PELANTIKAN anak sulung Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Nurul Izzah sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan Perdana Menteri mencetuskan pelbagai perdebatan dan polemik dalam kalangan penganalisis ekonomi, ahli politik mahu... Klik di sini untuk terus membaca

PELANTIKAN anak sulung Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Nurul Izzah sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan Perdana Menteri mencetuskan pelbagai perdebatan dan polemik dalam kalangan penganalisis ekonomi, ahli politik mahu pun orang awam.

Dari satu sudut, pelantikan Nurul Izzah tidak menyalahi undang-undang kerana Anwar boleh melantik sesiapa sahaja terutamanya seseorang yang rapat dan paling dipercayainya untuk memantau penggubalan serta pelaksanaan dasar berkaitan Kementerian Kewangan dan Jabatan Perdana Menteri, seterusnya melaporkan secara terus kepadanya untuk tindakan lanjut.

Tambahan pula pelantikan bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu tidak membabitkan sebarang implikasi kewangan kerajaan atau pengguna dana awam kerana beliau tidak dibayar gaji atau elaun bulanan.

Namun di satu sudut lain, ramai pemerhati melihat tindakan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dan Presiden PKR itu melanggar prinsip moral kerana sebelum bergelar Perdana Menteri, beliau kerap menempelak dan mengkritik pentadbiran terdahulu kerana mengamalkan kronisme dan nepotisme.

Antara kegiatan kronisme yang sering menjadi kecaman PH sebelum ini adalah pelantikan pemimpin politik sebagai pengerusi atau pengarah di syarikat berkaitan kerajaan (GLC), penasihat khas kerajaan mahu pun Duta Khas kepada Perdana Menteri ke luar negara.

Jadi apabila Anwar berbuat demikian, ia seolah-olah seperti ‘memberikan peluru hidup kepada musuh’ dan membuka ruang kepada pengkritik serta pembangkang untuk ‘memulangkan paku buah keras’, menyerang peribadinya dan kerajaan campuran pimpinan PH sekarang.

Bagaimanapun Anwar sendiri telah menjelaskan bahawa lantikan itu adalah berdasarkan kelayakan kerana Nurul Izzah mempunyai ijazah pertama dalam bidang kejuruteraan dan ijazah kedua dalam dasar awam dan sosial dari Universiti Johns Hopkins, Amerika Syarikat.

Dr Zaharuddin. - Foto Facebook Dr Zaharuddin

Melihat kepada situasi ini, Pakar Kewangan Islam merangkap Pengasas Elzar Group & elzarshariah.com, Dr Zaharuddin Abd Rahman menegaskan, lantikan berkenaan tidak tergolong dalam kronisme sekiranya Nurul Izzah mempunyai merit yang tinggi dalam menanggung tugasan terbabit iaitu sama ada dalam bidang ekonomi atau pecahannya.

Nurul Izzah dalam temu bual bersama The Star menjelaskan, beliau berharap agar pengalamannya sebagai ahli Parlimen sebelum ini menumpukan dalam isu kemiskinan, pendidikan serta latihan teknikal dan vokasional (TVET) selain perkhidmatan dalam Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara akan memberi manfaat kepadanya.

Bahkan salah satu matlamatnya adalah bagi memanfaatkan bakat-bakat terbaik Malaysia dalam dan luar kerajaan selain mahu memperbaiki keadaan ekonomi rakyat.

"Saya percaya antara kewajarannya Perdana Menteri melantik Nurul Izzah ialah kerana beliau memerlukan seseorang boleh dipercayainya untuk menyelia, menapis serta mencerakinkan maklumat yang disediakan pakar dan pegawai kerajaan berpengalaman dari pelbagai agensi secara telus, integriti dan kritikal.

"Justeru, jawatan tersebut hanya akan berfungsi bagi membentuk draf penggubalan sebarang polisi yang akan dibawa sebagai cadangan kepada Perdana Menteri.

"Jika itu tugasannya, saya boleh memahami Perdana Menteri memerlukan seseorang yang secara politiknya 100 peratus memahami hasrat reformasi dan tinggi integritinya, kritikal seperti Nurul Izzah,” kata Zaharuddin kepada Sinar Premium.

