SHAH ALAM - Rakyat Malaysia dianggarkan membelanjakan lebih RM3 bilion untuk melancong di Thailand sepanjang tahun lalu dengan kira-kira RM600 juta daripadanya digunakan untuk makan dan minum.
Perkara itu didedahkan Timbalan Gabenor Pihak Berkuasa Pelancongan Thailand (TAT), Tanes Petsuwan susulan jumlah kemasukan pelancong Malaysia meningkat lebih 1.5 juta orang tahun lalu selepas dua tahun industri pelancongan negara itu suram akibat pandemik Covid-19.
Tanes berkata, kebanyakan pelancong Malaysia gemar mengunjungi wilayah selatan negara itu semasa percutian mereka, lapor Biro Berita Nasional Thailand baru-baru ini.
Daripada keseluruhan jumlah perbelanjaan itu pula, TAT menganggarkan sekitar 21 peratus atau RM600 juta wang dibelanjakan untuk makan-makan.
Secara purata, setiap pelancong asing di negara berkenaan membelanjakan sekurang-kurangnya RM655 sehari sepanjang percutian mereka, kata TAT.
Sementara itu, Pakar Kewangan Pengguna, Profesor Dr Mohamad Fazli Sabri berkata, jumlah pengaliran wang keluar yang besar ke Thailand itu menjadi satu kerugian kepada negara lebih-lebih lagi dalam keadaan negara berdepan dengan inflasi dan kos sara hidup yang tinggi ketika ini.
Menurutnya, keadaan itu juga menjejaskan nilai ringgit apabila berlaku kadar tukaran mata wang asing yang tinggi.
"Situasi ini juga menjejaskan pertumbuhan sektor pelancongan domestik, serta sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) sekali gus menyebabkan peluang pekerjaan baharu tidak dapat diwujudkan.
"Jadi agak tidak wajar kalau terlalu banyak wang kita belanjakan untuk makan-makan di luar negara sebegini kerana lebih banyak lagi keperluan mendesak lain yang sepatutnya menjadi keutamaan. Tak salah nak makan-makan di Thailand tetapi biarlah hanya sekali-sekala,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Beliau yang juga Dekan Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM) menjelaskan, meskipun harga makanan di Thailand lebih kompetitif namun orang ramai perlu mengambil kira kos-kos lain termasuk bayaran pas atau visa sempadan dan insurans kenderaan jika membawa kenderaan sendiri.
"Oleh itu lebih baik kita utamakan untuk rancakkan pertumbuhan ekonomi dalam negara yang mampu mengembangkan semula sektor pelancongan domestik. Kita bantu PMKS, apabila sektor ini berkembang lebih banyak peluang pekerjaan dapat diwujudkan,” ujar Mohamad Fazli.
Sinar Harian pada Isnin melaporkan rakyat Malaysia gemar menikmati makanan di Thailand kerana bukan hanya disifatkan lebih sedap, malah saiz hidangannya lebih besar dengan harga yang tidak terlalu jauh berbeza berbanding di negara ini.
Peniaga tempatan terjejas trend rakyat Malaysia makan di Thailand
Sementara itu, di KUBANG PASU, trend kemasukan pelancong Malaysia ke Thailand untuk makan-makan di sana menjejaskan peniaga tempatan khususnya di daerah Kubang Pasu yang bersempadan dengan Thailand.
Pemilik kedai makan, Ku Mohd Fakhri Ku Azizan, 35, berkata, ramai pempengaruh media sosial turut menjadikan restoran-restoran terkenal di Thailand sebagai bahan pengisian untuk laman sosial mereka seperti TikTok.
Katanya, situasi itu menyebabkan lebih ramai rakyat tempatan teruja untuk ke Thailand berbanding menyokong perniagaan peniaga tempatan.
"Saya tak nafikan trend itu ada kesan kepada kami. Tambahan pula orang ramai dimomokkan bahawa makanan di Siam harganya murah selain ada selebriti media sosial buat review makanan yang secara tidak langsung menyokong industri pelancongan di sana,” katanya.
Pemilik sebuah kedai makan di Jalan Pauh-Changlun di sini, Mohd Azwan Mohd Amran, 37, pula tidak menafikan trend rakyat Malaysia ke Thailand itu menjadi salah satu faktor jumlah pelanggan di restoran tempatan merosot.
"Sesuatu yang normal orang kita pergi bercuti ke Thailand dan berbelanja di sana, tetapi apakah langkah-langkah dan tindakan pihak kerajaan supaya harga bahan mentah tidak terus meningkat iaitu punca harga makanan tempatan naik?” soalnya.
Berbeza bagi Sajaroton Rizal Tajudin, 51, perniagaannya tidak terjejas biarpun orang tempatan gemar makan di Thailand.
"Bagi saya semua orang ada cita rasa tersendiri. Punca perniagaan merosot adalah apabila kos sara hidup meningkat, jadi orang ramai akan kurang makan di luar,” katanya yang mengusahakan kedai nasi campur dan roti canai.
Di KOTA BHARU, Kelantan, rata-rata peniaga menganggap trend makan di sempadan Kelantan-Thailand hanyalah bersifat sementara.
Pemilik restoran makanan Thailand di Wakaf Che Yeh, Nuraini Mohd Nasir, 24, berkata, pelanggan makan di sempadan kerana mahukan suasana berbeza.
"Saya tidak bimbang dengan situasi itu kerana ada masanya mereka membawa keluarga untuk makan dalam suasana yang mungkin tiada di sini,” katanya.
Pemilik Restoran Nasi Ayam Kampung Wakaf Che Yeh, Siti Nurzamani Mat Kashim, 46, pula berpendapat, perkara itu bukan masalah jika peniaga sentiasa menukar dan menambah
Klik di sini untuk terus membaca