Yang Berhormat (YB)?

AHMAD:
Pembangunan infrastruktur yang lebih baik menjadi fokus saya untuk penduduk Parlimen Pontian dalam mendapatkan kemudahan yang lebih selesa terutama soal kesihatan dan pendidikan.

Soal kemudahan ini cukup penting kerana ia turut menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan seterusnya memberi manfaat jangka panjang kepada pertumbuhan kawasan luar bandar.

Malah, banyak tanah sudah dikenal pasti bagi projek pembangunan dan kemudahan asas di Parlimen Pontian.

Bagaimana usaha dilakukan dalam memastikan perkara yang menjadi tumpuan YB dapat dicapai?

Pembangunan infrastruktur seperti sekolah, hospital, jambatan baharu, naik taraf jalan, pembinaan masjid baharu dan institut kemahiran belia sentiasa diusahakan.

Ini termasuk mengadakan pertemuan dengan menteri dari kementerian berkaitan bagi menambah baik kemudahan sedia ada atau membina baharu prasarana.

Antaranya, isu pembangunan Hospital Pontian yang dianggarkan sudah berusia 100 tahun. Hospital berkenaan memerlukan bangunan bertingkat baharu selain tempat letak kenderaan bagi menampung jumlah pesakit yang bertambah.

Saya sendiri telah bertemu Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa untuk berbincang mengenai perkara ini. Berita baiknya, terdapat tanah di kawasan tapak hospital yang boleh digunakan bagi pembinaan bangunan bertingkat tersebut.

Saya akan pastikan isu hospital ini akan mendapat perhatian sewajarnya daripada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Begitu juga dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), saya sudah maklumkan berhubung cadangan agar sebuah sekolah menengah agama berasrama penuh dibina di Benut.

Di Benut sudah ada Sekolah Rendah Agama Bersepadu (SRAB), Sekolah Menengah Agama (Arab) An-Nur dan Sekolah Menengah Agama (SMA) Bugisiah namun belum ada lagi sekolah berasrama penuh di Parlimen Pontian, setakat ini yang ada cuma Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) sahaja.

Sebenarnya terdapat tanah kosong di sebelah tapak Kompleks Penghulu Benut yang difahamkan merupakan tanah di bawah KPM. Oleh itu, saya rasa tiada masalah untuk pembinaan sekolah berasrama penuh ini memandangkan sudah ada tapak.

Apakah projek infrastruktur yang kini dalam pembinaan dan cadangan pada masa akan datang?

Projek infrastruktur yang kini dalam pembinaan ialah pelebaran jambatan Pontian Kechil kepada empat lorong yang dijangka siap pada tahun depan.

Saya juga akan pastikan pelebaran jambatan Pontian Besar dilakukan memandangkan laluan terbabit merupakan jalan utama ke bandar Pontian.

Di samping itu, kawasan tapak lama bangunan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian yang kini terbiar dicadang untuk dibangunkan bagi menempatkan pelbagai jabatan dan agensi Persekutuan.

Parlimen Pontian memiliki banyak pekan-pekan kecil seperti Pekan Parit Betak, Pekan Kayu Ara Pasong, Pekan Ayer Baloi dan Pekan Sanglang. Saya akan pastikan pekan-pekan ini diperindahkan supaya menjadi lebih menarik.

Sebenarnya banyak lagi perkara yang perlu diberi perhatian seperti membaiki jajaran jalan Pontian ke Tampok, pembinaan lorong motosikal dan pembangunan semula Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di Pulai Sebatang.

Saya akan berbincang dengan kementerian terlibat agar perkara tersebut diberikan perhatian dan mendapat peruntukan seterusnya memberikan manfaat besar kepada warga Pontian.

Apakah perancangan YB untuk membantu golongan muda di kawasan luar bandar?

Jambatan Sungai Pulai yang menjadi laluan baharu menghubungkan Pontian ke Johor Bahru akan merancakkan lagi ekonomi di Pontian terutama sektor pelancongan.

Secara tidak langsung, peluang pekerjaan mampu diwujudkan terutama kepada golongan belia yang terbabit dalam industri kecil dan sederhana (IKS) serta pertanian.

Lebih banyak program keusahawanan dan kerjasama antara agensi kerajaan dan swasta terlibat dalam meningkatkan produk pelancongan yang diusahakan golongan belia.

Saya juga akan memastikan projek perumahan mampu milik di Taman Megah dapat dilaksanakan segera.

Di samping itu, saya juga akan mengusahakan supaya dibina lebih banyak projek rumah mampu milik di lokasi kepadatan penduduk seperti di Benut, Ayer Baloi dan bandar Pontian.

YB menyandang jawatan sebagai Setiausaha Agung UMNO dan Timbalan Menteri Kewangan, adakah ia membuatkan masa terhad untuk turun kawasan?

Saya sentiasa memberikan komitmen terbaik kepada Parlimen Pontian dan akan turun ke kawasan walaupun sibuk dengan tugasan parti dan Timbalan Menteri Kewangan.

Saya berpegang kepada pendekatan ABCD iaitu Akrab, Berjaya, Ceria dan Diberkati. Saya mahu akrab dengan orang kampung dan sesiapa sahaja. Saya juga mahu anak-anak di kawasan saya berjaya dalam bidang pendidikan seterusnya ceria dan diberkati.



Biodata

Klik di sini untuk terus membaca