PERANG Ukraine dan Rusia masih berlarutan dan kedua pihak masih gagal mencapai kemenangan mutlak. Rusia terus bergelut dengan percubaan untuk menguasai wilayah yang dituntut, manakala Ukraine masih gagal mengusir musuh keluar dari... Klik di sini untuk terus membaca

PERANG Ukraine dan Rusia masih berlarutan dan kedua pihak masih gagal mencapai kemenangan mutlak. Rusia terus bergelut dengan percubaan untuk menguasai wilayah yang dituntut, manakala Ukraine masih gagal mengusir musuh keluar dari sempadannya.

Bagi Presiden Ukraine dan Rusia, mereka terperangkap dalam percaturan politik sendiri. Kekalahan akan hanya mengundang kepada tamatnya karier politik masing-masing, malah mungkin juga hayat mereka dan kroni.

Sehingga hari ini, tiada petunjuk bahawa konflik akan reda, malah sebaliknya. Apa yang menyemarakkan lagi api peperangan adalah kuasa atau negara-negara berkepentingan tersendiri, baik strategik mahupun ekonomi yang terus menjadikan Ukraine sebagai batu loncatan bagi mencapai hasrat utama mereka.

Mahu tidak mahu, perang perlu diteruskan, walaupun nyawa rakyat kemusnahan infrastruktur menjadi pertaruhannya. ‘Kedegilan’ untuk meneruskan konflik ini terbukti jelas apabila kedua-dua pihak yang telah berhabis menggunakan pelbagai sistem, kelengkapan dan aset ketenteraan sendiri kini terpaksa mencari sumber persenjataan pelbagai bagi menyokong operasi ketenteraan mereka.

Keghairahan pihak negara Barat dan Amerika Syarikat menghantar pelbagai sistem ke Ukraine mungkin bukan semata-mata kerana mahu mempertahan benteng demokrasi tetapi bersifat serampang dua mata.

Di pihak Ukraine, harapan pendinding kepada kekalahan mutlak di medan tempur adalah bantuan kelengkapan pelbagai yang diterima dari negara-negara Eropah. Pada awal konflik pada hujung Februari 2022, Poland, Slovakia, Republik Czech, Macedonia Utara dan

Belanda telah menghantar kira-kira 450 buah kereta kebal T72 yang dipermodenkan untuk menambah jumlah sedia ada sebanyak 980 dalam inventori tentera Ukraine.

Pasukan armor serta mekanis Rusia pula dianggarkan mengatur gerak kira-kira 3,000 kereta kebal untuk operasinya di Ukraine. Dengan nisbah kereta kebal yang lebih sedikit, Ukraine telah kehilangan 449 kereta kebal sehingga akhir tahun lalu dan telah memohon tambahan bantuan pelancar anti-kereta kebal pelbagai dari negara-negara Barat dan Amerika Syarikat (AS).

Ukraine juga telah menerima sekurang-kurangnya 20 buah kenderaan pelancar roket berganda berprestasi tinggi HIMARS yang dikatakan telah digunakan dengan efektif untuk memusnahkan pelbagai aset, gudang peluru serta platform komunikasi dan elektronik tentera Rusia.

Walau dengan pelbagai sistem persenjataan yang telah diterima, dan pelbagai laporan media Barat yang kerap hanya menonjolkan kejayaan tentera Ukraine, di lapangan agak sukar untuk mendapat gambaran jelas.

Ukraine sejak beberapa bulan lalu telah mendesak pihak Barat dan AS untuk memberikan mereka kereta kebal utama (Main Battle Tank – MBT) bagi berhadapan kereta kebal Rusia selain menjadi tombak utama untuk memecah benteng pertahanan musuhnya.

Pihak Britain telah bersetuju untuk mengirimkan 14 buah MBT Challenger 2, Jerman pada bulan ini telah berjanji untuk menghantar 112 Leopard 2, manakala AS dengan 31 Abrams M1.

Kebanjiran pelbagai jenis senjata moden utama dari negara Barat dan AS dikatakan mempunyai tujuan untuk mempertahankan prinsip acuan demokrasi khusus yang dijunjung oleh AS dan negara-negara Eropah Barat.

Walaupun demikian penghantaran sistem-sistem persenjataan ini turut menimbulkan kemungkinan, apa yang dilakukan AS adalah untuk menilai keupayaan dan keberkesanan pelbagai sistem persenjataan terhadap sistem seteru utamanya Rusia.

Ini kerana tidak seperti konflik di Iraq dan Afghanistan, di Ukraine, mereka berhadapan sistem senjata konvensional paling canggih Rusia. Ini termasuklah MBT T-90 yang merupakan antara aset utama pasukan armor Rusia.

Menurut laporan Institut Kajian Strategik di Britain, Rusia telah kehilangan 1,642 kereta kebal yang kebanyakannya adalah versi kereta kebal T72. Dari jumlah ini hanya 43 buah T-90 telah musnah, dan lebih sedikit, iaitu hanya 10 buah T90M, iaitu versi paling terkini kereta kebal utama Rusia menerima nasib sama.

Selain menguji, ia juga memberikan industri berkaitan pertahanan di AS untuk mengaut keuntungan berlipat kali ganda dalam tempoh jangkamasa pendek.

Umpamanya firma Lockheed Martin, pengeluar peluru berpandu Javelin, mampu menghasilkan sehingga 2,100 sistem tersebut dalam setahun. Akibat dari peperangan di Ukraine, sasaran tahap pengeluaran kini dijangka meningkat sehingga 4,000 sistem setahun!

* Muhammad Fuad Mat Noor ialah penganalisis pertahanan dan pernah menerima Anugerah Wartawan Terbaik oleh Kementerian Pertahanan Malaysia pada tahun 2003, 2004, 2006 dan 2007.

Klik di sini untuk terus membaca