Zaharuddin tiada masalah untuk menerima justifikasi diberi Anwar mengenai pelantikan Nurul Izzah kerana ia lebih bersifat lantikan politik hampir sama seperti pelantikan setiausaha politik dan setiausaha sulit.

"Pelantikan berasaskan politik memang tidak begitu menitikberatkan kelulusan akademik seperti pemilihan menteri kabinet yang majoritinya dilantik bukan berdasar kelayakan mereka tetapi berasaskan politik dan parti menerajui kerajaan.

"Namun, jika seseorang menteri kabinet mempunyai kelulusan dalam bidang berkaitan dengan portfolio beliau dalam kabinet, maka ia adalah satu kelebihan tetapi jika tiada, ia bukan masalah besar,” jelas beliau.

Kelayakan

Sementara itu, penganalisis ekonomi merangkap Felo Kehormat Institut Masa Depan Malaysia (MASA), Datuk Dr Madeline Berma berkata, pelantikan seseorang individu sebagai penasihat Perdana Menteri atau kerajaan mestilah dibuat berdasarkan kelayakan, ilmu pengetahuan dan pengalaman dalam bidang berkaitan.

Namun, Madeline percaya Anwar, mempunyai alasan tersendiri dan sebab kukuh Nurul Izzah dilantik sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan Perdana Menteri.

"Apabila Perdana Menteri melantik Nurul Izzah sebagai penasihatnya, sudah pasti beliau mempunyai sebab tersendiri dan alasan kukuh untuk berbuat demikian.

"Oleh itu, saya berharap Nurul Izzah boleh memberikan nasihat kepada Perdana Menteri untuk menambah baik keadaan ekonomi dan kehidupan rakyat di Malaysia pada masa depan,” katanya.

Hisommuddin

Bercanggah prinsipPengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar pula menegaskan, Anwar tidak patut melantik Nurul Izzah kerana perbuatan itu bercanggah dengan kempen anti-nepotisme dan kronisme serta reformasi institusi dilaungkannya ketika menjadi Ketua Pembangkang sebelum ini.

Tindakan tersebut menimbulkan pelbagai persepsi negatif kepada kepimpinan Anwar biarpun ia sebenarnya satu kontroversi yang tidak diperlukan dan boleh dielakkan oleh kerajaan pimpinan Ahli Parlimen Tambun berkenaan.

Hisommudin berkata, biarpun Nurul Izzah tidak menerima sebarang gaji atau elaun, namun persoalan utamanya ialah mengapa Anwar perlu melantik anaknya sendiri sebagai penasihat ekonomi sedangkan ia bercanggah dengan apa dilaungkan Presiden PKR itu sendiri dan PH sebelum ini.

Malah katanya, Anwar sebelum ini telah membuktikan ketegasannya apabila menangguhkan pelantikan semula bekas Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub sebagai Pengerusi Felcra yang dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

"Jadi saya percaya jika mereka pakar seperti tokoh akademik dan pakar ekonomi termasuk Profesor Dr Jomo Kwame Sundaram dilantik sebagai penasihat Anwar maka ia tidak menimbulkan sebarang polemik atau kritikan orang ramai seperti yang terjadi hari ini,” ujar beliau.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Tarik balik lantikan, pro bono bukan alasan halalkan nepotisme'

ARTIKEL BERKAITAN: Lantik anak, isteri bakal jadi kebiasaan baharu - Mohd Radzi

ARTIKEL BERKAITAN: Nurul Izzah perlu ada latar belakang khusus sebagai penasihat

ARTIKEL BERKAITAN: Pelantikan Nurul Izzah undang perdebatan di media sosial

ARTIKEL BERKAITAN: Pelantikan Nurul Izzah tak wajar, bawa konflik kepentingan

ARTIKEL BERKAITAN: Nurul Izzah layak dilantik Penasihat Ekonomi, Kewangan - Anwar

ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] Nurul Izzah tidak dibayar elaun - Anwar

ARTIKEL BERKAITAN: Pengalaman, bakat Nurul Izzah dapat bantu bangunkan negara

ARTIKEL BERKAITAN: Nurul Izzah dilantik Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan PM

Klik di sini untuk terus membaca